Halaman

Walaupn Hidup 1000 th. Klau x Smbahyang Apa Gnanya

Walaupn Hidup 1000 tahun klu x sembahyang apa gnanya

10.8.10

Ramadhan yang dinanti oleh penghuni langit dan bumi


Dia Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menganugerahkan
makhluk-Nya satu bulan yang dilimpahi segala kebaikan dan keistimewaan
yang tak terperikan. Seluruh makhluk di langit dan di bumi teruja
ternanti-nanti tibanya bulan mulia penuh barakah itu. Bulan yang
satu-satunya disebut namanya di dalam kitab suci al-Quran dan dikaitkan
pula dengan perisitiwa turunnya kitab itu sendiri!


شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬
مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ



“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang
padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan
menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan
(menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah….”
Al-Baqarah 2:185.


Mereka yang mengetahui dan menghargai anugerah yang agung ini pastinya
ternanti-nanti penuh rindu dan mengharap agar dipertemukan dengan
Ramadhan dan berazam untuk meraih sebanyak-banyaknya kebaikan dan
kelebihan yang dijanjikan.


Renungkan betapa alam buana (langit) ini dipersiapkan untuk menanti ketibaan Ramadhan!


Penghuni Langit1. Pintu-pintu langit dibuka sepanjang bulan Ramadhan sebagaimana
dinyatakan di dalam sepotong Hadis yang bermaksud: “Apabila tiba malam
pertama Ramadhan, dibuka semua pintu langit, tidak akan ditutup satupun
daripadanya sehinggalah ke malam terakhir Ramadhan” Riwayat al-Munziri
daripada Abi Sa’eid al-Khudri di dalam ‘at-Targhib wa at-Tarhib’.


2. Dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dipasung
syaitan-syaitan. (Maksud Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah
r.a.)


3. Setiap malam penghuni langit menyeru penghuni bumi sehingga tersembul
fajar: “Wahai pencari kebaikan, mara dan bergembiralah! Wahai pencari
kejahatan, undur dan berhentilah! Siapakah yang ingin memohon ampun,
lalu dia diampun? Siapakah yang ingin bertaubat, lalu dosanya
dihapuskan? Siapakah yang ingin meminta, lalu permintaannya ditunaikan?”
(Maksud Hadis riwayat al-Munziri daripada Abdullah bin Mas’ud r.a.


Itu merupakan sebahagian persediaan ahli langit untuk menyambut ketibaan
Ramadhan. Maka apakah persediaan ahli bumi?

Penghuni Bumi
1. Perlu memahami dan meyakini peluang yang sangat besar serta tawaran
yang cukup hebat ini. Rasai dan syukuri betapa bertuahnya diberi peluang
menyambut Ramadhan sekali lagi, peluang yang mungkin terakhir. Maka
tanamkan azam seutuhnya di dalam diri untuk mengisi Ramadhan dengan
segala kebaikan yang termampu.


2. Ingat selalu sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa
Ramadhan dalam keadaan dia mengetahui batasan-batasannya dan memelihara
diri daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan, akan
dihapuskan daripadanya dosanya yang lalu” Riwayat Ibn Hibban dan
al-Baihaqiy daripada Abi Sa’eid al-Khudriy r.a. Dosa terhapus bermakna
selamat dari siksa api neraka!


3. Siapkan senarai amalan yang hendak dibuat dengan kefahaman setiap
kebaikan diberi pahala berlipat kali ganda. Nabi s.a.w. bersabda
maksudnya: “Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan satu
kebaikan (yang sunat), baginya pahala seperti melakukan yang wajib pada
bulan selainnya. Sesiapa yang menunaikan satu amalan yang wajib, baginya
pahala seperti menunaikan 70 amalan yang wajib pada bulan selainnya.
Ramadhan adalah bulan ditambahkan rezeki orang yang beriman”. Riwayat
al-Munziri


4. Ingat memperingati dan berlumba-lumba mengejar kebaikan selari dengan
gesaan Rasulullah s.a.w. di dalam Hadis yang bermaksud: “Telah datang
kepada kamu Ramadhan, bulan barakah yang dicurahkan Allah ke atas kamu.
Dia menurunkan rahmah, menghapuskan dosa dan memaqbulkan doa. Allah
melihat kepada kamu yang berlumba-lumba (melakukan kebaikan) di bulan
Ramadhan dan Dia berbangga di hapadan malaikat-Nya. Maka perlihatkanlah
kepada Allah dirimu yang baik. Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah
orang yang dihalang daripada mendapat rahmah-Nya di bulan Ramadhan”.
Riwayat al-Munziri daripada Ubadah bin as-Samit.


5. Mohon doa sebanyak-banyak di waktu yang dijanjikan mustajab pada
setiap hari bulan Ramadhan, iaitu ketika berbuka. “Tiga golongan yang
tidak ditolak doa mereka, orang yang berpuasa ketika ia berbuka, imam
(pemimpin) yang adil dan orang yang dizalimi” Maksud Hadis riwayat Ahmad
daripada Abu Hurairah r.a.


6. Jagalah anggota, khususnya mata, telinga dan lidah dari melakukan
perkara yang haram. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Puasa itu perisai.
Maka janganlah kamu mencarut dan jangan berkelakuan bodoh. Jika
seseorang memerangimu atau mencacimu, maka katakanlah kepadanya
‘sesungguhnya aku berpuasa’ sebanyak dua kali. Demi Tuhan yang jiwaku
di dalam tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi
Allah Ta’ala daripada wanginya kasturi. Allah berfirman: dia telah
meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwahnya kerana-Ku. Puasa
adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan member ganjarannya. Dan setiap satu
kebaikan itu sepuluh kali ganda seumpama dengannya” (Maksud Hadis
riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.)


Marilah sama-sama kita berdoa agar diri kita termasuk dalam golongan
mereka yang menghargai anugerah yang hebat ini serta berjaya memperoleh
syurga yang dijanjikan untuk hamba-Nya yang berpuasa. Amen!

No comments: