Halaman

Walaupn Hidup 1000 th. Klau x Smbahyang Apa Gnanya

30.6.16

KENAPA SAMBUT NUZUL AL-QURAN 17 RAMADHAN ?


Kenapa Disambut Nuzul al-Quran 17 Ramadhan Sedangkan al-Quran Turun Pada Malam al-Qadar?

1. Hari ini 17 Ramadhan umat Islam di Malaysia memperingati peristiwa Nuzul al-Quran atau Penurunan al-Quran ke atas baginda saw.

2. Ada yang tertanya-tanya; kenapa peristiwa itu disambut pada 17 Ramadhan sedangkan al-Quran menceritakan dalam surah al-Qadar bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar sedang malam al-Qadar berlaku pada 10 malam terakhir Ramadhan?

3. Jawapannya ialah peristiwa Nuzul al-Quran itu sebenarnya merujuk kepada penurunan al-Quran untuk pertama kali ke atas baginda saw iaitu peristiwa baginda saw didatangi Jibril di gua Hira' lalu diwahyukan 5 ayat pertama daripada surah al-'Alaq.

4. Para Ulamak berbeza pandangan tentang tarikh peristiwa itu berlaku antara 17, 21 dan 24 Ramadhan.

5. Menurut Imam Ibnu Kathir dalam Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah nukilan daripada al-Waqidi daripada Abi Ja'far al-Baqir bahawa "permulaan wahyu berlaku pada hari isnin 17 Ramadhan. Ada pendapat menyatakan ia berlaku pada 24 Ramadhan."

6. Syeikh al-Mubaarakfuri antara ulamak kontemporari membuat kajian semula dan berpandangan ia jatuh pada 21 Ramadhan.

7. Menurut Ibnu Abbas radiyallahu anhuma dalam hadis riwayat Imam Ahmad ia berlaku pada usia Baginda saw 40 tahun.

8. Setelah itu, ayat-ayat al-Quran turun sedikit demi sedikit sehingga lengkap kesemuanya dalam tempoh 23 tahun baginda menjadi Nabi.

9. Ayat paling akhir turun 9 malam sebelum kewafatan baginda saw sebagaimana riwayat Nasaei dan Ibnu Abi Haatim ialah ayat 281 surah al-Baqarah

وَاتَّقُوا يَوْماً تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لا يُظْلَمُونَ

10. Adapun peristiwa Nuzul al-Quran yang dirujuk oleh surah al-Qadar ayat pertama:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

yang bermaksud "sesungguhnya Kami turunkan ia pada malam al-Qadar", ia merujuk kepada peristiwa al-Quran turun sepenuhnya sekaligus dari *Lauh Mahfuz ke Baitil Izzah di langit dunia* pada malam al-Qadar pada bulan Ramadhan sebelum baginda saw mendapat wahyu yang pertama daripada Jibril.

11. Perkara ini diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw, Ibnu Abbas radiyallahu anhuma sebagaimana hadis riwayat Nasaei, Abu 'Ubaid, al-Hakim dan Ibnu Abi Syaibah dengan isnad yang Sahih. Imam Sayuti menyebut bahawa Imam Ibnu Kathir telah meriwayatkan ijmak sepakat ulamak dalam perkara itu.

29.6.16

WITIR

Sifat solat witir yang disebut oleh nabi Muhammad s.a.w adalah penutup kepada segala solat sunat pada sesuatu malam, persoalan:- 


(1)  sama ada boleh untuk mendirikan solat sunat yang lain selepas solat witir?



(2)  dan adakah boleh ditunaikan witir sekali lagi selepas itu?

Jawapan (1) = Majoriti ulama berpendapat hal tersebut DIBENARKAN berdasarkan hadis sohih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, At-Tirmidzi dan Ibn Majah  yang menyebut nabi mendirikan solat sunat dua rakaat selepas solat witir dan dibaca dalam solat itu surah Al-Zalzalah dan Al-Kafirun.

Isu Jawapan 1 : Ulama berbeza ijtihad dalam menanggapi hukum mereka yang telah berniat dari awal untuk solat sunat lain selepas witir seperti berikut  :-

(1)  Sesiapa yang solat witir tetapi berniat untuk solat sunat lagi selepas itu, sebahagian ulama Maliki berijtihad ia sebagai makruh. Berdalilkan kepada hadis nabi : Ertinya : Hendaklah kamu jadikan witir sebagai solat terakhir kamu di setiap malam. (Hadith sohih Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

(2)  Seseorang mendirikan solat witir tetapi tiada sebarang niat untuk solat sunat lain selepasnya. Namun atas apa jua sebab, dia mendirikan solat sunat selepas itu. 

Itu HARUS TANPA SEBARANG MAKRUH. Ulama menyatakan keharusannya namun mereka berbeza pandangan sama ada : 

(1) Hanya solat dengan rakaat genap tanpa witir sekali lagi 

(2) dimulakan dengan satu rakaat bagi menggenapkan witir yang telah dilakukan, diikuti solat sunat dua rakaat biasa dan disudahi dengan solat sunat dengan witir (rakaat ganjil) sebagai penutup.

Witir Di Awal Dan Dihujung Malam

(1) Pandangan Pertama : Tidak boleh digenapkan witir awal & tiada lagi witir selepas itu. 

Ini merupakan ijtihad majoriti Sahabat Nabi, Tabi'en dan ulama mujtahid termasuk mazhab Syafie. Berdasarkan ijtihad ini, tidak boleh witir digenapkan (orang Melayu namakan sebagai ‘buka' witir). Hanya perlu solat sunat dengan rakaat genap sehingga habis malam TANPA BOLEH MELAKUKAN WITIR SEKALI LAGI. Nabi menyebut Ertinya : Tiada dua solat witir dalam satu malam. ( Riwayat Al-Tirmidzi & Ahmad)

Berdasarkan hadis tersebut, Al-Hafidz Al-Iraqi menyatakan majoriti ulama menolak pandangan yang mengatakan boleh DIGENAPKAN witir atau dibatalkan bagi membuka ruang solat sunat lain dilaksanakan.

Menurut nukilan Ibn Abi Syaibah, antara sahabat nabi yang berpandangan demikian adalah Abu Bakar Al-Siddiq, Ammar B Yasir, Aisyah, Abu Hurairah dan ramai lagi. Manakala dari kalangan ulama besar tabien adalah Sa'id Ibn Musayyab, As-Sya'bi, Ibrahim al-Nakhi'e, Sa'id Ibn Jubair Pandangan itu juga dipegang oleh Sufyan Al-Thawry, Imam Malik, Imam Ahmad, Abu Thawr, Imam Shafi'e dan Qadhi Iyadh dan ramai lagi.

Menurut kumpulan ulama ini, pandangan yang membolehkan menggenapkan witir (buka) dan didirikan sekali lagi di akhir malam adalah lemah, selain alasan kekuatan dalil yang disandarkan, mereka juga mengutarakan pertikaian jika witir dilakukan di awal malam, kemudian tidur dan apabila bangun di hujung malam lalu dilaksanakan sambungannya, itu sudah dikira dua witir yang berasingan disebabkan wudhu yang telah batal dan pemisahan antara keduanya untuk tempoh yang panjang.

Hasilnya, untuk menganggap witir di awal malam dan yang dilaksanakan di hujung malam sebagai SATU WITIR adalah lemah, malah Imam As-Syawkani mengatakan jika dilakukan satu rakaat terlebih dahulu dengan niat untuk menggenapkan rakaat witir yang ganjil sebelum ini, maka ia sudah dikira witir kedua, dan jika ditutup pula solat sunat pada malam itu dengan witir yang lain, tatkala itu witir itu dianggap witir ketiga. Ia jelas melanggar tegahan nabi.

Selain itu dinaqal dari Abu Bakar As-Siddiq, Ammar bin Yasir dan Aisyah yang mengatakan sesiapa yang membatalkan witir ( dengan solat satu rakaat bagi menggenapkannya) adalah orang yang bermain-main dengan solatnya.

(2) Pandangan Kedua : Boleh digenapkan witir awal dan solat semula di akhirnya.

Pandangan dan ijtihad berbeza ini menyebut keharusan untuk neutralize witir awal dengan menggenapkan jumlah rakaat witir yang telah dilakukan iaitu dengan cara menunaikan satu solat dengan rakaat ganjil. Dengan cara itu, seolah witir yang sebelum ini berubah menjadi solat genap, tidak lagi witir.

Mereka berdalilkan athar dari Ibn Umar r.a yang diriwayatkan berkata :-Ertinya : Adapun aku, kiranya aku telah solat witir sebelum aku tidur, kemudian apabila (aku bangun) dan ingin menunaikan solat di malam hari, akan aku mulakan dengan satu rakaat barang yang telah selesai dari witirku sebelum ini ( menambah satu agar digenapkan) kemudian, aku akan solat sunat dua raka'at, dua raka'at, setelah selesai semuanya, akan aku  akhirinya dengan solat witir satu rak'at, itu adalah kerana Rasulullah mengarahkan kami agar menjadikan solat sunat terakhir dalam satu malam, adalah solat witir. ( Riwayat Ahmad)

Mereka juga berpegang kepada dalil athar Uthman Affan r.a :- Ertinya : sesungguhnya aku apabila aku ingin tidur di awal malam, aku dirikan solat witir, dan apabila aku bangkit ( di tengah malam) akan ku gabungkan dengannya (witir sebelum ini) dengan satu rakaat, tidaklah ia kecuali seperti seekor unta ganjil yang bergabung dengan kumpulannya. ( Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan Tirmidzi)

Diriwayatkan daripada Ali K.W berkata : Ertinya : Witir itu tiga cara, barangsiapa yang ingin witir di awal malam, maka perbuatlah, sekiranya dia bangun di malamnya , mulakan dengan satu rakaat dan diikuti dua rakaat, dua rakaat sehingga subuh diakhiri witir , maka lakukanlah. 

(Kedua) Sesiapa yang ingin solat dua rakaat sehingga subuh (tanpa diawali dengan satu rakaat dan diakhiri dengan witir lagi) , maka lakukanlah. 

(Ketiga), atau barangsiapa yang ingin terus melewatkan solat witirnya di akhir malam sahaja (tidak solat witir) di awal malam. (Riwayat Imam Syafie dalam musnadnya)

KESIMPULAN

(1)  Jelas hal ini adalah isu khilaf yang diterima, justeru semua pihak diharap tidak memperlekeh mana-mana pandangan yang berbeza. Saya pernah mendapati ada individu yang memperlekehkan tindakan ‘membuka witir' dengan menggenapkannya sebagai lucu. Kini telah disertakan beberapa dalil yang wujud dalam hal tersebut. Walau ia pandangan yang marjuh (kurang kuat), ia tidak wajar sama sekali untuk dilucukan.

(2)  Di bulan Ramadhan yang mana witir biasanya didirikan sebagai penamat kepada solat terawih. Jika kita bangkit bersahur dan punyai masa untuk terus menunaikan solat sunat lain, ia DIHARUSKAN tanpa perlu dimulai dengan satu rakaat witir. Tidak perlu pula ditutupi dengan witir lain selepas itu. 

Wajar dituruti pandangan majoriti ulama yang MELARANG ditunaikan solat witir sekali lagi di akhir malam. Cukup sekali witir yang telah didirikan di akhir terawih bersama imam berteatan dengan saranan Nabi Muhammad s.a.w. (diringkas dengan sedikit pindaan dari sumber (UZAR) Dr. Zaharuddin Abd Rahman).

Pilihan saya : Saya memilih pandangan bahawa  witir hanya dilakukan sekali dan jika dibuat di awal malam maka tidak perlu membuatnya lagi (dengan apa kaedahpun) diakhir malam (sebelum subuh), sekalipun, sejak dari awal saya juga telah merancang untuk membuat solat sunat- solat sunat yang lain diakhir malam.  

Selain bersandar hujah bagi pendapat pertama (yang lebih kuat) di atas, Pilihan saya ini adalah turut mengambilkira saranan Dr Abdul Basit, (berdasarkan terdapatnya satu hadith sahih) bahawa pada malam ramadan, mereka yang bersama dengan imam sehingga selesai (iaitu solat isyak, tarawih dan solat witir) akan mendapat kelebihan seumpama beribadah sepanjang malam hingga ke subuh. (Saya tidak sempat lagi mengesan hadithnya itu dan mengesahkan ketepatan matannya, bantuan diperlukan....).

Memandangkan kebanyakan masjid dan surau termasuk di qariah saya, solat witir 3 rakaat didirikan terus sebaik selesai solat tarawih, maka perlulah saya setia bersama imam hingga selesai solat witir walaupun saya bercadang untuk menunaikan beberapa solat sunat disekitar akhir malam sebelum bersahur.    

Walaupun Dr Abdul Basit mencadangkan agar jemaah berbincang supaya Iman dan makmum menangguhkan solat witir dan kembali ke masjid atau surau pada lewat malam untuk menunaikan solat witir seperti yang telah berjaya dilakukan di masjid/surau tertentu, tapi ia masih belum dapat lagi direalisasikan di qariah saya.

Walaubagaimana sekiranya ada pandangan balas dengan hujah-hujah lain, sila kemukakan kerana kita bersikap terbuka demi mencari pilihan dan cara terbaik dalam mengamalkan sunnah dan menyesuaikannya dengan realiti hari ini yang dibelenggu kekelamkabutan yang menyesakkan nafas.

Wallahu taala alam.

BAKA "KUDA EMAS"



Para pengguna media sosial semalam gempar apabila beberapa pengendali laman Facebook menyebarkan gambar ‘kuda emas’ yang dikatakan sebagai tercantik di dunia.

Mereka antara lainnya mendakwa kuda yang berasal dari Turki itu merupakan baka dari kuda perang milik Nabi Muhammad SAW.

“Kuda ni berasal dari Turki dikatakan sebagai kuda tercantik di dunia (dan) rekod harga kuda paling mahal di dunia ialah RM8 billion iaitu baka kuda perang milik Rasulullah SAW” memetik kenyataan di status tersebut.
“Suatu ketika, 40 ekor kuda dikuarantin dan diberikan makan tanpa diberi air untuk satu tempoh tertentu untuk tujuan pemilihan baka. Suatu hari 40 ekor kuda ini dibawa ke satu kawasan oasis, di sana Rasulullah melepaskan semua 40 ekor kuda yang dahaga tersebut.
“Sebelum sempat 40 ekor kuda sampai digigi oasis tersebut, lalu Rasulullah saw memanggil kesemua kuda-kuda tersebut dengan isyarat tertentu.
“Dari 40 ekor kuda tersebut, hanya 4 ekor kuda sahaja yang berpaling dan berlari semula kepada Rasulullah SAW tanpa mempedulikan air tersebut, walaupun ia tersangat dahaga.
“Maka 4 ekor kuda inilah yang dipilih oleh Rasulullah SAW sebagai kuda perang Baginda, kerana kuda ini setia yang rela berkorban demi pemiliknya iaitu Rasulullah SAW,” katanya memetik sebagai berkata.
Bagaimanapun tidak dapat memastikan kesahihan dan kebenaran kisah tersebut kerana tidak dinyatakan sumber dari mana kisah tersebut dipetik.
Namun hasil carian yang dilakukan mendapati kuda dari baka emas itu memang terkenal antara yang paling cantik dan mahal.
Berikut adalah catatan ringkas mengenai kuda tersebut:
Kuda emas adalah sejenis baka kuda yang berasal dari Turkmenistan yang terkenal kerana pantas, lasak, cerdik, serta unik dengan bulu yang ‘berkilat’ sehingga dikenali dengan jolokan “Kuda Emas”. 

Kuda ini sesuai dengan keadaan iklim yang melampau, malah dipercayai sebagai antara baka kuda tertua yang masih wujud. Kuda dari baka ini dikatakan semakin pupus.

-tranungkite.net

20.6.16

SEMBILAN NAMA ANAK SYAITAN MENURUT SAYYIDINA UMAR AL-KHATTAB R.A

(1) ZALITUUN

Duduk di pasar / kedai. Tugasnya Menggoda supaya manusia berbelanja lebih dan membeli barang-barang yang tidak perlu

(2) WATHIIN 

Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah

(3) A'AWAN 
Menghasut sultan / raja / pemerintah supaya tidak mendekati rakyat. Terlena dengan kedudukan / kekayaan hingga mengabaikan kebajikan rakyat dan tidak mahu mendengar nasihat para ulama

(4) HAFFAF

Berkawan baik dengan kaki botol. Suka menghampiri orang yang berada di tempat-tempat maksiat (cth: disko, prostitusi, kelab malam & tempat yang ada minuman keras)

(5) MURRAH 

Merosak dan melalaikan manusia dari Allah. Orang yang suka muzik
sehingga
 lupa kepada Allah. Mereka ini tenggelam dalam kemewahan dan glamour dll

(6) MASUUD
 
Duduk di bibir mulut manusia supaya melahirkan fitnah, gossip, umpatan dan apa saja penyakit yang keluar dari kata-kata mulut

(7) DAASIM
 
Duduk di pintu rumah kita. Jika tidak memberi salam ketika masuk ke rumah, Daasim akan bertindak agar terjadi keruntuhan rumahtangga (suami isteri bercerai-berai, suami bertindak ganas, memukul isteri, isteri hilang pertimbangan menuntut cerai, anak-anak didera dan pelbagai bentuk kemusnahanrumah tangga lagi)

(8) WALAHAAN
 
Menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya ketika
berwuduk dan solat serta ibadat-ibadat kita yang lain

(9) LAKHUUS
 
Merupakan sahabat orang Majusi yang menyembah api / matahari

- Share & semoga bermanfaat. InsyaAllah. - oleh
 Dr. Tengku Asmadi bin T. Mohamad

26.4.16

CARA NABI SAW MEMBACA AL-QURAN



Bacalah Al-Quran dan fahamilah ia…

Di dalam tulisan bertajuk Kelebihan Membaca dan Menghayati Al-Qurantelah disenaraikan beberapa hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam mengenai anjuran, galakan dan kelebihan berkaitan Al-Quran.  Semoga dengannya kita semakin bersemangat untuk mendampingkan diri kita dengan Al-Quran, in shaa’ ALLAH.

Berikut ini pula diterangkan mengenai cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran.  Tujuannya adalah supaya kita sama-sama meniru dan mengikuti cara yang terbaik ini, in shaa’ ALLAH.  Hadith-hadith adalah dipetik dari Syama’il Muhammadiyyah susunan al-Imam at-Turmudzi dan Riyadhus Solihin susunan al-Imam an-Nawawi – rahimahumallah.

1)  Membaca dengan jelas, perkataan demi perkataan.

Ya`la bin Mamlak radhiAllahu `anhu bertanya kepada Ummu Salamah radhiAllahu `anha mengenai cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran.  Lalu Ummu Salamah menjelaskan bahawa Rasulullah membaca Al-Quran dengan jelas, perkataan demi perkataan.
(Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Turmudzi dan Nasa’i)

2)  Memanjangkan bacaan sesuai dengan hukum tajwid

Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, aku bertanya kepada Anas bin Malik radhiAllahu `anhu:
“Bagaimanakah cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran?”
Anas menjawab:  “Baginda memanjangkan bacaan (sesuai dengan hukum tajwid).”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, at-Turmudzi, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)

3)  Memotong bacaan pada setiap ayat.

Ummu Salamah radhiAllahu `anha berkata:
“Adalah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam memotong bacaan Baginda (pada setiap ayat). 
Baginda membaca ‘  الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ  ‘ lalu berhenti. 
Kemudian Baginda membaca ‘  الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ  ‘ lalu berhenti. 
Kemudian Baginda membaca ‘  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ  ‘.”
(Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Turmudzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)

4)  Kadang-kala dengan suara yang perlahan, kadang-kala dengan suara yang kuat.

`Abdullah bin Abi Qais radhiAllahu `anhu berkata:
Aku bertanya kepada `A’ishah radhiAllahu `anha mengenai bacaan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam: “Adakah Baginda membaca secara perlahan atau pun kuat?”
Beliau menjawab:  “Baginda pernah membaca dengan kedua-dua cara.  Kadang-kala Baginda membaca dengan perlahan.  Dan kadang-kala Baginda membaca dengan kuat.”
Aku membalas:  “Seluruh pujian kepada ALLAH yang memberikan kemudahan dan kesenangan dalam perkara ini.”
(Diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, at-Turmudzi, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)

5)  Membaca dengan suara yang indah

`Abdullah bin Mughaffal radhiAllahu `anhu berkata:
Aku melihat Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam duduk di atas tunggangannya pada Hari Pembebasan Makkah sambil membaca:

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًالِّيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ
(Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.  Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian…)
`Abdullah bin Mugahffal berkata:  “Baginda membaca ayat ini dengan suara yang indah.”
Mu`awiyyah bin Qurrah (seorang daripada yang merekodkan hadith ini) berkata:  “Seandainya orang tidak berkumpul di sekelilingku, pasti akan kubaca seperti itu” atau “sama indah bacaannya dengan Rasulullah.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Turmudzi, Nasa’i dan Ahmad.)

Dari al-Bara’ bin `Azib radhiAllahu `anhu berkata:
“Aku mendengar Rasulullah sallAllahu `alihi wa sallam membaca pada waktu `Isya’ surah وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ.  Aku belum pernah mendengar seorang pun yang suaranya lebih merdu dari suara Baginda.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

6)  Kadang-kala mendengar orang lain membaca Al-Quran

Dari Ibnu Mas`ud radhiAllahu `anhu berkata:
Bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berkata kepadaku:  “Bacakanlah Al-Quran untukku.”
Aku berkata:  “Wahai Rasulullah, saya membacakan Al-Quran untuk tuan?  Padahal kepada tuan lah Al-Quran diturunkan.”
Baginda bersabda:  “Sesungguhnya aku ingin mendengar Al-Quran dibaca oleh orang lain.”

Maka aku pun membacakan untuk Baginda surah an-Nisa’ sehingga sampai ayat:
فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا
(Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada Hari Akhirat kelak), apabila KAMI datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan KAMI juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?).

Kemudian Baginda bersabda:  “Cukuplah sampai di sini.”
Saya menoleh kepada Baginda, tiba-tiba kedua matanya mencucurkan air mata.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
*Ayat tersebut adalah ayat ke-41, surah an-Nisa’.


Semoga bermanfaat.  Mudah-mudahan hidayah dan taufiq ALLAH tercurah ke atas kita semua, amin…