Halaman

Walaupn Hidup 1000 th. Klau x Smbahyang Apa Gnanya

5.10.12

Untukmu Ya Rasulullah


Untukmu Ya Rasulullah

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari kalangan kamu, terlalu berat kepadanya apa yang ditanggung oleh kamu dan terlalu kasih sayangnya terhadap orang-orang yang beriman.” (at taubah: 128)

Ya Rasulullah… Engkau telah melalui segalanya demi kasihmu kepada kami ummatmu. Difitnah, dicaci, dimaki, dituduh sebagai orang gila, ahli nujum, dipulaukan kaum keluargamu sehingga engkau terpaksa mengikat batu di perut, dipulau sehingga terpaksa makan daun-daun kayu dan belulang kering, diseksa, disakiti dirimu dan para sahabatmu, dihalau dari Bumi Mekah tanah tumpah darahmu, diperangi, dibunuh syahid para sahabatmu… semuanya telah engkau lalui, demi untuk menyelamatkan ummatmu.

Ketika dihujani lontaran batu dan maki hamun penduduk Taif yang musyrik, Nabi hanya mengadu kepada Allah…Ya Allah, Ya Tuhanku… aku mengadu kepadamu lemahnya kekuatanku, sedikitnya helahku, betapa hinanya aku di kalangan manusia, Ya Allah, Tuhan yang paling penyayang di kalangan semua yang penyayang. Engkaulah tuhan kepada orang-orang yang lemah tertindas…

Ketika datang Malaikat yang menjaga bukit berkata kepada Nabi, Ya Muhammad! Aku menunggu perintahmu sahaja, kalau kamu mahu, aku dapat timpakan ke atas penduduk Taif itu, bukit-bukit besar yang mengelilingi Mekah.”

Rasulullah menjawab…“Jangan! Aku berharap Allah akan melahirkan dari dalam sulbi mereka orang-orang yang menyembah Allah azzawajalla dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu yang lain.”
Allah… kasihnya Nabi kepada kita ummatnya sehingga Nabi selalu mengulangi doa…

Betapa besarnya jiwa Rasulullah. Harapan untuk menyelamatkan manusia dari kesesatan tidak boleh dipadamkan dengan lontaran batu dan darah yang membasahi sepatunya. Pandangan Rasulullah sangat jauh, walaupun telah tiba bantuan tentera Allah dari 7 petala langit, tetapi kesabaran Rasulullah mengatasi kemarahannya.

Nabi pernah bersabda, “Aku pernah ditakutkan dengan pelbagai ancaman oleh kaum musyrikin kerana menyampaikan agama Allah, tidak ada seorang pun yang pernah ditakutkan sepertiku, aku juga pernah disakiti kerana Allah dan tidak ada seorang pun yang pernah disakiti seperti aku. Aku dan Bilal pernah tidak memiliki makanan yang layak dimakan oleh manusia, selama 30 hari 30 malam berturut-turut. Apa yang ada hanyalah sedikit makanan yang disimpan oleh Bilal di bawah lengannya.

Seorang sahabat, Naufal bin Iyas menceritakan, Abdul Rahman bin Auf merupakan sahabat kami dan beliau adalah sebaik-baik sahabat. Pada suatu hari, kami singgah di rumahnya. Beliau menghidangkan roti dan daging dalam dulang besar kepada kami. Ketika menghidangkan makanan, Abdul Rahman menangis. Aku bertanya, Wahai Abdul Rahman! Apa yang menyebabkan kamu menangis? Beliau menjawab, “aku teringatkan Rasulullah, sehingga baginda wafat, baginda dan keluarga tidak pernah kenyang memakan roti dan daging selama 2 hari berturut-turut.”

Ini hanyalah sekelumit gambaran seorang Rasul Allah, yang sehingga akhir nafasnya masih menyebut, ummati…ummati…

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda mafhumnya, Allah akan menghimpunkan sekalian manusia pada hari qiamat di Padang Mahsyar, dengan sebab dahsyatnya keadaan, mereka diilhamkan jalan untuk melepaskan diri. “Bukankah elok kalau kita mencari orang yang dapat mengemukakan syafaat kepada Tuhan kita supaya Tuhan melepaskan kita dari penderitaan tempat ini?”

Mereka pun pergi menemui Nabi Adam a.s., Engkau ialah bapa sekalian manusia, Allah telah menciptakanmu dengan kekuasaanNya dan meniupkan padamu dan roh-Nya, serta ia memerintahkan Malaikat sujud kepadamu; tolonglah kemukakan syafaat kepada Tuhamu untuk kami supaya ia melepaskan kami dari penderitaan tempat ini”. Nabi Adam berkata, “Aku bukanlah orang yang layak untuk itu, serta Adam a.s menyebut salah silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu aku merasa malu kepada Allah, “Pergilah kamu menemui Nabi Noh, Rasul yang pertama yang telah diutus oleh Allah Taala’.”

Manusia pun pergilah menemui Nabi Noh a.s., Nabi Noh menjawab dengan katanya: “Aku bukanlah orang yang layak untuk itu”, sambil menyebut salah-silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu aku merasa malu kepada Allah: Tetapi, kata Nabi Noh, “Pergilah kamu menemui Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa a.s memberikan jawapan yang sama.

Sehinggalah Nabi  bersabda: Setelah itu mereka datang menemuiku, aku pun berkata: “Akulah orang yang layak untuk itu, akulah orang yang layak untuk itu” aku memohon izin mengadap Tuhanku, Lalu diizinkan daku mengadapnya, maka aku pun berdiri mengadapnya serta memujinya dengan puji-pujian kemudian aku menumuskan muka sujud kepada Allah hingga aku diseru: 
 
“Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu dan berkatalah apa sahaja nescaya diperkenankan, mintalah supaya diberikan dan kemukakanlah syafaat supaya dikabulkan syafaatmu. Maka aku pun merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Kasihanilah umatku! Kasihanilah umatku!
 
 Untukmu Ya Rasulullah

Mati Tanpa Sempat Bayar Hutang


Persoalan di bawah ini.

1. Seseorang yang berhutang tanpa diketahui oleh warisnya, jika meninggal, tiada siapa yang melunaskan hutang tersebut bagi pihak dirinya, jadi bagaimana dosa hutang yang ditanggung tersebut, adakah diselesaikan di akhirat nanti dengan cara membayar pahala amalan kepada si penghutang

2. Semasa hidup, kalau kita merasakan kita ada hutang dengan seseorang pada masa lampau tetapi kita telah lupa siapa orang yang menjadi tempat kita berhutang itu, atau orang tersebut tidak diketahui di mana berada atau tidak diketahui berapa jumlahnya, 

Adakah boleh kita melangsaikan hutang yang sudah dilupai itu dengan cara mengeluarkan sejumlah wang dan disedekahkan (umpamanya untuk pembinaan masjid) - sebagai pelunasan semua hutang yang tidak diingat itu. Wang itu diniatkan sebagai sedekah mewakili orang yang memberi hutang atau bagi pihak orang yang memberi hutang. Adakah hutang tersebut terlunas dengan cara itu.

Terima kasih.

Jawapan;

1. Terdapat hadis menegaskan;

“Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya dengan keinginan untuk memusnahkannya (yakni tiada keinginan untuk membayarnya), Allah akan memusnahkannya” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA. Soheh al-Bukhari, Kitab al-Istiqradh…, hadis no. 2387).

Menurut penjelasan ulama, maksud “mengambil harta orang lain” merangkumi mengambilnya sebagai hutang, mengambilnya untuk menyimpanya (wadi’ah), melalui melalui satu bentuk mu’amalah atau lain-lainnya. Ia tidak terikat dengan mengambil secara zalim sahaja. Maksud; “dengan keinginan untuk membayarnya” ialah; berniat untuk membayarnya ketika di dunia.

Maksud “Allah akan membayar bagi pihaknya” ialah; Allah akan membantunya untuk membayarnya atau Allah akan melapangkan rezekinya sehingga dia dapat membayar hak orang lain sebelum kematiannya. Atau boleh juga difahami dengan maksud doa daripada Nabi SAW, iaitu; 

“Semoga Allah akan membayar bagi pihaknya”. Menurut Imam al-Munawi; makna zahir hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa berniat untuk menunaikan/membayar (hutang kepada orang lain yang tertanggung atas bahunya), kemudian dia mati sebelum sempat membayarnya kerana kesusahannya atau kerana matinya secara tiba-tiba, Allah tidak akan mengambil daripada kebaikan-kebaikannya di akhirat (untuk dibayar kepada pemilik hutang tadi), akan tetapi Allah akan menjadikan pemilik hutang redha kepadanya (dan tidak menuntut haknya)” (Faidhul-Qadier, hadis no. 8351).

Maksud “mengambil dengan keinginan untuk memusnahkannya” ialah mengambil hak orang lain tanpa berniat membayarnya. Maksud “Allah akan memusnahkan hartanya” ialah; Allah akan memusnahkan hartanya di dunia dengan mentakdirkan banyak berlaku dugaan kepadanya, kerugian demi kerugian, musibah dan terhapusnya barakah, dan di akhirat pula Allah akan menghukumnya kerana hak orang lain tersebut.

Abu Hurairah RA menceritakan; Suatu hari Nabi SAW pernah bertanya sahabat-sahabatnya; ‘Tahukah kamu siapa orang muflis?’. Mereka menjawab; ‘Orang muflis mengikut kefahaman kami ialah seorang yang tidak memiliki wang (untuk membayar hutangnya) dan tidak pula memiliki barang (untuk digadai bagi membayar hutangnya)’. 

Lalu Nabi bersabda; “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditapukkan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” (HR Imam Muslim. Soheh Muslim, kitab al-Birri wa as-Shilah wa al-Adab, hadis no. 2581).

Untuk soalan kedua; 

hendaklah berusaha mengingati siapa pemilik hutang tersebut,kemudian mencarinya dan menyerahkan kembali wangnya. Jika dia sudah meninggal hendaklah diserahkan kepada waris-warisnya. Jika masih tidak berupaya mengingati siapa pemilik hutang itu atau dia tidak dijumpai setelah puas mencarinya dan begitu juga waris-warisnya juga tidak dijumpai, hendaklah duit hutang itu disedekahkan kepada fakir miskin atau kepada mashalah-maslahah am agama dan kaum muslimin (pembinaan masjid, imarah masjid, pengajian Islam, program dakwah dan seumpamanya) dan diniatkan sedekah itu untuk pemilik hutang tersebut. 

Namun jika setelah disedekahkan hutang tersebut, tiba-tiba muncul pemiliknya, wajib dibayar hutangnya dan pahala sedekah tadi berpindah menjadi milik orang yang memberinya.

Rujukan;
1.Faidhul-Qadier (Syarah al-Jami’ as-Saghier), Imam al-Munawi, hadis no. 8351.
2.Minhatul-Bari Fi Khidmati Soheh al-Bukhari (Syeikh Mustafa al-Bugha), hadis no. 2275.
3.Subulus-Salam (Syarah Bulughul-Maram), kitab al-Buyu’ Abwab; as-Salam wa al-Qardh wa ar-Rahn, no. hadis 876.
4.Fatwa Muhammad Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com), no. 132202.

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

4.10.12

4 Tahap...


Aqiqah 2 Ekor Kambing Secara Berperingkat



Soalan :
 
Akikah untuk Bayi lelaki. Bolehkah majlis akikah dibuat dua kali; 
Majlis akikah yang pertama seekor kambing, majlis akikah yang kedua (Hari yang berbeza) seekor lagi kambing. Atau satu bahagian lembu.

Jawapan ;

Akikah untuk anak lelaki disunatkan dua ekor kambing sebagaimana dalam hadis; “Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing” (HR Imam Abu Daud dari Ummu Kurzi al-Ka'biyah RA. Sunan Abu Daud, 2834).

Menurut ulama mazhab Syafie; 
harus dilakukan juga dengan dua tompok lembu. (lihat jawapan sebelum ini; Hukum Akikah dengan lembu).

Sebaik-baiknya dua ekor kambing (atau dua tompok) itu dilakukan bersama-sama kerana dapat segera terhasil pahala berakikah dengan dua ekor kambing sebagaimana yang disunatkan oleh Nabi SAW bagi anak lelaki tadi. 

Namun jika hendak dilakukan seekor dulu, tidaklah dilarang kerana menurut ulama; sekalipun akikah untuk anak lelaki digalakkan dua ekor kambing, namun jika dilakukan seekor sahaja ia adalah sah dan terhasil pahala akikah. Nabi SAW sendiri, walaupun menggalakkan dua ekor, tetapi baginda hanya melakukan seekor sahaja untuk cucunya.

Ibnu 'Abbas RA menceritakan; “Rasulullah SAW melakukan akikah bagi Hasan RA dan Husain RA dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)” (HR Imam Abu Daud. Sunan Abu Daud, 2841).

Apabila telah dilakukan seekor, kemudian dilakukan lagi seekor maka yang kedua dianggap penyempurnaan bagi akikah yang pertama, namun pahalanya tidak sama dengan yang pertama kerana ibadah akikah - apabila telah tiba waktunya - lagi segera/cepat dilaksanakan, lagi baik.

Masa terbaik melakukan akikah ialah pada hari yang ke tujuh bayi dilahirkan (hari lahir dihitung sebagai hari pertama jika dilahirkan siang hari). Saidatina 'Aisyah RA menceritakn; “Nabi SAW melakukan akikah untuk Hasan dan Husin pada hari ketujuh, baginda memberi nama kepada mereka berdua dan baginda menyuruh supaya dibuang kekotoran daripada kepala mereka berdua (yakni dicukur rambut mereka)” 

(Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim dengan sanad yang baik menurut Imam Nawawi. Lihat; al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320).

Menurut ulama; Jika tidak dapat dilakukan pada hari ke tujuh, disunatkan dilakukan sebelum habis tempoh nifas. Jika selepas selesai nifas masih belum dilakukan, maka disunatkan sebelum putus menyusu. Jika belum dilakukan juga, maka disunatkan sebelum berumur tujuh tahun. Jika masih juga belum dilakukan, maka disunatkan sebelum mencapai umur baligh. 

Jika setelah sampai umur baligh masih belum lagi diakikahkan, maka gugur sunat tersebut daripada wali/ penjaga dan ketika itu diberi pilihan kepada bayi untuk melakukan akikah bagi dirinya (apabila dewasa). (Kifayatul-Akhyar, hlm. 534).

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil