Halaman

Walaupn Hidup 1000 th. Klau x Smbahyang Apa Gnanya

Walaupn Hidup 1000 tahun klu x sembahyang apa gnanya

20.11.14

Potongan Zakat Bulanan Bercanggah Sunnah?



Soalan: Saya mendengar ada ustaz berceramah, adalah salah tindakan pihak pusat zakat memotong gaji para pekerja setiap bulan sebagai zakat, kerana ia bercanggah dengan sunnah. Bolehkah ustaz perjelaskan isu ini? Terima kasih.
Jawapan: Terima kasih atas persoalan yang dikemukakan, semoga Allah SWT memberkati dan merahmati kita semua, amin.

Memang tidak dinafikan, ada pihak tertentu yang beranggapan bahawa kaedah pembayaran zakat pendapatan menerusi potongan gaji bulanan adalah salah. Pihak berkenaan mendakwa, ada tiga sebab mengapa ia tidak boleh dilaksanakan, iaitu:

1. Potongan bulanan itu bertentangan dengan ketetapan hadis yang mensyaratkan wajib mencapai haul ke atas harta zakat,
2. Potongan zakat (diambil secara bulanan) tiada dalam amalan sunnah nabi mahu pun para sahabat terdahulu, dan
3. Potongan zakat ini telah menzalimi mereka yang dipaksakan potongan ke atasnya, kerana pihak pusat zakat tidak mengambil kira pun aspek perbelanjaan sebenar orang berkenaan.

Sebelum menjelaskan lebih lanjut, suka dimakluman bahawa di dalam perlaksanaan zakat pendapatan ini ia memang terbuka kepada kepelbagaian pandangan ulama. Malah, ia boleh jadi berbeza dari satu ke satu masa, boleh jadi berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain, malah boleh jadi berbeza dari segi hukum ke atasnya di antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Soalannya, kenapakah wujud perbezaan ke atasnya? Hal ini kerana, hukum ke atas zakat pendapatan ini sifatnya tidak ijmak (tidak ada kesepakatan atau ittifaq dalam kalangan fuqaha), sehingga dengan itu membolehkah wujudnya perbezaan pendapatan (khilaf) dalam perlaksanaannya.

Namun, dalam jawapan ini penulis tidak bermaksud memanjangkan perbahasan mengenai khilaf berkenaan. Malah di Malaysia sendiri, termasuklah di nusantara dan pelbagai belahan dunia Islam, zakat pendapatan sudah mendapat tempat yang sewajarnya. Hal ini kerana, menerima kemasukan zakat pendapatan adalah lebih utama daripada menolaknya, kerana jelas ia telah memberikan natijah yang cukup besar kepada kepentingan ummah secara umum.

Baiklah, apa kaitannya dengan perbincangan di sini, khususnya dalam bab memotong zakat secara bulanan ini? Jawapannya, ini kerana khilaf itulah yang menyebabkan lahirnya idea pemotongan zakat secara bulanan. Sesungguhnya, memang ada dalil di dalam Islam yang mengharuskan perkara tersebut untuk dilakukan. Apatah lagi, dalam perlaksanaan sesuatu ibadah, seperti zakat, maka penentuan dalil sangat penting, demi mengelakkan ibadah itu tertolak atau menyalahi hukum yang sebenar (dan menjadi bid’ah).

Pertama, dakwaan potongan bulanan itu bertentangan dengan ketetapan hadis zakat yang mensyaratkan wajib mencapai haul (genap setahun dimiliki) ke atas harta zakat. Jawapannya, dalam hal ini sebenarnya ada dalil daripada Nabi SAW sendiri yang memberikan keizinan kepada kita untuk mengeluarkan zakat tanpa perlu menunggu haul. Hal ini telah berlaku kepada Abbas bin Abdul Mutalib r.a (bapa saudara nabi) yang bertanya kepada Rasulullah SAW, tentang zakatnya yang mahu dikeluarkan sebelum sampai haulnya dan nabi mengizinkannya (hadis ini dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan at-Termizi, rujuk Hukum Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradhawy, hal. 814 dan Fiqh Islam Jilid 3, Dr. Wahbah az-Zuhaily, hal. 187 juga al-Amwal, Abu Ubaid, hal. 710).

Namun, ada pihak yang mempertikaikan status hadis yang diriwayatkan di atas, dan menganggap ia adalah hadis daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Dr. Yusuf al-Qaradhawy sebaliknya menegaskan, masih ada hadis-hadis lain termasuklah hadis sahih riwayat Imam Muslim yang mendokong berkenaan isu mendahului haul zakat ini.

Di dalam sebuah hadis Muslim, ada disebutkan perihal Umar r.a telah diutuskan untuk mengambil zakat daripada Abbas r.a dan berlaku dialog panjang dengan beberapa orang sahabat yang mencegah Umar daripada mengambil zakat ke atasnya. Akhirnya Nabi SAW memberitahu Umar bahawa zakat atas pamannya itu adalah atas tanggungannya, dan (Abu Ubaid menokok) Nabi SAW kemudiannya memberikan pinjaman kepada Abbas r.a untuk zakat bagi dua tahun mendatang (didahulukan haulnya).

Hal ini bolehlah dirujuk langsung ke dalam kitab Hukum Zakat dalam bab ‘Alasan yang membolehkan (mendahului haul zakat)’ pada halaman 814-817.

Perkara kedua, adakah amalan membayar zakat tepat sewaktu ia diperoleh ini tidak ada sandaran dalil? Di sini, ada beberapa dalil atas amalan para sahabat (disebut athar sahabi ataupun hadis Mauquf) yang boleh dijadikan panduan.

Pertama, dinyatakan Abu Ubaid meriwayatkan daripada Habirah bin Yaryam bahawa dia berkata: Sesungguhnya Abdullah bin Mas’ud memberi gaji kepada kami di dalam bekas kecil, kemudian beliau mengambil zakat daripadanya. (rujuk Kitab al-Amwal oleh Abu Ubaid, hal. 504)

Abu Ubaid juga menyatakan di dalam kitabnya: bahawa Umar bin Abdul Aziz apabila memberikan kepada seseorang upahnya ia akan mengambil zakat daripada upah tersebut. Dan apabila ia mengembalikan harta yang dirampas, ia akan mengambil daripadanya zakat. Dan ia juga mengambil zakat daripada gaji yan diberikan kepada pemiliknya. (ibid, hal. 432)

Kenapakah mereka melaksanakan hal tersebut? Hal ini kerana, mereka beranggapan bahawa status haul ke atas zakat pendapatan adalah tidak sama seperti mana harta-harta yang lain. Zakat ke atas harta pendapatan hendaklah dikeluarkan pada saat ia diperoleh, sama seperti memperoleh harta pertanian. Pandangan ini dikongsikan oleh sebahagian fuqaha muktabar, misalnya Ibnu Mas’ud, Muawiyah, Umar bin Abdul Aziz, Hassan dan az-Zuhri (Hukum Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradawy, hal. 469)

Di samping itu, jika mahu kita boleh merujuk kepada kitab yang sama mengenai perbahasan status haul ke atas zakat, di mana Dr. Yusuf al-Qaradawy telah membahaskan perihal status hadis yang mensyaratkan haul adalah tidak mencapai darjat sahih (ibid, hal. 463-467).

Ketiga, benarkah potongan ini juga telah menzalimi mereka yang berkenaan? Jawapannya, bertitik tolak daripada perbincangan di atas, maka kita dapat merumuskan bahawa menunaikan zakat lebih awal dan tanpa perlu menunggu haul, adalah satu keharusan yang diberikan dalam hukum Islam. Ia bukanlah wajib, tetapi harus sahaja. Maka, membuat potongan bulanan tidak wajib, tetapi digalakkan dan tidak patutlah timbul ia satu kezaliman.

Hal ini kerana, semasa proses pemotongan dilakukan, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya telah mengambil kira jumlah pendapatan kasar yang bakal diperoleh dalam setahun (didarab 12 bulan) dan ditolak keperluan diri, isteri dan anak-anak (sebagaimana yang ditetapkan dalam kaedah Had al-Kifayah pembayar zakat).

Sekiranya taksiran yang dilakukan oleh pihak LZS itu dirasakan tidak tepat, maka pihak yang berkenaan boleh menaksir sendiri zakat mereka dan mengemukakan amaun zakat bulanan yang baharu kepada LZS untuk dijadikan potongan bulanan. Maknanya, ia bukanlah satu amaun yang sudah ‘mutlak dan putus’ dipatuhi, tetapi masih boleh dikira kembali. Sekiranya pihak muzakki sudah mempunyai amaun yang dikenal pasti, mereka hendaklah menghantarkan maklum balas kepada LZS (dalam tempoh 30 hari) untuk tindakan lanjut (rujuk Keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMK) Ke 27/ 2003, 10 Disember 2003).

Kesimpulannya, potongan zakat pendapatan menerusi gaji bulanan ini sebenarnya hanyalah satu inovasi yang bertitik tolak daripada apa yang pernah dilakukan oleh para sahabat silam, dalam bentuk yang lebih kemas dan teratur. Banyak kelebihan yang boleh diperoleh oleh pembayar, termasuklah melaraskan jumlah potongan zakat bulanan dengan Potongan Cukai Berjadual, dan ia juga boleh meringankan beban kewangan mereka (kerana jika tidak, lebihan cukai hanya boleh dituntut pada tahun hadapan).

USTAZ HAMIZUL ABDUL HAMID

Dakwaan Kisah Nabi S.A.W Menyebut ‘Ummati, Ummati..”

ISU:
Benarkan dakwaan yang mengatakan bahawa kisah Nabi S.A.W menyebut ‘Ummati, ummati..” ketika hampir wafat adalah kisah yang tidak benar?

PENJELASAN:

Kisah kewafatan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah satu peristiwa yang sangat besar dan perincian peristiwa tersebut telah direkodkan secara bersanad oleh para ulama hadis. Justeru, sebarang perkataan atau perbuatan yang disandarkan kepada baginda termasuklah peristiwa kewafatan baginda, hendaklah dinilai kesahihan atau kedaifannya melalui kaedah ilmu hadis.

Berkenaan dengan perkataan “Ummati, ummati...” (Umatku, umatku...) yang dikatakan disebut oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ketika hampir wafat, kisah ini tidak didapati dalam sumber-sumber hadis yang muktabar di sisi Ahli Sunnah.
Namun, perkataan “Ummati, ummati..” disebut oleh baginda dalam beberapa hadis lain yang tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan baginda.

Antaranya hadis tentang syafaat di akhirat yang menyebut bahawa baginda menyebut “Wahai Tuhanku, Ummati, ummati”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Begitu juga hadis bahawa Nabi membaca beberapa potong ayat Quran lalu menyebut “Ummati, ummati..” sambil menangis. (Riwayat Muslim).
Kedua-dua hadis sahih tersebut tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Manakala kisah kewafatan baginda, tidak ada riwayat sahih yang merekodkan bahawa baginda menyebut, “Ummati, ummati” sebelum kewafatannya.
Adapun yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani dalam Mukjam Awsat, dan juga Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Awliya (4/73) bahawa baginda berkata sebelum wafat:

من لأمتي المصطفاة من بعدي
Hadis tersebut dinilai dhaif oleh ulama hadis. Antaranya Al-Hafiz al-Iraqi di dalam kitab al-Mughni ‘An Haml al-Asfar Fi al-Asfar (m/s 1849) mengatakan, “Sanadnya dhaif”.
Wallahu A’lam.