Halaman

Walaupn Hidup 1000 th. Klau x Smbahyang Apa Gnanya

Walaupn Hidup 1000 tahun klu x sembahyang apa gnanya

24.11.11

Harta Sepencarian : Konsep dan Amalan


Pendahuluan
 
Pada dasarnya, konsep harta sepencarian tidak dibincangkan secara khusus oleh para ulama’. Malah tidak ada sebarang dalil nas yang jelas berkaitannya. Namun para ulama’ telah memberi pelbagai pandangan dalam membicarakan tentang harta sepencarian. Ada yang menyebut ia sebagai “Mata’ al-Bayt” iaitu perkakasan rumah dan ada yang menyebut sebagai “Mal al-Zawjayn” yang bermaksud harta suami isteri.
 
Apa yang jelas, harta sepencarian tidak boleh dianggap sebagai satu aqad perkongsian (al-Syarikah). Ini kerana harta sepencarian dikuatkuasakan melalui perkongsian hasil suami dan isteri. Walaupun ketika aqad nikah wujud satu bentuk aqad, namun ia tidak boleh dianggap aqad bagi kontrak secara langsung menimbulkan harta sepencarian. Ini kerana, ijab dan qabul tersebut hanyalah bertujuan menghalalkan satu pergaulan antara suami dan isteri sahaja.
 
Adat Melayu
 
Jika dilihat sejarah lampau, harta sepencarian telahpun dianggap sebagai satu bentuk adat dalam masyarakat Melayu. Menurut Adat Pepatih, ia disebut sebagai ”carian laki bini”. Misalnya dalam kes Hasmah lwn Jalil, telah diputuskan bahawa harta carian laki bini hendaklah dibahagikan dua antara suami dan isteri apabila berlaku perceraian. Malah jika diamati, sebelum pindaan Perkara 121(1A), kebanyakan keputusan para hakim Inggeris berkaitan harta sepencarian lebih cenderung merujuk kepada pemakaian adat setempat orang Melayu.
 
Dalam kes Robert lwn Boto’, diputuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian dianggap sebagai harta sepencarian dan mahkamah akan membahagikan setiap setengah bahagian jika pihak-pihak bersetuju. Ini adalah berdasarkan kepada anggapan bahawa ia adalah satu adat dan bukannya hukum syarak.
 
Hukum Syarak
 
Persoalannya kini, adakah harta sepencarian itu diktiraf oleh hukum syarak? Sepertimana disebut sebelum ini, meskipun harta sepencarian tidak dijelaskan oleh apa-apa dalil nas, namun ulama’ masih lagi memperakuinya berdasarkan konsep uruf (adat) dan maslahah setempat. Ini mengambilkira soal keadilan kedua-dua pihak selaras firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur Ayat 32 menyatakan

“orang –orang lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan beroleh bahagian daripada usahanya juga”. Maka apabila sesuatu uruf itu diperakui baik dan sesuai oleh undang-undang kedudukannya, maka ia akan menjadi peraturan yang perlu dipatuhi. Malah ia selaras dengan kaedah fiqh antaranya ialah ”adat yang diakui sebagai hukum” dan juga ”uruf itu diiktibarkan oleh syarak”.
 
Oleh itu, kini hata sepencarian telahpun dianggap sebahagian daripada undang-undang Islam. Malah Mahkamah Syariah telahpun diberi bidangkuasa khusus dan eksklusif bagi membicarakannya. Ia juga telah diperuntukan dalam semua Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam di setiap negeri dan juga dalam Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Misalnya dibawah Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 “harta sepencarian” ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.
 
Berdasarkan takrif yang diperuntukan, bolehlah difahami bahawa harta sepencarian termasuklah harta samada harta alih atau tidak alih yang diperoleh suami dan isteri melalui usaha mereka bersama dan bukannya daripada satu pihak sahaja semasa perkahwinan. Harta yang dikumpul selepas perceraian atau kematian tidaklah boleh dianggap sebagai harta sepencarian.
 
Sumbangan tidak langsung
 
Namun kini, konsep harta sepencarian telah mula diluaskan termasuk juga harta yang diperoleh suami melalui usahanya sendiri semasa perkahwinan dengan sumbangan secara tidak langsung daripada isteri.

Sumbangan tidak langsung bermaksud suatu usaha yang disumbangkan oleh mana-mana pasangan dalam mendapatkan harta itu di mana usaha yang disumbangkan adalah kecil berbanding dengan hasil atau manfaat sumbangan itu yang menghasilkan sesuatu harta yang besar. Ini bermaksud, salah satu pasangan memberi sumbangan secara tidak langsung samaada melalui idea, dorongan, nasihat, keselesaan, ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha dan berjaya dalam mendapatkan harta itu.
 
Dalam kes Tengku Anum Zaharah, mahkamah memutuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian ialah harta sepencarian hasil daripada sumbangan tidak langsung isteri yang berketurunan berpengaruh. Kesan pengaruh isteri membolehkan suaminya mendapat gelaran Dato’ dan berjaya memajukan perniagaannya.
 
Tuntutan
 
Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian.

Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan. Tuntutan harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan.
 
Seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.
 
Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.
 
Penyelesaian
 
Kaedah penyelesaian apabila melibatkan harta sepencarian ialah melalui kaedah sulh iaitu dengan cara berdamai samada melalui pengakuan dan penyerahan hak pemilikan kepada satu pihak lagi atau nilai harta yang dipersetujui dibahagi mengikut persetujuan.

Persetujuan ini boleh dibuat samaada di luar mahkamah atau di hadapan pegawai sulh dan kemudian ianya akan diendors sebagai satu perintah oleh mahkamah. Kaedah lain adalah melalui persetujuan semasa perbicaraan sedang berlangsung.
 
Hakim kebiasaannya akan memberi peluang kepada kdua-dua pihak untuk mencapai persetujuan bersama. Maka persetujuan ini akan diendors sebagai satu perintah Mahkamah. Sekiranya kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat menyelesaikan pertikaian, maka mahkamah akan meneliti setiap keterangan dan penghujahan pihak-pihak. Seterusnya mahkamah akan memutuskan pembahagian harta sepencarian tersebut melalui perintah mahkamah.

Sekian, adanya.

No comments: