Presiden Perancis
menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis
mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal. Firaun yang dikatakan hidup di
zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar
Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya. Mesir
menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris.
Malah ketika sampai
di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini
termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk
hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. Mumia itu kemudiannya diletakkan
di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali
gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis
yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.
Bucaille seorang
pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai
1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau
diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan
keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal
Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. Lalu kesempatan beliau untuk
membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk
menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.
Ternyata, hasilnya
sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat
pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat
tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’
segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.
Namun penemuan itu
menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad
tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya
tenggelam dan dikeluarkan daripada laut? Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan
akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat
Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.
Laporan tersebut
diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden
(judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan
laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le
Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan
anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis. KISAH
FIRAUN DI DALAM AL QURAN.
Namun seorang rakan
sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan
sesuatu yang baru. “Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah
berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara
sehingga hari ini!” Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille
kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri
yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi
moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.
Dr. Bucaille menjadi
serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan
dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan
kemudian mayatnya diselamatkan.
Beliau semakin
tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana
mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada
di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya. Sambil mata tidak lepas
memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus
tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya
diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. “Apakah masuk akal di
hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal
Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar
Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.
Lalu beliau
mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang
tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan
mengenai mayat Firaun. Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula
yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti
sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot)
kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun
yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan
diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan
Psalm 136:15) Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung
mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.
Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.
Apabila mumia
dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai
mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai
sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir
dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka. Maka salah
seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah
tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri: “Maka pada hari ini Kami
selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang
datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda
kekuasaan Kami. (Yunus: 92).” Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille
benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia
dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains
untuk maju meneroka lebih jauh lagi.
Lalu
dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun
bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan
beriman dengan al-Quran ini.” Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan
memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali
seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat
mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai
bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy
Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.
Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya
Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan
fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya. “Sains dan Islam
umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil
terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun
kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan
segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan
dengan sains moden,” katanya. Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak
lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.