Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Kala saya menjejaki Masjid Baitullah, Ma’ahad ar-Rahman Lil Quran, Bogor, baru-baru ini, hati ini tersentuh dengan sebuah kalimah di tangga masjid berkenaan. Ada sebuah peti derma dengan tertera tulisan yang ringkas, ‘Tabungan Syurga’, tersedia di situ. Indah bahasa itu, biar ringkas namun punya makna sangat mendalam dan tuntas. Berilah sesuatu, kerana ia menjadi andalan kita syurga yang yang nikmatnya tidak terbatas.
Lantas, apa yang terlintas di benak paling dalam, bahawa kita sering kali memikirkan tentang kelestarian hidup di dunia. Kita tega menyisihkan sedikit daripada pendapatan dan menabung demi masa hadapan. Kita sedar, apa yang akan terjadi pada masa hadapan adalah tiada ketentuan. Maka, persiapan adalah perlu, dan kita berusaha menabung sekadar mampu.
Itu benar. Maka, dewasa ini kita boleh sahaja memilih apa-apa instrumen yang tersedia. Sama ada simpanan wadi’ah secara konvensional di bank, amanah saham, simpanan tetap atau takaful berserta caruman pelaburan. Kita mengharapkan, itulah jaminan kita. Tabungan yang dapat memberikan sedikit keselesaan kala kita memerlukannya.
Pun begitu, dalam keterujaan menjamin masa hadapan yang sementara, sering kali kita terlupa tentang jaminan kehidupan kekal kita di akhirat pula. Andai di dunia kita memerlukan tabungan dunia, maka akhirat sebenarnya lebih utama. Ini kerana, tabungan duniawi boleh sahaja dibantu isiannya oleh orang lain, sedangkan tabungan akhirat banyak tergantung kepada amalan kita sahaja.
Sebab itulah, Rasulullah SAW pernah menggambarkan kepada para sahabatnya tentang orang-orang yang muflis di akhirat nanti, yang sebenarnya juga menjadi ingatan kepada kita agar berhati-hati agar tidak terjebak ke kancah yang sama.
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW telah bersabda, yang bermaksud: “Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu ?” Lalu para sahabat menjawab: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta?”
Lalu Baginda SAW kemudiannya bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. (Namun, dalam masa yang sama) dia juga datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang.
“Lalu diberi segala (pahala) kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya (kepada orang-orang yang dizaliminya). Maka jika telah habis (segala) pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya (orang-orang yang dizalimi) itu (pula yang) akan dilemparkan (dibebankan) kepadanya, lalu (menyebabkan) dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)
Nyata, bekalan di akhirat lebih amat perlu. Ini kerana, kita tidak mahu menjadi muflis. Muflis di dunia bisa sahaja kita cari jalan menyelesaikannya; sedang muflis di akhirat tiada lagi modal menyelesaikannya.
Kesimpulannya, sediakanlah tabungan ke syurga dengan sebanyak mungkin. Laksanakan segala kewajipan dan tambahi dengan amalan kebajikan. Pada masa yang sama, tinggalkan segala kezaliman, tidak menyakiti sesama manusia, mengambil hak orang lain tanpa rela, menindas dan memaksakan tindakan di luar batas keadilan.
Sungguh! Tabungan ke syurga perlu kita penuhi, secara konsisten, hari-hari tanpa culas, agar di akhirat nanti, tidak lagi menjadi muflis sedang pahala terkikis dan kala itu kita menangis sedang orang lain memintanya tanpa belas.
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment