Halaman

Walaupn Hidup 1000 th. Klau x Smbahyang Apa Gnanya

Walaupn Hidup 1000 tahun klu x sembahyang apa gnanya

28.8.11

Sleep Paralysis "aka" Di Tindih Hantu


Sleep Paralysis, pada masa mengalami ini biasanya kita akan sukar sekali bergerak dan kemudian ada sedikit rasa sejuk menjalar dari hujung kaki ke seluruh tubuh.

Untuk boleh bangun, satu-satunya cara adalah menggerakkan hujung kaki, hujung tangan atau kepala secepat-cepatnya hingga seluruh tubuh boleh digerakkan kembali,biasanya disertai juga dengan munculnya bayangan kegelapan.
 
Keadaan inilah yang dikatakankan “ketindihan” makhluk halus oleh sebahagian besar orang. Berdasarkan fakta perubatan, keadaan ketika orang akan tidur atau bangun tidur merasa sesak nafas seperti dicekik, sesak dada, badan sukar bergerak dan sukar bersuara disebut sleep paralysis atau tidur lumpuh (kerana tubuh tidak boleh bergerak dan seperti rasa lumpuh). Hampir setiap orang pernah mengalaminya. Sekurang-kurangnya sekali atau dua kali dalam hidupnya.
 
Sleep paralysis boleh terjadi pada siapa sahaja, lelaki atau perempuan, dan umur kebanyakan orang yang pertama kali mengalami gangguan tidur ini adalah 14-17 tahun.
 
Sleep paralysis atau tindihan ini memang boleh berlaku dalam kiraan saat hingga minit. Yang menarik, semasa tindihan terjadi kita sering mengalami halusinasi, seperti melihat sosok atau bayangan hitam di sekitar tempat tidur. Tidak hairan, fenomena ini pun sering dikaitkan dengan hal mistik.
 
Di dunia Barat, fenomena tindihan sering disebut mimpi buruk inkubus atau old hagberdasarkan bentuk bayangan yang muncul. Ada juga yang merasa melihat agen rahsia asing atau alien.
 
Sementara di beberapa lukisan abad pertengahan, tindihan digambarkan dengan sosok roh jahat dudu atas dada seorang perempuan hingga ia ketakutan dan sukar bernafas.
 
Kurang Tidur
 
Menurut Al Cheyne, peyelidik dari Universiti Waterloo, Kanada, sleep paralysis, adalah sejenis halusinasi kerana adanya malfungsi tidur di tahap rapid eye movement (REM).
 
Sebagai pengetahuan, berdasarkan gelombang otak, tidur terbahagi kepada 4 tahap. Tahap itu adalah tahap tidur paling ringan (kita masih setengah sedar), tahap tidur yang lebih dalam, tidur paling dalam dan tahap REM. Pada tahap inilah mimpi terjadi.
 
Semasa keadaan tubuh terlalu letih atau kurang tidur, gelombang otak tidak mengikuti tahap tidur yang sepatutnya. Jadi, dari keadaan sedar (semasa hendak tidur) ke tahap tidur paling ringan, terus melompat ke mimpi (REM).
 
Ketika otak mendadak terbangun dari tahap REM tapi tubuh belum, di sinilah sleep paralysis terjadi. Kita merasa sudah sedar, tapi tubuh tidak boleh bergerak. Ditambah lagi adanya halusinasi muncul sosok lain yang sebenarnya ini merupakan ciri khas dari mimpi.
 
Selain itu, sleep paralysis juga boleh disebabkan sesuatu yang tidak dapat dikawal. Akibatnya, muncul tekanan dan terbawa ke dalam mimpi. Persekitaran kerja juga ikut mempengaruhi. Misalnya, anda bekerja shift sehingga kekurangan tidur atau mempunyai pola tidur yang tidak teratur.
 
Walaupun biasa terjadi, gangguan tidur ini patut diambil perhatian. Ini kerana sleep paralysis boleh juga merupakan pertanda narcolepsy (serangan tidur mendadak tanpa tanda-tanda mengantuk), sleep apnea (berdengkur), kecemasan, atau depresi.
 
Jika anda sering mengalami gangguan tidur ini, sebaiknya buat catatan mengenai pola tidur selama beberapa minggu. Ini akan membantu anda mengetahui penyebabnya. Lalu, atasi dengan mencari punca. Bila tindihan diakibatkan terlalu letih, cuba lebih banyak beristirahat.
 
Kurang tidur pun tidak boleh dianggap remeh. Jika sudah menimbulkan sleep paralysis, keadaan ini bererti sudah berat. Segera evaluasi diri dan cukupkan tidur. Usahakan tidur 8-10 jam pada jam yang sama setiap malam.
 
Perlu diketahui juga, seep paralysis umumnya terjadi pada orang yang tidur dalam posisi terlentang (wajah menghadap ke atas dan hampir nyenyak atau dalam keadaan hampir terjaga dari tidur). Itu sebabnya, kita perlu sering mengubah posisi tidur untuk mengurangi risiko diserang gangguan tidur ini.

25.8.11

Pantau Harta... Jangan Bazirkan

Dalam diskusi panjang kita mengenai harta, seringkali kita menyinggung tentang peri pentingnya mengurus harta mengikut piawaian yang telah ditetapkan Allah SWT.

Kedekut selalunya diiringi sifat tamak-haloba dan sayangkan harta secara berlebihan. Qarun selalu diangkat sebagai ikon kedekut, di samping watak Hj. Bakhil yang amat mengesankan. Maka, pada kali ini kita akan cuba menyoroti satu lagi sifat tidak molek yang sering digandingkan dengan harta, iaitu membazir.

Umumnya, membazir adalah sifat berlebih-lebihan dalam berbelanja, sehingga melampaui tahap keperluan. Membazir juga boleh berlaku apabila harta dibelanjakan pada jalan-jalan yang tidak sesuai, berjudi misalnya adalah contoh pembaziran yang amat dilarang. Oleh itu, al-Quran dan al-hadis acap kali memperingatkan kita agar menjauhi pembaziran. Bahkan, terdapat 23 kali ungkapan ‘membazir’ yang telah diulang-ulang di dalam al-Quran.

Kejinya sifat membazir ini, sehinggakan Allah SWT secara tegas telah mengaitkannya sebagai saudaranya Syaitan. Cuba kita telusuri peringatan Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada Tuhannya, ” (al-Isra’: 27)

Lazimnya, membazir dalam memenuhi keperluan hidup sering terjadi tanpa kita sedari. Jika makan misalnya, secara umumnya kita hanya memerlukan sepinggan nasi dan segelas air dan sejenis lauk dan sayur bagi memenuhi keperluan. Namun, apabila sudah berlebih-lebihan, air sahaja sudah dua atau tiga jenis dan lauk-pauknya banyak sehingga memenuhi meja, maka ia sudah menjurus kepada membazir. Kemampuan perut kita adalah terbatas dan logiknya kita tidak akan mampu memenuhkannya dengan semua jenis kelazatan itu. Apa yang berlebih itulah pembaziran.

Jika kita merujuk kepada kajian saintifik sekali pun, Allah SWT menciptakan tubuh badan manusia dengan keupayaan yang tertentu. Misalnya, untuk menyerap mikronutrien, maka tubuh mengambilnya mengikut keperluan seseorang sesuai dengan keadaan dirinya. Vitamin C contohnya, hanya diperlukan sebanyak 250mg – 10g bagi individu normal. Jika seseorang itu mengambil vitamin C secara berlebihan sedangkan dia bukan sakit atau tidak tertekan, maka pembaziran akan berlaku. Vitamin C itu akan dibuang begitu sahaja daripada tubuhnya.

Realitinya, hari ini pembaziran amat kerap terjadi. Jika kita makan di hotel atau majlis keraian yang besar, lagi besarlah jumlah pembazirannya. Cuba kita perhatikan dalam sebuah majlis yang makanannya dihidangkan secara buffet, maka selalunya makanan akan diambil dalam kuantiti yang banyak. Sudahlah jumlah menunya pun banyak, maka makin berleluasalah nafsu dan semakin celarulah membuat pilihan.

Akhirnya sering terjadi, makanan yang diambil tidak habis dan dibuang begitu sahaja. Ia kadang-kala sehingga memaksa pihak hotel untuk mengenakan caj tambahan demi mengelakkan seseorang itu dengan sengaja mengambil makanan dengan amaun yang banyak dan dengan sengaja pula tidak melicinkan pinggannya.

sekali imbas kelihatannya pembaziran bagaikan sudah sinonim pada hari ini. Dalam majlis sambutan kebesaran, dalam kenduri-kendara dan pelbagai keraian dan program, acara yang gilang-gemilang itu sering diiringi warna pembaziran. Sekali difikirkan, alangkah ruginya berbelanja hanya untuk sebuah gimik dalam majlis perasmian; kerana ia hanya seketika dan kesannya pun tidak seberapa; sedangkan belanjanya mencecah ribuan ringgit.

Namun, sebagai individu muslim maka kita sewajarnya cuba mengawal pembaziran yang banyak juga terjadi dalam lingkungan diri dan keluarga kita. Cuba perhatikan corak penggunaan elektrik di rumah, kadangkala penghawa dingin terpasang, sedang yang dingin hanyalah sofa dan perabot bukannya orang. Kadangkala lampu terpasang di koridor tanpa tujuan, television terpasang tanpa penonton dan kipas berputar laju sedang diluar hujan lebat menderu. Itu semua adalah warna pembaziran yang perlu kita padamkan.

Kenapakah Allah SWT amat menegah pembaziran? Jawapannya mudah, kerana pembaziran bukan sekadar merugikan; tetapi menzalimi orang lain. Cuba bayangkan, pada saat makanan di sebuah hotel dibazirkan; ketika itu juga berapa juta mulut dan perut yang sedang menggigil dan menangis kelaparan tanpa sesuap makanan. Akibatnya, mereka sanggup menyelongkar tong sampah demi mencari bahan buangan dan itulah santapan buat mereka.

Teringat penulis akan kalimah Umar al-Khattab yang kira-kiranya begini: “Jika ditakdirkan rakyat Umar kelaparan, maka biarlah Umar menjadi orang yang terakhir mendapat sesuap makanan.” Demikianlah komitednya Umar al-Khattab dan bayangkanlah pula, sejauh manakah pembaziran yang berlaku dihadapannya.

Wallahua’lam.

24.8.11

Orang Miskin Dominasi Syurga


Syurga dan neraka termasuk dalam perkara ghaib dan ‘sam’iyat’ yang wajib kita beriman kepadanya. Allah SWT menukilkan ratusan kali perihal syurga dan neraka, agar manusia merasa terpanggil untuk membuat amal sebagai bekal ke sana. Amal baik bekal ke syurga, meninggalkan amal buruk pula sebagai modal dijauhkan daripada neraka.

Dalam kisah Israk dan Mikraj, kita pasti akan diperingatkan kronologi perjalanan Nabi Muhammad SAW sehingga ke langit dan melepasi Sidratul Muntaha. Nabi SAW ditemani Jibril a.s, sahabat langit yang setia.

Mereka melewati pelbagai jenis tempat dan bertemu pelbagai jenis manusia. Kemuncaknya, Nabi SAW dianugerahi Allah SWT hadiah berupa solat. Solat itulah waktunya kita berbisik-bisik dan berbual-bual dengan Allah SWT secara penuh ‘privasi’– itu pun andai kita memahami maksud apa yang kita sebut dan baca di dalamnya.

Namun, penulisan ini tidak berniat untuk mengupas perihal solat. Insya-Allah, pada lain kesempatan kita akan mengupasnya. Sesungguhnya, ada sesuatu yang lain, yang tidak kurang menarik untuk kita perhatikan lewat peristiwa Mikraj Nabi SAW ke langit. Itulah saat nabi dibawa oleh Jibril a.s menziarahi syurga dan neraka. Maka, apa yang nabi perhatikan di sana?

Daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin Hussain r.a, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan.” (Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih)

Sesuatu yang perlu dikaji, kenapakah di dalam syurga ramai kaum fakir dan miskin? Di mana orang kaya? Menurut ilmu lughah atau Bahasa Arab, dalam konteks yang sama kita diberitahu perkara sebaliknya iaitu disebut mafhum mukhalafah (makna di sebaliknya), iaitu tidak ramai orang kaya di syurga. Aduhai, di mana orang kaya? Apa pula kelebihannya si fakir dan miskin sehingga mereka pula yang meramaikan syurga?

Inilah senario yang kena kita perhalusi bersama. Adakah Islam begitu memuliakan orang-orang fakir dan miskin sehingga di dunia ini kita wajar memilih untuk menjadi orang miskin dan hidup dalam papa kedana? Pada masa yang sama, adakah kita diberitahu bahawa kita hendaklah menjauhi kekayaan dan menolak kebendaan?

Jika demikian keadaannya, bukankah Islam juga menyeru kepada kita agar mencari kebendaan dan nikmat duniawi? Bukankah Islam amat menegah kehidupan yang meninggalkan keduniaan ala pertapaan (yang kononnya hidup menjamah bertih beras empat purnama lamanya)?

Bukankah Allah SWT sendiri menegaskan: “Kemudian setelah selesai (kamu) mendirikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing); dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah…,” (al-Jumu’ah:10)

Terdapat banyak lagi ayat al-Quran mahu pun saranan daripada sunnah Rasulullah SAW, agar umat Islam hidup dalam kekayaan. “Tdak dianggap baik orang yang meninggalkan dunianya kerana akhirat, dan tidak juga orang yang meninggalkan akhiratnya kerana dunianya.Sehinggalah mereka memperolehi kedua-duanya sekali,” jelas nabi melalui riwayat Ibnu ‘Asakir. Jadi, adakah berlaku suatu kontradiksi di sini?

Hakikatnya, tiada pertentangan sama sekali. Jika kita merenung kepada mafhum hadis di atas, bahawa ramainya orang miskin di syurga, maka ada sesuatu yang patut kita pelajari daripadanya. Iaitu, jika orang kaya mahukan syurga, maka mereka mestilah berhati-hati dalam mengendalikan harta kekayaannya. Misalnya, wajib dilunasi zakat hartanya, diringi pula sedekah kepada sesama manusia. Baharulah harta itu tidak menjadi bebanan di akhirat sana.

Dalam konteks yang lain, orang-orang miskin memang patut dianugerahi Allah SWT kelebihan di akhirat, kerana sejak di dunia lagi mereka sudah begitu banyak bersabar menahan ujian kesusahan. Mereka selalu kelaparan kala orang kaya kekenyangan, mereka hidup serba kepayahan kala orang kaya dalam dakapan kesenangan dan mereka banyak berkorban kala si kaya menikmati pelbagai kelebihan. Kita ambil contoh dalam majlis kenduri sahaja sudah memadai, siapakah dianggap VIP,si miskin atau si kaya?

Justeru, itulah senarionya di dunia ini. Si kaya hidup mereka sering diulit kemewahan; si miskin digayuti kesengsaraan. Maka tidak peliklah mereka diberikan ganjaran berupa syurga oleh Allah SWT, sebagai imbalan terhadap kesabaran mereka di dunia ini. Dengan syarat mereka menjadi si fakir yang taat dan si miskin yang ahli ibadat. Jika mereka taat, sabar dan kuat imannya, percayalah, mereka akan memasuki syurga Allah SWT 500 tahun lebih awal* berbanding dengan orang-orang kaya di dunia ini yang pasti sahaja banyak hisabnya di akhirat sana, (mafhum hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abu Hurairah r.a).

Wallahua’lam.

23.8.11

Siapa Layak Dapat Al-Qadr ?


Umat Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadr dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah”. (riwayat Ibnu Majah).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu. (riwayat Muslim).

Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadr berlaku di bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa.

Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam ke-27 (riwayat Ahmad).”

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir. Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah.

Kelebihan malam al-Qadr tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja.

Fadilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh berkat itu sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya.

Kata al-Imam al-Qurtubiy, Rasulullah SAW diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya lebih panjang.

Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah SAW. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadr yang mempunyai nilai 1,000 bulan kepada Rasulullah SAW dan umatnya.

Justeru itu, malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan.

Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir dan seumpamanya.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering baginda baca adalah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah.

Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah (riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).”

Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.

Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian hari.

22.8.11

Tabungan Ke Syurga


Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid

Kala saya menjejaki Masjid Baitullah, Ma’ahad ar-Rahman Lil Quran, Bogor, baru-baru ini, hati ini tersentuh dengan sebuah kalimah di tangga masjid berkenaan. Ada sebuah peti derma dengan tertera tulisan yang ringkas, ‘Tabungan Syurga’, tersedia di situ. Indah bahasa itu, biar ringkas namun punya makna sangat mendalam dan tuntas. Berilah sesuatu, kerana ia menjadi andalan kita syurga yang yang nikmatnya tidak terbatas.

Lantas, apa yang terlintas di benak paling dalam, bahawa kita sering kali memikirkan tentang kelestarian hidup di dunia. Kita tega menyisihkan sedikit daripada pendapatan dan menabung demi masa hadapan. Kita sedar, apa yang akan terjadi pada masa hadapan adalah tiada ketentuan. Maka, persiapan adalah perlu, dan kita berusaha menabung sekadar mampu.

Itu benar. Maka, dewasa ini kita boleh sahaja memilih apa-apa instrumen yang tersedia. Sama ada simpanan wadi’ah secara konvensional di bank, amanah saham, simpanan tetap atau takaful berserta caruman pelaburan. Kita mengharapkan, itulah jaminan kita. Tabungan yang dapat memberikan sedikit keselesaan kala kita memerlukannya.

Pun begitu, dalam keterujaan menjamin masa hadapan yang sementara, sering kali kita terlupa tentang jaminan kehidupan kekal kita di akhirat pula. Andai di dunia kita memerlukan tabungan dunia, maka akhirat sebenarnya lebih utama. Ini kerana, tabungan duniawi boleh sahaja dibantu isiannya oleh orang lain, sedangkan tabungan akhirat banyak tergantung kepada amalan kita sahaja.

Sebab itulah, Rasulullah SAW pernah menggambarkan kepada para sahabatnya tentang orang-orang yang muflis di akhirat nanti, yang sebenarnya juga menjadi ingatan kepada kita agar berhati-hati agar tidak terjebak ke kancah yang sama.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW telah bersabda, yang bermaksud: “Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu ?” Lalu para sahabat menjawab: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta?”

Lalu Baginda SAW kemudiannya bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. (Namun, dalam masa yang sama) dia juga datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang.

“Lalu diberi segala (pahala) kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya (kepada orang-orang yang dizaliminya). Maka jika telah habis (segala) pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya (orang-orang yang dizalimi) itu (pula yang) akan dilemparkan (dibebankan) kepadanya, lalu (menyebabkan) dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Nyata, bekalan di akhirat lebih amat perlu. Ini kerana, kita tidak mahu menjadi muflis. Muflis di dunia bisa sahaja kita cari jalan menyelesaikannya; sedang muflis di akhirat tiada lagi modal menyelesaikannya.

Kesimpulannya, sediakanlah tabungan ke syurga dengan sebanyak mungkin. Laksanakan segala kewajipan dan tambahi dengan amalan kebajikan. Pada masa yang sama, tinggalkan segala kezaliman, tidak menyakiti sesama manusia, mengambil hak orang lain tanpa rela, menindas dan memaksakan tindakan di luar batas keadilan.

Sungguh! Tabungan ke syurga perlu kita penuhi, secara konsisten, hari-hari tanpa culas, agar di akhirat nanti, tidak lagi menjadi muflis sedang pahala terkikis dan kala itu kita menangis sedang orang lain memintanya tanpa belas.

Wallahua’lam.

21.8.11

Jimak Di Bulan Ramadhan

Soalan;

Ustaz, pada bulan puasa seseorang lelaki melakukan persetubuhan di siang hari dan dia terlebih dahulu membatalkan puasa tersebut pada hari itu, adakah perlu diganti puasa tersebut 2 bulan berturut-turut. Sekian, yang daif.

Jawapan:

Pertama, perlu dingatkan bahawa sengaja berbuka puasa di bulan Ramadhan adalah dosa besar sama ada berbuka dengan makan, minum atau bersetubuh (jimak). Sabda Nabi s.a.w. (bermaksud);

“Sesiapa berbuka puasa sehari di bulan Ramadhan tanpa ada rukhsah (kelonggaran) yang diizinkan Allah untuknya, puasa sepanjang masa sekalipun tidak akan berupaya membayarnya sekalipun ia melakukannya” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah).

Orang yang melakukan perbuatan di atas ia telah melakukan dua dosa;

pertama, dosa berbuka puasa dengan sengaja di bulan Ramadhan dan

kedua, dosa melakukan helah (tipu daya) untuk menghalalkan larangan Allah di bulan Ramadhan.

Berbalik kepada soalan; adakah tetap diwajib kaffarah ke atasnya?, para ulamak berbeza pandangan;

1. Jumhur ulamak (merangkumi Imam Abu Hanifah, Imam Malik , Imam Ahmad dan sebagainya) berpendapat;

ia tetap dikenakan kaffarah kerana ia melakukan persetubuhan ketika kewajipan puasa Ramadhan masih terbelenggu atas dirinya. Orang yang berbuka puasa di bulan Ramadhan –tanpa sebarang keuzuran- walaupun puasanya batal, namun kewajipan puasa tetap tidak gugur darinya.

Jadi, apabila ia bersetubuh, persetubuhan itu berlaku ketika kewajipan puasa atas dirinya masih berjalan dan kerana itu tetap dikenakan kaffarah ke atasnya mengikut pandangan teramai para ulamak.

2. Mazhab Syafi’ie, menurut mazhab Syafi’ie;

tidak dikenakan kaffarah ke atasnya kerana persetubuhan itu berlaku ketika ia tidak lagi berpuasa. Jadi, mazhab Syafi’ie tidak melihat kepada kewajipan puasa, akan tetapi melihat kepada wujud puasa atau tidak ketika persetubuhan itu berlaku.

Jadi, menurut mazhab Syafi’ie; persetubuhan yang mewajibkan kaffarah ialah persetubuhan yang berlaku ketika masih berpuasa (yakni puasa masih ada dan kemudian dibatalkan dengan persetubuhan). Adapun persetubuhan yang berlaku setelah puasa batal, maka tidak wajib kaffarah.

Pandangan yang rajih bagi masalah ini ialah pandangan jumhur ulamak kerana ia menutup pintu helah kepada orang-orang yang ingin melanggar hukum Syariat.

Jika tidak dikenakan kaffarah, nescaya semua orang yang ingin bersetubuh di siang hari di bulan Ramadhan akan melakukan sedemikian; mereka akan makan terlebih dahulu, kemudian melakukan persetubuhan .

Maka tidak ada makna Syariat mewajibkan kaffarah jika sedikit helah sahaja sudah dapat menidakkannya. Kerana itu para ulamak hari ini menegaskan; pandangan yang rajih ialah pandangan jumhur tadi.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (http://islamqa.com/ar/ref/38287/صوم).

(Sumber: Fitrah Islami Online)

20.8.11

Bersih 2.0: Razak 'Tukang Kasut' Tuntut RM10j




Seorang tukang kasut yang didakwa membawa pisau dalam perhimpunan BERSIH 2.0 menuntut gantirugi RM 10 juta
dan permohonan maaf secara terbuka oleh Berita Harian - akhbar yang memuatkan laporan itu.

19.8.11

Zakat Fitrah (Q & A)


Q: Apakah pengertian Zakat Fitrah?

Zakat fitrah ialah zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.

Q: Apakah dalil zakat fitrah?

Zakat fitrah dalilnya bersandarkan kepada Hadis Nabi S.A.W. riwayat daripada yang bermaksud:

“Rasulullah S.A.W. telah memfardukan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas manusia dengan mengeluarkan satu gantang kurma atau satu gantang gandum (syair) ke atas setiap orang merdeka atau hamba lelaki atau perempuan orang tua atau kanak-kanak yang terdiri daripada orang Islam.”

(Riwayat Al-Bukhari)

Q: Adakah wajib berniat untuk membayar zakat fitrah untuk diri sendiri atau sebagai wakil?

Setiap pembayar zakat atau wakilnya wajib berniat mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan tanggungannya atau sebagai wakil.

Q: Apakah syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat fitrah?

Syarat-syaratnya ialah:

1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan diri dan tanggungannya pada satu Syawal.

2. Anak yang lahir sebelum (uruf) matahari akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari Ramadan.

3. Seseorang yang meninggal dunia selepas terbenamnya matahari akhir Ramadan.

4. Menganut Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya sehingga awal Syawal.

Q: Berapakah kadar pembayaran zakat fitrah?

Kadar zakat fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Q: Bilakah waktu pembayaran zakat fitrah?

Waktu Wajib : Akhir Ramadan sehingga terbit matahari.

Waktu Sunat : Sepanjang bulan Ramadan

Waktu Makruh : Selepas solat hari raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.

Waktu Haram : Selepas terbenam matahari pada satu Syawal; hukumnya berdosa tetapi wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikira qada. Sekiranya masih dilengahkan, maka akan bertambahlah dosanya.

Q: Bagaimanakah kaedah pembayaran zakat fitrah?

Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan (beras) atau yang senilai dengannya. Ini adalah berdasarkan Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudry yang bermaksud:

“…. adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah S.A.W. sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap seorang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang syair, tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah bin Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadah haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: saya berpendapat, bahawa dua mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha’ (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Said berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya”.

(Riwayat Muslim)

Q: Adakah harus membayar zakat fitrah melalui kaedah selain melalui amil yang dilantik seperti perbankan internet, SMS, pos dan lain-lain?

Harus tetapi wajib niat untuk membayar zakat fitrah untuk dirinya dan keluarganya.

Q: Seorang isteri sarat mengandung 9 bulan. Sehingga habis Ramadan anaknya belum lahir kandungannya lagi, adakah wajib zakat fitrah ke atas anak dalam kandungan itu?

Tidak wajib kepada anaknya kerana syarat wajib zakat fitrah mesti seseorang Islam itu hidup sebahagian Ramadan dan sebahagian Syawal.

Q: Adakah wajib zakat fitrah bagi seseorang yang meninggal sebelum terbenam matahari akhir Ramadan?

Tidak wajib kerana syarat wajib zakat fitrah mesti seseorang Islam itu hidup sebahagian Ramadan dan sebahagian Syawal.

Q: Saya mempunyai seorang bapa yang susah (miskin) dan telah berkahwin dengan seorang wanita lain yang mempunyai anak-anak. Ibu tiri saya ini juga seorang yang susah. Soalan saya, adakah saya wajib membayar zakat fitrah untuk ayah saya, ibu tiri dan adik-adik tiri saya?

Anda wajib tunaikan zakat fitrah untuk ayah anda sahaja kerana beliau merupakan tanggungan anda. Manakala, ibu tiri dan adik-adik tiri anda pula adalah di bawah tanggungan ayah anda. Oleh itu anda tidak wajib membayar zakat bagi pihak mereka.

Q: Suami saya sedang bertugas di luar negara, bagaimana caranya jika beliau ingin membayar zakat fitrah bagi tanggungannya, iaitu saya dan anak-anak? Adakah perlu suami membayar di luar negara, iaitu tempat beliau bertugas sekarang atau adakah perlu saya mewakilkan abang kandung saya untuk membayar zakat fitrah bagi pihak suami?

Suami anda dan anda boleh mewakilkan kepada sesiapa sahaja yang berada di kariah anda dan tanggungan suami.

Q: Apakah hukum seseorang yang terlupa membayar zakat fitrah? Apakah yang perlu dilakukan bagi menebus kelalaian tersebut?

Haram melengahkan pembayaran zakat fitrah sama ada sengaja atau terlupa sehingga terbenam matahari satu syawal. Sekalipun demikian anda tetap wajib qada bayar zakat fitrah tersebut.

Rasulullah SAW dalam sabdanya riwayat daripada yang bermaksud:

“Zakat fitrah itu tunaikan bagi membersihkan orang yang berpuasa daripada percakapan yang sia-sia dan kotor dan makanan bagi orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat ‘Aidilfitri, maka itulah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang membayar zakatnya sesudah solat, maka itu adalah sedekah biasa saja.”

(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Q: Adakah asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan LZS wajib membayar zakat fitrah?

Ya, wajib bayar sekiranya cukup syarat.

Q: Adakah amil boleh menerima bayaran zakat fitrah dalam bentuk beras?

Ya, wajib terima

Ramadhan: Antara Adat Dan Syariat

Begitulah suasananya Ramadan di tempat kita. Bila sampainya Ramadan, selain ibadah puasa, sahur dan tarawih, ia juga sinonim dengan bazar ramadan, murtabak, moreh dan sebagainya.
 
Ibadah puasa Ramadan juga begitu unik berbanding ibadah-ibadah lain. Ada orang yang solat berpuasa, orang yang tak bersolat juga berpuasa. Orang yang menutup aurat berpuasa, orang yang berpakaian seksi juga berpuasa.
 
Orang tua berpuasa, anak-anak kecil juga berpuasa. Bahkan jika ditanya kepada mak nyah di lorong-lorong di kota besar Kuala Lumpur itupun, pasti mereka akan katakan mereka berpuasa.

Bila waktu malam, mereka akan memendekkan 'waktu operasi' mereka bagi memudahkan mereka bangun awal untuk bersahur dan berpuasa. Para artis pula mengambil kesempatan sempena Ramadan untuk 'berehat' dari aktiviti-aktiviti seni bagi menumpukan kepada ibadah dan aktiviti-aktiviti amal.
 
Begitulah ragamnya masyarakat kita menyambut Ramadan dengan cara tersendiri yang bersandarkan kepada kefahaman masing-masing terhadap falsafah di sebalik Ramadan.
 
Walauapapun cara kita menerima kehadiran Ramadan, suatu yang semua perlu faham ialah natijah dan tujuan berpuasa ialah untuk meraih taqwa. Jika sinar ketaqwaan itu tidak terzahir daripada tingkahlaku kita, maka ada suatu yang tidak kena dengan puasa yang kita lakukan.
 
Taqwa sebagai matlamat puasa
 
Perkataan taqwa, meskipun didengar saban waktu - sekurang-kurangnya empat kali seminggu iaitu ketika mendengar khutbah Jumaat - namun masih ramai yang tidak memahami akan maksud dan falsafahnya.
 
Buktinya, tindak-tanduk umat Islam kadang-kala tidak menggambarkan mereka faham akan maksud taqwa tersebut. Lalu apakah maksud taqwa itu sebenarnya?
 
Imam Ali bin Abi Talib mendefinisikan taqwa sebagai 'meninggalkan perbuatan maksiat, dan tidak tergoda dengan rasa sudah baik mengerjakan ketaatan'. Beliau juga membahagikan ciri-ciri taqwa kepada empat iaitu; Al-Khauf minal Jalil (Takut kepada Allah yang Maha Agung), Al-Amal bit Tanzil (Beramal apa yang Allah turunkan dalam Al-Quran), Ar-Ridha bil Qalili (Rasa cukup dengan sedikit yang kita ada) dan Al-Ist'dad ila yaumirrahiil (bersedia menghadapi hari keberangkatan/kematian).
 
Imam Syafie pula berkata, kamu boleh lihat diri kamu berada di puncak ketakwaan apabila berlaku perkara berikut: Al-Juud minal Qalil (Kamu bersedekah walaupun duit yang kamu ada tinggal sedikit), Al-War'u 'Indal Khalwah (Kamu bersikap wara' ketika kamu berseorangan) dan An-Takuna kalimata Haqqin Inda Ma Yukhafu wa Yurja' (Kamu dapat katakan kebenaran di hadapan orang yang kamu takuti dan kamu harapkan sesuatu daripadanya).
 
Seterusnya Al-Hasan mendefinisikan taqwa sebagai 'menjaga diri daripada yang diharamkan dan menunaikan yang diwajibkan.' Ibn Kathir pula manyatakan taqwa berasal daripada perkataan tawaqqi, iaitu menjaga diri daripada perkara yang tidak diingini manakala Ibn Abbas menggambarkan orang yang bertaqwa ialah mereka yang takut dalam keadaan berwaspada daripada balasan Allah dengan meninggalkan dorongan nafsu, dan mengharapkan rahmat Allah dengan percaya terhadap perkara yang datang daripada-Nya.
 
Begitulah pandangan-pandangan ulama yang sedikit sebanyak dapat menjernihkan lagi kefahaman kita terhadap maksud taqwa. Jika taqwa difahami, maka kita pastinya faham arah tuju puasa yang kita laksanakan.

Jika puasa dan ibadah Ramadan yang kita laksanakan tidak berjaya membawa ciri-ciri taqwa ke dalam diri, maka pasti ada suatu yang tidak kena atau kecacatan dengan puasa yang kita laksanakan.
 
Pokok pangkalnya, setiap tingkahlaku yang dilakukan di atas mukabumi ini perlu berlandaskan 'ilmu'. Jika seorang penjenayah pun menggunakan ilmu dan berstrategi dalam melakukan jenayah mereka, apatah lagi apabila kita ingin melakukan ibadah kepada Allah, pasti ia perlu bersandarkan ilmu dan kefahaman yang jelas, bukan kerana ikut-ikutan.
 
Orang solat, kita pun solat, orang puasa kita pun berpuasa. Bila ditanya falsafah puasa dan kenapa kita perlu berpuasa ada juga yang tidak tahu.
 
Islam agama ilmu
 
Sesungguhnya Islam adalah agama yang berdiri di atas prinsip 'ilmu dan 'kefahaman' yang jelas berteraskan dalil dan hujjah, bukan ikut-ikutan atau warisan nenek-moyang semata-mata.
 
Bahkan ayat pertama diturunkan di dalam Al-Quran ialah berkaitan ilmu iaitu ayat 'Bacalah' (Iqra') di dalam Surah Al-'Alaq. Sepanjang pengamatan saya, lantaran tiadanya ilmu dan asas yang jelas tentang syariat Islam, maka terjadilah perkara-perkara seperti ramainya umat Melayu Islam kita yang sukar membezakan perkara syariat dan adat.
 
Natijahnya, tindak tanduk kita kadangkala tidak mencerminkan syariat Islam, tetapi lebih kepada adat yang telah kita anggap seperti syariat, malah ada kalanya, jika salah i'tiqad, adat tersebut boleh menyimpang daripada prinsip syariat yang sebenar.
 
Contohnya ada yang anggap menanam uri selepas kelahiran itu adalah tuntutan 'syariat', tetapi sebenarnya ia hanyalah adat dan petua nenek moyang. Bahkan akan menjadi khurafat jika kita beri'tiqad ia boleh menjejaskan kesihatan anak-anak dan sebagainya. Itu belum diambil kira amalan khurafat dan mistik yang lain seperti pemujaan dan sebagainya yang sememangnya orang Melayu amat 'pakar' di dalamnya.
 
Seterusnya, tanpa ilmu yang jelas tentang syariat juga akan menyebabkan kita mengambil sebahagian daripada Al-Quran dan meninggalkan sebahagian yang lainnya. Kita juga kadangkala akan lebih mengutamakan isu furu'(cabang) melebihi isu usul (pokok).
 
Senario yang berlaku hari ini mungkin boleh mengesahkan perkara ini. Contohnya; kita kisah tentang perlunya meletak atau menggantung ayat Al-Quran, gambar kaabah dan lain-lain di dinding rumah, tetapi kita tidak kisah jika ada penghuni-penghuni rumah dan anak-anak kita yang tidak menghadap qiblat (bersolat).
 
Perkara pokok di sini ialah solat, sementelah menggantung ayat Al-Quran adalah perkara cabang.
 
Kita marah/sensitif bila ada bukan Islam masuk/ziarah masjid/surau tetapi kita tak marah/tak sensitif bila ramai Muslim yang tak pernah datang masjid/tak bersolat.

Kita marah bila akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan artikel/gambar babi, tetapi kita tidak rasa apa-apa apabila ada akhbar berbahasa Melayu yang menyiarkan iklankeputusan judi-4D,Toto, Magnum dan sebagainya.
 
Selain mengharamkan babi, bukankah Al-Quran juga mengharamkan judi, atau kita hanya beriman dengan sebahagian Al-Quran dan meninggalkan yang selainnya?
 
Kita marah bila ada bukan Islam ingin mendekati Al-Quran, membaca dan memahami tafsirannya, tetapi kita tidak kisahpun bila ramai muslim yang bukan sahaja tidak faham, malah buta Al-Quran.
 
Apabila menyambut maulidurrasul, kita rasa bersalah atau seolah-olah berdosa jika perarakan tidak dapat dibuat atas masalah tertentu, tetapi kita tidak rasa bersalah bila banyak hadis dan sunnah Baginda yang tidak diamalkan malah diperlekehkan.
 
Bukan salah perarakan itu, tetapi memperingati Rasulullah itu perlu dilihat dari skop yang lebih besar.
 
Senario seterusnya, apabila ada pihak yang mengeluarkan arahan (dengan bersandarkan dalil dan nas yang rajih) agar tidak diperdengarkan bacaan al-Quran sebelum laungan azan khususnya di waktu subuh, maka ramai yang menjadi hero dan bangun membantah seolah-olah arahan itu anti-Islam, namun anehnya bilangan yang pergi ke masjid untuk solat subuh masih juga Ssedikit.
 
Boleh diperiksa di mana-mana masjid dan surau hanya ada beberapa saf sahaja ketika solat subuh. Di manakah hero-hero yang lantang berbicara tadi? Soalnya, jika arahan yang dikeluarkan bersandarkan nas dan dalil, kita yang membantah kerana ilmu atau apa sebenarnya?
 
Penutup
 
Nah, begitulah sedikit sebanyak senario ketidahfahaman masyarakat tentang syariat Islam menyebabkan kejahilan di dalam agama terus berterusan. Lebih membimbangkan jika tindakan orang yang jahil terhadap syariat Islam ini akan menjadi fitnah kepada agama suci ini manakala orang alim hanya menjadi 'penonton' apabila orang jahil itu memburukkan imej agama.
 
Sesudahannya, wajah Islam yang comel dan cantik dipandang dengan jijik oleh masyarakat. Bukan salah Islam itu, tetapi salah umat Islam yang tidak memahami agama mereka. Amat menyedihkan juga apabila ada sesetengah pihak yang suka jika ramai yang jahil tentang agama kerana kejahilan itu akan mudah dimanipulasi untuk kepentingan tertentu.
 
Justeru, bagi mengelakkan diri kita daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak, ilmu-ilmu tentang syariat Islam perlu dipertingkatkan agar amal ibadah yang kita laksanakan adalah bersandarkan ilmu dan diterima Allah hendaknya.
 
Bukanlah maksudnya kita perlu meningkatkan ilmu Islam sehingga ke peringkat PhD, tetapi memadailah kita faham perkara-perkara asas di dalam Islam. Yang paling penting keberadaan kita di dalam Islam ini juga perlu bersandarkan ilmu dan kesedaran yang jelas bukan kerana faktor 'genetik' atau warisan keluarga.
 
Ramadan yang berbaki separuh bulan haruslah dimanfaatkan semaksimum mungkin bagi menampung kelompangan dan kekurangan di dalam amal ibadah kita. Mudah-mudahan amal ibadah kita yang berdasarkan ilmu dan kefahaman akan syariat akhirnya Insya Allah akan menghadirkan taqwa.
 
Kita juga mohon agar dijauhkan puasa kita daripada puasa adat berteraskan taqlid buta yang tidak akan memberikan apa-apa melainkan lapar dahaga.

17.8.11

Tanda-Tanda Awal Kanser


Tanda-tanda:

(1) Kanser pangkal rahim

- sebarang lelehan atau pendarahan yg luarbiasa, sakit selepas bersenggama dan turun berat badan.
 
(2) Kanser payudara

- bengkak atau gumpalan di buah dada, keluar cairan berdarah dari puting, pembesaran kelenjar di ketiak, kedutan pada kulit di buah dada.
 
(3) Kanser usus besar

- perubahan tabiat membuang air, hilang berat badan, sakit dalam perut dan usus, berlaku pendarahan semasa membuang air.
 
(4) Kanser paru-paru

- batuk kuat berterusan, batuk berdarah, nafas termengah-mengah, sakit dada dan hilang berat badan.
 
(5) Kanser perut

- hilang berat badan, muntah berdarah, sistem pencernaan yg tidak teratur, cepat kenyang walaupun makan sedikit.
 
(6) Kanser limpa

- sakit di bahagian abdomen, hilang selera makan, turun berat badan, kulit dan mata menjadi kuning dan bahagian abdomen membengkak.
 
(7) Kanser ovari

- haid tidak teratur, tumbuhan keras di bahagian abdomen, sakit semasa bersenggama, ketumbuhan bulu rambut yg melampau, suara menjadi lebih mendalam.
 
(8) Kanser otak

- sakit kepala, muntah-muntah, gangguan penglihatan, lemah atau lumpuh, pening/ pitam, pelupa, perubahan personaliti.
 
(9) Kanser prostat

- sukar dan sakit semasa kencing yang berpanjangan.
 
(10) Kanser darah (leukimia)

- letih, pucat, mudah lebam dan mudah mendapat jangkitan (infection).
 
(11) Kanser tekak

- suara garau/ serak, ada ketumbuhan di tekak, sukar menelan dan kelenjar membengkak di leher.
 
10 PENYEBAB UTAMA KANSER
 
1) Makanan

2) Alkohol

3) Sinaran cahaya matahari

4) Pengambilan ubat

5) Perokok yang tidak aktif

6) Tembakau

7) Radiasi

8) Pekerjaan

9) Pencemaran air dan udara

10) Keturunan
 
DIET UNTUK MENCEGAH BENJOLAN PADA PAYUDARA
 
1) Hindari makanan berlemak dan bergoreng

2) Hindari makanan ringan yang masam

3) Kurangkan minum kopi dan minuman bergas

4) Berhati-hati semasa mengambil ubat selsema ataupun aspirin

5) Ambil makanan mengandungi vitamin E, B-6, dan evening primrose oil
 
Produk Pengguna dan Makanan yang signifikan mendatangkan kanser
 
1. SATAY bersama dengan timunnya, sebabnya memakan satay bersama karbon yang terhasil selepas pembakaran akan mendatangkan kesan karsinogen! Karsinogen adalah Suatu keadaan yang menyebabkan barah, Timun adalah anti-karsinogen.
 
2. Jangan makan udang selepas mengambil Pil Vitamin C. Yang mana anda akan mati keracunan Arsenik dalam beberapa jam sahaja.
 
3. "Bah Kut Teh" (daging babi)

Cuba tuangkan Coke (minuman bersoda) atas kepingan daging babi tu dan tunggu sekejap, anda boleh nampak ulat berenyut-renyut keluar dari sana . Fakta diperolehi dari "Health Corporation of Singapore ".
 
4. Barah - akibat penggunaan bahan dalam shampoo.

Jika kandungan dalam shampoo anda mengandungi Sodium Laureth Sulfate atau ringkasnya SLS. Bahan ini akan menyebabkan barah dalam jangka masa yang panjang. Shampoo yang disahkan mengandungi bahan ini ialah:- Palmolive, Paul Mitchell, L'Oreal, Hemp Shampoo terbaru keluaran body shop, Nature Force dan lain-lain lagi. Shampoo Clairol's Herbal Essence adalah satu-satunya yang mengandungi Sodium Laureth Sulfate secara tunggal.
 
Meskipun pertanyaan telah dibuat terhadap syarikat ini dan jawapan dari mereka ialah, "Ya memang kami dah tahu masalah ini tetapi kami tidak boleh melakukan apa-apa kerana kami memerlukan bahan yang boleh mengeluarkan busa yang banyak". Dalam pada itu, Pasta Colgate & Dee Dee (untuk kanak-kanak) turut mengandungi bahan yang sama untuk penghasilan busa.
 
5. makanan jenis mee segera (tak kiralah maggi, koayteow dsb)
 
6. Bawang Goreng segera .

Seorang kawan melawat ke sebuah perusahaan kecil membuat bawang goreng, dan melihat terdapat banyak straw minuman, yang bewarna dan tidak bewarna diasingkan. Apa yang mengejutkan ialah Straw yang tidak bewarna dicampur bersama gorengan bawang yang bertujuan apabila plastik straw tersebut dipanaskan, ianya melebur lantas menyaluti bawang tersebut. Sebab itulah kalau bawang goreng segera yang dibeli terdedah kepada udara tak akan lembik tapi kalau kita buat sendiri lembik dalam masa yang singkat sahaja.