Pendidik ulung ialah ibu bapa kerana merekalah yang pertama memberi suluhan cahaya kepada anak-anak untuk mengenali dunia mereka dan mereka jugalah insan yang pertama mengajar setiap perkara.
Lantaran itu, peranan ibu bapa sebagai pendidik ulung mesti diteruskan dengan menanam aqidah kepada anak-anak, selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w:
"Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah suci murni (Islam), maka ibu bapanya menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
Guru merupakan gantian ibu bapa di sekolah yang mengajar murid tanpa jemu dan penat, dengan kekuatan semangat untuk melihat anak muridnya berjaya dan sangat menginginkan muridnya menjadi lebih tinggi dari gurunya.
Atas sebab itu, Islam sangat memberi ingatan kepada murid agar sentiasa menghormati dan memuliakan gurunya.
Saya masih ingat sewaktu kecil sehingga dewasa, ibu sering kali berpesan "jangan sesekali kamu menyakiti hati guru kamu, kamu tidak akan berkat sepanjang hidup kamu".
Berbekalkan pesanan ini, ingatlah sekalian bahawa yang penting bagi ilmu itu ialah berkat ilmu, yang mampu menyuluh cahaya dalam perjalanan hidup ini.
Kepada para guru, jadilah anda seorang pendidik yang beramanah dengan ilmu kerana guru yang amanah dan ikhlas sama seperti mata air yang mengalir - air yang bersih dan jernih untuk diminum oleh semua.
Beringat-ingatlah bahawa guru yang khianat dan tidak ikhlas dalam kerjayanya adalah sama seperti mata air yang mengalirkan air yang keruh, lalu keruhlah air itu sampai di kuala.
Khas untuk guru-guru sekalian dan semua yang bergelar guru…
Kau seperti lilin yang menerangi
Memberi sinar membakar diri
Agar insan jadi insani
Tanpamu kosong tiada erti
Tak mungkin kami berada di sini.
Terungkap citra seorang wira
Dari huruf menjadi kata
Dari bebal menjadi bijaksana
Dari putih menjadi warna
Pencorak kehidupan penyambung bangsa
Melangkah jauh terasa nyata
Visi mendatang mudah terlaksana.
Di saat buntu, dikaulah pembantu
Memberi ilmu tanpa jemu
Tak kira masa, tenaga dan waktu
Jasamu itu ku kenang selalu
Biarpun beranak berpinak cucu.
Sesekali melangkah pasti rebah
Nasihatmu kuingat menghilangkan gundah
Agar diri dan semangat menjadi gagah
Daku pasti tak mungkin mengalah
Ilmu dan pengalaman diberi sudah
Setelah berusaha dan berdoa, terserahlah.
Duhai guru-guru yang dikasihi
Terimalah kasih dan sayang kami
Lantaran berbudi tidak berperi
Untuk satu perjuangan hakiki
Kami kini mampu berdikari.
Terima kasih guru.
No comments:
Post a Comment