Halaman

Walaupn Hidup 1000 th. Klau x Smbahyang Apa Gnanya

Walaupn Hidup 1000 tahun klu x sembahyang apa gnanya

17.11.10

Iktibar Peristiwa Qurban


Korban dari segi bahasa bermakna dekat dan dari segi istilah bermakna menjalankan sesuatu perintah agama atau taat kepada perintah Allah s.w.t. kerana ingin mendekati diri kepada Tuhan.
 
Ini bermakna setiap manusia Muslim dituntut supaya berkorban apa sahaja yang termampu untuk mendapat keredhaan Allah serta bagi menyatakan ketaatan kepada-Nya sama ada berbentuk fikiran, tenaga atau harta benda.
 
Sejarah pengorbanan manusia di atas muka bumi ini ialah kisah dua orang adik-beradik bernama Qabil dan Habil, anak kepada Nabi Adam a.s. yang mana mereka berdua pernah diuji, siapakah di antara kedua-duanya yang sudi mengorbankan hartanya bagi menyatakan ketaatan kepada Allah s.w.t.
 
Di dalam surah al-Maidah ayat 27 Allah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. kisah anak-anak Adam a.s yang masing-masing mempersembahkan korban bermaksud:
 
Dan bacalah wahai Muhammad kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan korban (kerana mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima kurban salah seorang darinya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata Qabil ``Demi sesungguhnya aku akan membunuhmu. Jawab (Habil) hanya saya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.''
 
Mengikut ahli tafsir, Habil adalah seorang penternak kambing telah mempersembahkan seekor kambing yang terbaik semata-mata kerana mengikut seruan Allah s.w.t. dengan ikhlas dan penuh takwa serta ingin mendekatkan diri kepada perintah Allah. Sebaliknya Qabil seorang petani telah mempersembahkan gandum yang buruk lantaran ada perasaan bakhil, dengki, malu dan terpaksa, yang mana akhirnya Allah menerima korban daripada Habil.
 
Qabil yang kecewa di atas pengorbanan yang ditolak oleh Allah akhirnya sanggup membunuh saudaranya sendiri iaitu Habil, semata-mata kerana dengki tidak dapat mengahwini adik perempuan kembarnya bernama Iqlima yang akan dikahwinkan dengan Habil. Inilah adalah sejarah pembunuhan pertama dalam sejarah manusia di atas muka bumi ini.
 
Satu lagi kisah yang kita dapat mengambil pengajaran betapa kepatuhan dan ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. maka tiga orang hamba Allah iaitu Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail yang mana mereka bertiga berkorban tenaga dan daya usaha bagi membangunkan tanah Mekah sehingga menjadi pusat pertemuan dan perpaduan umat Islam dari seluruh dunia hingga ke zaman ini.
 
Menurut sejarah, Nabi Ibrahim mempunyai isteri pertama (Siti Sarah) yang sudah tua dan tidak dapat melahirkan anak. Siti Sarah `menghadiahkan' Siti Hajar seorang hamba kepada suaminya Nabi Ibrahim.
 
Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Ibrahim dan Siti Hajar meninggalkan Mesir dan menuju ke Mekah. Dalam perjalanan kedua-duanya menghadapi kesulitan dan kepayahan dengan meredah padang pasir. Apabila sampai di Mekah Nabi Ibrahim meninggalkan Siti Hajar keseorangan sehingga melahirkan seorang anak yang dinamakan Ismail.
 
Bumi Mekah yang sering kontang, tidak mempunyai air dan tidak ada tumbuh-tumbuhan menyebabkan tidak ada orang yang sanggup mendiaminya. Tetapi sejarah telah memaparkan kepada kita betapa semangat kecekalan Siti Hajar yang dapat mengatasi cabaran dan dugaan semasa melahirkan anaknya Nabi Ismail serta semasa mencari air bagi menyelamatkan dirinya serta anaknya bagi meneruskan kehidupan, adalah bukti kepatuhan dan ketaatan mereka berdua kepada perintah Allah s.w.t.
 
Apabila Nabi Ismail sudah mulai membesar serta dapat membantu kerja-kerja yang dilakukan oleh ayahnya Nabi Ibrahim, maka timbullah rasa kasih Nabi Ibrahim kepada anaknya itu. Perasan kasih itu timbul kerana Nabi Ibrahim pada umur yang sudah lanjut barulah memperoleh seorang anak. Maka Allah s.w.t. hendak menguji kasih sayang Nabi Ibrahim, adakah kasih kepada anaknya melebihi daripada kasihnya kepada Allah. Surah as-Saffat ayat 102-107 bermaksud:
 
Maka tatkala anak itu sampai (kepada peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: ``Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu: Maka fikirkanlah apa pendapatmu!'' Anaknya menjawab: ``Wahai bapaku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu: Insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.''
 
``Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu - telah menjalankan perintah Kami). Serta kami menyerunya ``wahai Ibrahim!'' Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu!'' Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata; dan kami telah tebuskan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.''
 
Di dalam kitab tafsir menceritakan bahawa Syaitan cuba menghasut Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar, lalu dilontar dengan batu, dan inilah yang dilakukan oleh mereka yang melakukan ibadat haji di mana melontar di ketiga-tiga jamrah adalah merupakan salah satu daripada perkara wajib haji.
 
Sebelum Nabi Ibrahim melakukan penyembelihan ke atas anaknya kerana perintah Allah, Nabi Ismail berpesan kepada ayahnya iaitu:
 
- Ikatlah kedua-dua tangannya supaya ayahnya tidak terganggu.
 
- Mukanya ditelengkupkan ke bumi supaya ayahandanya tidak dapat melihat wajahnya yang mungkin menimbulkan perasaan kasihan kepadanya.
 
- Baju ayahnya diselakkan supaya tidak dilumuri oleh darah.
 
- Tajamkan pisaumu dan cepatlah hiris ke leher supaya mudah mati.
 
- Nabi Ismail menyuruh ayahnya membawa pulang bajunya untuk diberikan kepada ibunya sebagai kenangan.
 
- Nabi Ismail menyampaikan salam kepada ibunya dan meminta ayahnya memujuk ibunya supaya beliau bersabar di atas perintah Allah s.w.t.
 
- Nabi Ismail meminta supaya jangan menceritakan kepada ibunya bagaimana cara ayahnya menyembelih dan mengikat tangan.
 
- Jangan biarkan kanak-kanak masuk ke rumah ibu supaya tidak bertambah kesedihannya.
 
- Jika ayah berjumpa dengan kanak-kanak yang sebaya dengannya, janganlah ayahnya memandang kepadanya supaya ayah tidak berkeluh kesah dan kesedihan.
 
Kisah Nabi Ibrahim yang rela mengorbankan anaknya sendiri, begitu juga isterinya Siti Hajar yang merelakan anaknya dikorbankan dan anaknya sendiri, Nabi Ismail yang sanggup dikorbankan adalah menunjukkan kepada kita betapa tingginya nilai pengorbanan mereka bertiga yang sanggup melakukan apa sahaja semata-mata kerana patuh dan taat kepada perintah Allah s.w.t.
 
Firman Allah surah al-Hajj ayat 37 bermaksud: Daging dan darah korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu.
 
Dalam suasana Hari Raya Korban kita dituntut melakukan ibadat korban seperti sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
 
Daripada Aisyah bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, tidak ada amalan anak Adam (manusia) di hari Nahar (Hari Raya Haji) yang paling disukai oleh Allah selain daripada menyembelih korban.
 
Ternakan yang dikorban itu akan datang kepada mereka yang melakukannya pada hari Kiamat kelak seperti keadaan asalnya, iaitu lengkap dengan tanduknya, bulunya dan kukunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan oleh Allah sebelum dia jatuh ke bumi (iaitu pahalanya disegerakan oleh Allah) maka dengan sebab itu hendaklah kamu dengan rela dan ikhlas hati melaksanakannya untuk keuntungan diri kamu sendiri.
 
Pengorbanan para sahabat dalam hijrah contohnya adalah menunjukkan kasih dan kepatuhan kepada Allah lebih daripada segala-galanya. Apakah pula pengorbanan kita kepada Islam?
 
Ketaatan dan pengorbanan Qabil dan Habil memberi pengajaran kepada manusia supaya tidak bakhil setelah mereka memperoleh nikmat yang banyak daripada Allah s.w.t.
 
Mereka hendaklah bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang banyak dan tanda kesyukuran ialah menginfakkan atau membelanjakan sedikit daripada hartanya sama ada dalam bentuk yang wajib (zakat) atau membelanjakannya dalam bentuk yang sunat.
 
Ketaatan dan pengorbanan yang telah diasaskan oleh Nabi Ibrahim, di mana umat Islam seluruh dunia telah mengorbankan sebahagian daripada harta benda mereka bagi menghadiri muktamar Islam sedunia dan melakukan ibadat haji. Nabi Ibrahim diperintah oleh Allah untuk membina Kaabah yang merupakan rumah ibadat yang pertama seperti yang difirmankan oleh Allah di dalam surah ali-Imran ayat 96-97.
 
Setelah selesai Nabi Ibrahim membina Kaabah maka Allah memerintahkan Nabi Ibrahim supaya menyeru manusia supaya datang untuk melakukan ibadat haji. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Hajj ayat 27-28 bermaksud:
 
Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang (ke rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh,

 ``supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaannya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

No comments: