Allah SWT mencipta langit, bumi dan seluruh isinya termasuk manusia. Allah juga mewujudkan peraturan demi untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka bukan sahaja di dunia, bahkan juga di Akhirat, tempat tinggal terakhir buat manusia.
Peraturan atau syariat Allah yang berlaku di bumi tempat tinggal sementara manusia ini, itulah yang dikatakan sunnatullah.
Ia merupakan peraturan dan perjalanan yang Allah Taala telah tetap dan peraturkan untuk manusia.
Yang wajib kenalah manusia ikut dan patuhi. Jika manusia tidak patuhi dan menolak sunnatullah itu, pasti manusia rosak dan binasa. Rosak dan binasa itu pasti terjadi di dunia lagi sama ada dalam jangka masa pendek mahupun panjang.
Apabila kita memperkatakan sunnatullah iaitu satu sistem dan peraturan yang ditentukan oleh Allah Taala buat manusia di dunia ini, ia tidak akan berubah dan tidak ada siapa yang boleh merubahnya sejak Allah Taala wujudkannya hinggalah sampai bila-bila.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi Sunnatullah, engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan sunnatullah itu. (Fathir: 43)
Perlu diingat bahawa sunnatullah itu terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama: Manusia menerimanya secara terpaksa
Kedua: Manusia menerima secara sukarela
Firman Allah:
Maksudnya: "Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa." (Ar Ra'd: 15)
1. Secara terpaksa (karhan)
Sunnatullah yang pertama, manusia terpaksa menerimanya secara terpaksa (karhan).
Di antaranya seperti:
– Jika manusia ingin bernafas, Allah sudah tentukan dengan udara bukan dengan air dan lain-lain.
– Bernafas melalui hidung bukan melalui mata dan lain lainnya.
– Makan dan minum melalui mulut bukan melalui dubur dan lain-lain jalan.
– Berjalan menggunakan kaki bukan melalui tangan dan lain-lain.
– Kalau mahu rehat dan untuk memulihkan kesegaran kenalah tidur dan rehat, bukan melalui bermain atau panjat pokok dan lain-lain.
Begitulah keadaannya. Banyak contoh-contoh lain lagi yang tidak perlu disebutkan di sini. Kiaskan sahaja.
2. Secara sukarela (tau'an)
Sunnatullah yang kedua ialah Allah Taala membuat peraturan sebagai sunnatullah yang tidak akan diubahi seperti:
– Makan dan minumlah yang halal seperti nasi dan air mineral, jangan makan dan minum yang haram seperti daging babi dan arak.
– Inginkan perempuan kenalah berkahwin. Jangan berzina.
– Inginkan kaya, berusahalah secara halal seperti berniaga,bertani dan berternak. Jangan mencuri, jangan menipu dan jangan rasuah.
– Jika inginkan keselamatan negara dan masyarakat, kenalah mengguna hukum Allah Taala yang berdasarkan AlQuran dan Sunnah.
– Kalau mahu kehidupan di bidang ekonomi berjalan sihat, tidak ada penipuan dan penindasan, tolaklah sistem riba,monopoli dan memperniagakan yang haram.
– Jika mahu kehidupan manusia seimbang agar terjamin kebahagiaan dan keharmonian, bangunkanlah kehidupanyang bersifat material dan juga pembangunan rohaniah.
Demikianlah beberapa contoh. Terlalu banyak lagi. Kiaskan sahaja.
Kedua-dua sunnatullah itu sama ada yang bersifat terpaksa(karhan) mahupun bersifat sukarela atau pilihan (tau'an) atau ada usaha memilih untuk melaksanakannya, kalau dilanggar atau tidak dipatuhi, pastilah manusia akan binasa di dunia ini sebelum binasa di Akhirat kelak. Sebab-sebab manusia menolak itu mungkin kerana manusia itu mahu buat peraturan sendiri sebab tidak puas hati dengan peraturan Tuhan itu. Maka mereka pun membuat sunnah sendiri.
Sunnatullah yang pertama, tidak ada manusia yang menentang atau menolaknya. Semua orang boleh menerimanya kerana dari pengalaman manusia, mereka boleh menerima dengan penuh suka dan puas hati. Tidak ada yang terasa berat menerimanya. Bahkan tidak ada yang merasa inferiority complex menerimanya.
Semua menerimanya dengan berpuas hati dan senang hati. Tidak ada yang merasakan kolot, ketinggalan zaman,out of date. Tidak ada yang mengatakan, "Ia sudah ketinggalan zaman, semenjak Nabi Allah Adam lagi manusia bernafas dengan udara. Sudah terlalu lama, sudah kolot.
Inikan zaman sains dan teknologi,zaman IT canggih, tidak sepatutnya kita bernafas dengan udara lagi. Patut kita bernafas dengan air. Patut kita ubah rasa." Tiada manusia yang mengatakan begitu.
Mengapa manusia boleh menerima bahkan berpuas hati dengan sunnatullah yang pertama iaitu yang bersifat karhan?
Mengapa tidak ada mempertikainya?
Mengapa tidak terasa kolot menggunakan peraturan yang sudah terlalu lama itu?
Manusia boleh menerimanya kerana kalau melanggar sunnatullah itu risikonya besar dan cepat sekali rosak binasa hingga boleh membawa mati. Bahkan sudah ramai yang mati disebabkan air. Cubalah bernafas dengan air! Bolehkah hidup? Bolehkah bernafas? Sudah tentu tidak boleh. Kalau diteruskan juga, masa itu juga binasa.
Jadi oleh kerana kalau melanggar sunnatullah yang pertama,yang bersifat terpaksa itu (karhan), manusia akan cepat menerima risikonya, maka tidak adalah manusia yang melanggar sunnatullah yang pertama itu. Malahan manusia boleh patuh dengan puas hati. Di sini manusia merasa selamat menerima sunnatullah yang bersifat karhan.
Manusia berpuas hati menerima peraturan itu. Manusia mengakui siapa yang melanggar sunnatullah itu, mereka pasti rosak binasa. Ertinya mematuhi peraturan yang bersifat karhan itu, ia sangat menyelamatkan dan menguntungkan manusia.
Bagaimanapun, manusia payah mahu menerima sunnatullah yang kedua iaitu yang bersifat sukarela (tau'an). Termasuklah sebahagian besar umat Islam di dunia, di akhir zaman ini. Allah Taala membenarkan manusia untuk memilih menerima atau menolak sunnatullah yang bersifat tau'an ini tetapi risikonya tetap ada bahkan lebih besar lagi.
Sama ada yang akan berlaku di dunia, betapalah yang akan ditimpakan di Akhirat kelak. Umat Islam sendiri merasa malu untuk menerimanya, ragu melaksanakannya, takut tidak maju, takut huru-hara, malu dengan yang bukan Islam. Ia dianggap ketinggalan zaman dan sudah tidak sesuai lagi.
"Sekarang zaman sains dan teknologi,zaman IT canggih, bukan zaman unta."
Begitulah umat Islam sendiri dengan penuh angkuh dan sombong menolaknya.
Bahkan benci dan prejudis terhadap pejuang-pejuang yang hendak menegakkan sunnatullah kedua yang bersifat tau'an ini. Ramai manusia yang menolak, termasuklah sebahagian besar umat Islam, kerana apabila menolak sunnatullah yang kedua ini risikonya lambat.
Kebinasaan dan kerosakan tidak terus berlaku di waktu itu. Ianya lambat berlaku. Adakalanya selepas sepuluh tahun, lima belas tahun atau dua puluh tahun. Sehinggakan apabila risiko dan kerosakan menimpa, di waktu itu mereka sudah tidak dapat kaitkan lagi ia dengan perlanggaran dan penolakan sunnatullah yang dilakukan sejak bertahun-tahun yang lalu.
Lantaran itu kalau ada orang atau golongan yang sedar, memberitahu kerosakan moral, jenayah, perpecahan dan lain-lain lagi yang berlaku sekarang ini disebabkan kita sejak dahulu telah melanggar sunnatullah, mereka akan menolaknya. Bahkan marah dan bermusuh pula dengan orang itu. Mereka tidak boleh hendak mengaitkan gejala sosial yang berlaku, yang telah merosakkan masyarakat hari ini dengan kesalahan mereka menolak hukum atau sunnatullah itu.
Sebagai contoh, keruntuhan akhlak dan gejala tidak sihat yang berlaku di dalam masyarakat sekarang seperti bohsia,bohjan, budaya lepak, vandalisme, rompak, samun, rasuah, krisis rumah tangga dan sebagainya itu adalah akibat dari apa yang kita telah lakukan sejak puluhan tahun yang lalu. Ianya berlaku apabila sistem pendidikan tidak mengikut syariat Allah, sistem ekonomi berdasarkan kapitalisme, perlembagaan negara bertentangan dengan sunnatullah iaitu tidak mengikut Al Quran dan Hadis, masyarakat kita tidak dihalang daripada pergaulan bebas dan media massa yang tidak dikawal daripada memaparkan apa yang dilarang oleh Allah seperti mempamerkan gambar-gambar lucah yang merangsang nafsu.
Jadi, gejala sosial yang berlaku adalah buah dari pokok yang sudah lama kita tanam.Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa sunnatullah yang kedua ini yang bersifat tau'an, jangan dilanggar. Kalau dilanggar tetap memudarat dan merosakkan masyarakat manusia tetapi memakan masa yang panjang baru nampak risikonya.
Setelah lama barulah terlihat kesannya. Sama ada sunnatullah yang pertama mahupun yang kedua,yang bersifat karhan mahupun yang bersifat tau'an, kalau dilanggar juga kita akan binasa. Hidup kita akan huru-hara. Masyarakat kita akan pincang. Kebahagiaan kita akan tercabar dan keharmonian kita akan hilang. Cuma pelanggaran yang pertama cepat kebinasaannya tetapi pelanggaran yang kedua lambat. Itu sahaja bezanya.
Justeru itu kalau didapati di dalam masyarakat kita berbagai-bagai jenayah, kerosakan akhlak, krisis, bahkan bencana alam,rujuk cepatlah kepada Allah Taala. Jangan lengah-lengah lagi.Muhasabah diri dan sistem yang kita bangunkan. Ada atau tidak pelanggaran sunnatullah itu. Kalau didapati ada pelanggaran, kenalah perbetulkan. Tukar segera dengan sunnatullah, kemudian memohon ampun sebanyak-banyaknya kepada-Nya sebelum Allah Taala menimpakan balasan dan hukuman yang lebih berat dan teruk lagi.
No comments:
Post a Comment