Sifat solat
witir yang disebut oleh nabi Muhammad s.a.w adalah penutup kepada segala solat
sunat pada sesuatu malam, persoalan:-
(1) sama ada boleh untuk mendirikan solat sunat yang lain selepas solat
witir?
(2)
dan adakah boleh ditunaikan witir sekali lagi selepas itu?
Jawapan
(1) = Majoriti ulama berpendapat hal tersebut DIBENARKAN berdasarkan hadis
sohih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, At-Tirmidzi dan Ibn Majah yang
menyebut nabi mendirikan solat sunat dua rakaat selepas solat witir dan dibaca
dalam solat itu surah Al-Zalzalah dan Al-Kafirun.
Isu
Jawapan 1 : Ulama berbeza ijtihad dalam menanggapi hukum mereka yang telah
berniat dari awal untuk solat sunat lain selepas witir seperti berikut :-
(1)
Sesiapa yang solat witir tetapi berniat untuk solat sunat lagi selepas itu,
sebahagian ulama Maliki berijtihad ia sebagai makruh. Berdalilkan kepada hadis
nabi : Ertinya : Hendaklah kamu jadikan witir sebagai solat terakhir kamu di
setiap malam. (Hadith sohih Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
(2)
Seseorang mendirikan solat witir tetapi tiada sebarang niat untuk solat sunat
lain selepasnya. Namun atas apa jua sebab, dia mendirikan solat sunat selepas
itu.
Itu HARUS TANPA SEBARANG MAKRUH. Ulama menyatakan keharusannya namun
mereka berbeza pandangan sama ada :
(1) Hanya solat dengan rakaat genap tanpa
witir sekali lagi
(2) dimulakan dengan satu rakaat bagi menggenapkan witir yang
telah dilakukan, diikuti solat sunat dua rakaat biasa dan disudahi dengan solat
sunat dengan witir (rakaat ganjil) sebagai penutup.
Witir
Di Awal Dan Dihujung Malam
(1)
Pandangan Pertama : Tidak boleh digenapkan witir awal & tiada lagi witir
selepas itu.
Ini
merupakan ijtihad majoriti Sahabat Nabi, Tabi'en dan ulama mujtahid termasuk
mazhab Syafie. Berdasarkan ijtihad ini, tidak boleh witir digenapkan (orang
Melayu namakan sebagai ‘buka' witir). Hanya perlu solat sunat dengan rakaat
genap sehingga habis malam TANPA BOLEH MELAKUKAN WITIR SEKALI LAGI. Nabi
menyebut Ertinya : Tiada dua solat witir dalam satu malam. ( Riwayat
Al-Tirmidzi & Ahmad)
Berdasarkan
hadis tersebut, Al-Hafidz Al-Iraqi menyatakan majoriti ulama menolak pandangan
yang mengatakan boleh DIGENAPKAN witir atau dibatalkan bagi membuka ruang solat
sunat lain dilaksanakan.
Menurut
nukilan Ibn Abi Syaibah, antara sahabat nabi yang berpandangan demikian adalah
Abu Bakar Al-Siddiq, Ammar B Yasir, Aisyah, Abu Hurairah dan ramai lagi.
Manakala dari kalangan ulama besar tabien adalah Sa'id Ibn Musayyab, As-Sya'bi,
Ibrahim al-Nakhi'e, Sa'id Ibn Jubair Pandangan itu juga dipegang oleh Sufyan
Al-Thawry, Imam Malik, Imam Ahmad, Abu Thawr, Imam Shafi'e dan Qadhi Iyadh dan
ramai lagi.
Menurut
kumpulan ulama ini, pandangan yang membolehkan menggenapkan witir (buka) dan
didirikan sekali lagi di akhir malam adalah lemah, selain alasan kekuatan dalil
yang disandarkan, mereka juga mengutarakan pertikaian jika witir dilakukan di
awal malam, kemudian tidur dan apabila bangun di hujung malam lalu dilaksanakan
sambungannya, itu sudah dikira dua witir yang berasingan disebabkan wudhu yang
telah batal dan pemisahan antara keduanya untuk tempoh yang panjang.
Hasilnya,
untuk menganggap witir di awal malam dan yang dilaksanakan di hujung malam
sebagai SATU WITIR adalah lemah, malah Imam As-Syawkani mengatakan jika
dilakukan satu rakaat terlebih dahulu dengan niat untuk menggenapkan rakaat
witir yang ganjil sebelum ini, maka ia sudah dikira witir kedua, dan jika
ditutup pula solat sunat pada malam itu dengan witir yang lain, tatkala itu
witir itu dianggap witir ketiga. Ia jelas melanggar tegahan nabi.
Selain
itu dinaqal dari Abu Bakar As-Siddiq, Ammar bin Yasir dan Aisyah yang
mengatakan sesiapa yang membatalkan witir ( dengan solat satu rakaat bagi
menggenapkannya) adalah orang yang bermain-main dengan solatnya.
(2)
Pandangan Kedua : Boleh digenapkan witir awal dan solat semula di akhirnya.
Pandangan
dan ijtihad berbeza ini menyebut keharusan untuk neutralize witir awal dengan
menggenapkan jumlah rakaat witir yang telah dilakukan iaitu dengan cara
menunaikan satu solat dengan rakaat ganjil. Dengan cara itu, seolah witir yang
sebelum ini berubah menjadi solat genap, tidak lagi witir.
Mereka
berdalilkan athar dari Ibn Umar r.a yang diriwayatkan berkata :-Ertinya :
Adapun aku, kiranya aku telah solat witir sebelum aku tidur, kemudian apabila
(aku bangun) dan ingin menunaikan solat di malam hari, akan aku mulakan dengan
satu rakaat barang yang telah selesai dari witirku sebelum ini ( menambah satu
agar digenapkan) kemudian, aku akan solat sunat dua raka'at, dua raka'at,
setelah selesai semuanya, akan aku akhirinya dengan solat witir satu
rak'at, itu adalah kerana Rasulullah mengarahkan kami agar menjadikan solat
sunat terakhir dalam satu malam, adalah solat witir. ( Riwayat Ahmad)
Mereka
juga berpegang kepada dalil athar Uthman Affan r.a :- Ertinya : sesungguhnya
aku apabila aku ingin tidur di awal malam, aku dirikan solat witir, dan apabila
aku bangkit ( di tengah malam) akan ku gabungkan dengannya (witir sebelum ini)
dengan satu rakaat, tidaklah ia kecuali seperti seekor unta ganjil yang
bergabung dengan kumpulannya. ( Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan Tirmidzi)
Diriwayatkan
daripada Ali K.W berkata : Ertinya : Witir itu tiga cara, barangsiapa yang
ingin witir di awal malam, maka perbuatlah, sekiranya dia bangun di malamnya ,
mulakan dengan satu rakaat dan diikuti dua rakaat, dua rakaat sehingga subuh
diakhiri witir , maka lakukanlah.
(Kedua) Sesiapa yang ingin solat dua rakaat
sehingga subuh (tanpa diawali dengan satu rakaat dan diakhiri dengan witir
lagi) , maka lakukanlah.
(Ketiga), atau barangsiapa yang ingin terus melewatkan
solat witirnya di akhir malam sahaja (tidak solat witir) di awal malam.
(Riwayat Imam Syafie dalam musnadnya)
KESIMPULAN
(1)
Jelas hal ini adalah isu khilaf yang diterima, justeru semua pihak diharap
tidak memperlekeh mana-mana pandangan yang berbeza. Saya pernah mendapati ada
individu yang memperlekehkan tindakan ‘membuka witir' dengan menggenapkannya
sebagai lucu. Kini telah disertakan beberapa dalil yang wujud dalam hal
tersebut. Walau ia pandangan yang marjuh (kurang kuat), ia tidak wajar sama
sekali untuk dilucukan.
(2)
Di bulan Ramadhan yang mana witir biasanya didirikan sebagai penamat kepada
solat terawih. Jika kita bangkit bersahur dan punyai masa untuk terus
menunaikan solat sunat lain, ia DIHARUSKAN tanpa perlu dimulai dengan satu
rakaat witir. Tidak perlu pula ditutupi dengan witir lain selepas itu.
Wajar
dituruti pandangan majoriti ulama yang MELARANG ditunaikan solat witir sekali
lagi di akhir malam. Cukup sekali witir yang telah didirikan di akhir terawih
bersama imam berteatan dengan saranan Nabi Muhammad s.a.w. (diringkas dengan
sedikit pindaan dari sumber (UZAR) Dr. Zaharuddin Abd Rahman).
Pilihan
saya : Saya memilih pandangan bahawa witir hanya dilakukan sekali dan
jika dibuat di awal malam maka tidak perlu membuatnya lagi (dengan apa
kaedahpun) diakhir malam (sebelum subuh), sekalipun, sejak dari awal saya juga
telah merancang untuk membuat solat sunat- solat sunat yang lain diakhir malam.
Selain
bersandar hujah bagi pendapat pertama (yang lebih kuat) di atas, Pilihan saya
ini adalah turut mengambilkira saranan Dr Abdul Basit, (berdasarkan terdapatnya
satu hadith sahih) bahawa pada malam ramadan, mereka yang bersama dengan imam
sehingga selesai (iaitu solat isyak, tarawih dan solat witir) akan mendapat
kelebihan seumpama beribadah sepanjang malam hingga ke subuh. (Saya tidak
sempat lagi mengesan hadithnya itu dan mengesahkan ketepatan matannya, bantuan
diperlukan....).
Memandangkan
kebanyakan masjid dan surau termasuk di qariah saya, solat witir 3 rakaat
didirikan terus sebaik selesai solat tarawih, maka perlulah saya setia bersama
imam hingga selesai solat witir walaupun saya bercadang untuk menunaikan
beberapa solat sunat disekitar akhir malam sebelum bersahur.
Walaupun
Dr Abdul Basit mencadangkan agar jemaah berbincang supaya Iman dan makmum
menangguhkan solat witir dan kembali ke masjid atau surau pada lewat malam
untuk menunaikan solat witir seperti yang telah berjaya dilakukan di
masjid/surau tertentu, tapi ia masih belum dapat lagi direalisasikan di qariah
saya.
Walaubagaimana
sekiranya ada pandangan balas dengan hujah-hujah lain, sila kemukakan kerana kita
bersikap terbuka demi mencari pilihan dan cara terbaik dalam mengamalkan sunnah
dan menyesuaikannya dengan realiti hari ini yang dibelenggu kekelamkabutan yang
menyesakkan nafas.
Wallahu taala alam.
No comments:
Post a Comment