Di dalam tulisan bertajuk Kelebihan
Membaca dan Menghayati Al-Qurantelah disenaraikan beberapa hadith Nabi
sallAllahu `alaihi wa sallam mengenai anjuran, galakan dan kelebihan berkaitan
Al-Quran. Semoga dengannya kita semakin bersemangat untuk mendampingkan
diri kita dengan Al-Quran, in shaa’ ALLAH.
Berikut ini pula diterangkan mengenai cara
Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran. Tujuannya
adalah supaya kita sama-sama meniru dan mengikuti cara yang terbaik ini, in
shaa’ ALLAH. Hadith-hadith adalah dipetik dari Syama’il Muhammadiyyah
susunan al-Imam at-Turmudzi dan Riyadhus Solihin susunan al-Imam an-Nawawi –
rahimahumallah.
1) Membaca dengan
jelas, perkataan demi perkataan.
Ya`la bin
Mamlak radhiAllahu `anhu bertanya kepada Ummu Salamah radhiAllahu `anha
mengenai cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran.
Lalu Ummu Salamah menjelaskan bahawa Rasulullah membaca Al-Quran dengan jelas,
perkataan demi perkataan.
(Diriwayatkan
oleh Abu Daud, at-Turmudzi dan Nasa’i)
2) Memanjangkan
bacaan sesuai dengan hukum tajwid
Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, aku bertanya
kepada Anas bin Malik radhiAllahu `anhu:
“Bagaimanakah
cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran?”
Anas
menjawab: “Baginda
memanjangkan bacaan (sesuai dengan hukum tajwid).”
(Diriwayatkan
oleh al-Bukhari, Abu Daud, at-Turmudzi, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)
3) Memotong bacaan
pada setiap ayat.
Ummu Salamah radhiAllahu `anha berkata:
“Adalah
Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam memotong bacaan Baginda (pada setiap
ayat).
Baginda
membaca ‘ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
‘ lalu berhenti.
Kemudian
Baginda membaca ‘ الرَّحْمَٰنِ
الرَّحِيمِ
‘ lalu berhenti.
Kemudian
Baginda membaca ‘ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ ‘.”
(Diriwayatkan
oleh Abu Daud, at-Turmudzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)
4) Kadang-kala
dengan suara yang perlahan, kadang-kala dengan suara yang kuat.
`Abdullah bin Abi Qais radhiAllahu `anhu
berkata:
Aku
bertanya kepada `A’ishah radhiAllahu `anha mengenai bacaan Nabi sallAllahu
`alaihi wa sallam: “Adakah Baginda membaca secara perlahan atau pun
kuat?”
Beliau
menjawab: “Baginda
pernah membaca dengan kedua-dua cara. Kadang-kala Baginda membaca dengan
perlahan. Dan kadang-kala Baginda membaca dengan kuat.”
Aku
membalas: “Seluruh
pujian kepada ALLAH yang memberikan kemudahan dan kesenangan dalam perkara
ini.”
(Diriwayatkan
oleh Muslim, Abu Daud, at-Turmudzi, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)
5) Membaca dengan
suara yang indah
`Abdullah bin Mughaffal radhiAllahu `anhu
berkata:
Aku
melihat Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam duduk di atas tunggangannya pada Hari
Pembebasan Makkah sambil membaca:
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا. لِّيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ
(Sesungguhnya
Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan
yang jelas nyata. Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan
salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian…)
`Abdullah
bin Mugahffal berkata: “Baginda
membaca ayat ini dengan suara yang indah.”
Mu`awiyyah
bin Qurrah (seorang daripada yang merekodkan hadith ini) berkata: “Seandainya orang tidak berkumpul
di sekelilingku, pasti akan kubaca seperti itu” atau “sama indah bacaannya
dengan Rasulullah.”
(Diriwayatkan
oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Turmudzi, Nasa’i dan Ahmad.)
Dari al-Bara’ bin `Azib radhiAllahu `anhu
berkata:
“Aku
mendengar Rasulullah sallAllahu `alihi wa sallam membaca pada waktu `Isya’
surah وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ. Aku belum
pernah mendengar seorang pun yang suaranya lebih merdu dari suara Baginda.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari
dan Muslim)
6) Kadang-kala
mendengar orang lain membaca Al-Quran
Dari Ibnu Mas`ud radhiAllahu `anhu berkata:
Bahawa
Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berkata kepadaku: “Bacakanlah Al-Quran untukku.”
Aku
berkata: “Wahai
Rasulullah, saya membacakan Al-Quran untuk tuan? Padahal kepada tuan lah
Al-Quran diturunkan.”
Baginda
bersabda: “Sesungguhnya
aku ingin mendengar Al-Quran dibaca oleh orang lain.”
Maka aku
pun membacakan untuk Baginda surah an-Nisa’ sehingga sampai ayat:
فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا
(Maka
bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada Hari Akhirat kelak), apabila KAMI
datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi
saksi terhadap perbuatan mereka), dan KAMI juga datangkan engkau (wahai
Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?).
Kemudian
Baginda bersabda: “Cukuplah
sampai di sini.”
Saya
menoleh kepada Baginda, tiba-tiba kedua matanya mencucurkan air mata.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari
dan Muslim)
*Ayat tersebut adalah ayat
ke-41, surah an-Nisa’.
Semoga
bermanfaat. Mudah-mudahan hidayah dan taufiq ALLAH tercurah ke atas kita
semua, amin…
No comments:
Post a Comment