Halaman

Walaupn Hidup 1000 th. Klau x Smbahyang Apa Gnanya

Walaupn Hidup 1000 tahun klu x sembahyang apa gnanya

28.6.11

Hikmah Di Sebalik Israk Dan Mikraj


Marilah kita mendengar firman Allah Taala yang menceritakan tentang peristiwa agung yang berlaku dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.

Walaupun para ulama telah bertelingkah di dalam menentukan bulan dan tahun berlakunya Israk tetapi ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada Rasulullah s.a.w. kerana peristiwa ini dinyatakan oleh al-Quranul Karim dan diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadisnya yang sahih, yang diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.

Matlamat yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.

Firman Allah Taala (maksudnya): "Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israk: 1)

Peristiwa Israk dan Mikraj untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam, firman Allah (maksudnya): "Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam." (A-li Imran: 19).

Dan Allah menyatakan juga (maksudnya): "Dan sesiapa yang mencari (berpegang) dengan agama selain daripada Islam, maka Allah tidak akan menerima dan pada hari akhirat dia tergolong dalam orang-orang yang rugi." (A-li Imran: 85)

Pada malam yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dihimpun bersama dengan roh para nabi dan rasul 'alaihimus solatu wassalam di Masjidil Aqsa, mereka solat berjemaah bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi imam kepada mereka.

Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w.

Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana di kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Adapun mereka yang tidak memahami dan buta al-Quran tidak akan percaya kepada peristiwa Israk dan Mikraj, kerana pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. ditemukan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan Bani Israil dan nabi-nabi dan rasul di kalangan umat-umat yang lain, yang cerita-cerita mereka disebut dalam al-Quran, sebuah kitab Allah yang masih wujud sehingga hari ini. Ini menandakan kebenaran al-Quran.

Kebenaran al-Quran bukan sahaja menandakan betulnya Rasululah s.a.w. bahkan juga menjadi pengajaran kepada umatnya. Semua nabi adalah menganut agama yang satu iaitu agama Islam.

Semua mereka bersolat dalam keadaan menghadap Allah SWT dengan cara-cara solat yang diajar oleh Allah. Semua nabi berpegang dengan akidah tauhid lailahaillallah, tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah, tuhan yang layak disembah kepada-Nya, tuhan yang menjadikan dan menguruskan alam ini. Alam ini tunduk di bawah undang-undang peraturan Allah, maka wajib manusia hanya tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah SWT. Itulah ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terpaksa berjuang mengharungi perjuangan yang panjang.

Di dalam peristiwa itu juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. rasul yang disertai oleh pengikut yang ramai. Ada rasul yang disertai oleh pengikut yang sedikit, ada yang berjalan seorang diri, ada nabi yang dibunuh dan ada yang dipenjara.

Itulah nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa ajaran Allah yang berdepan dengan cabaran golongan manusia yang menjadi bala tentera iblis yang akan wujud sehingga hari kiamat.

Peristiwa Israk dan Mikraj untuk meningkatkan semangat Rasulullah s.a.w. supaya jangan takut dan gentar di dalam perjuangan Islam, kerana Islam yang dibawa itu ialah Islam Allah SWT.

Seluruh kuasa besar yang ada dalam dunia adalah habuk-habuk yang kecil yang boleh ditiup angin, bahkan ia lebih kecil lagi apabila berdepan dengan ketuhanan Allah SWT pada hari kiamat.

Seseorang yang menganut Islam hendaklah merasa mulia, tinggi dan hebat dengan Islam, dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Allah SWT memuliakan umat ini dengan Islam. Kehinaan yang menimpa umat ini apabila mereka meninggalkan Islam.

Ditunjukkan pada malam Israk dan Mikraj itu di mana perginya orang yang berpegang dengan Islam sehingga mati dan ke mana arah orang yang menyeleweng dan meninggalkan agama Islam.

Orang yang berpegang dengan Islam diletakkan di syurga dan mereka yang menyeleweng daripada Islam berada di dalam neraka. Hal ini digambarkan dengan jelas supaya diberitahu kepada umatnya sehingga kiamat.

Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.

Firman Allah (maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (A-li Imran: 102).

13.6.11

Cek Gu


Pendidik ulung ialah ibu bapa kerana merekalah yang pertama memberi suluhan cahaya kepada anak-anak untuk mengenali dunia mereka dan mereka jugalah insan yang pertama mengajar setiap perkara.

Lantaran itu, peranan ibu bapa sebagai pendidik ulung mesti diteruskan dengan menanam aqidah kepada anak-anak, selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w:

"Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah suci murni (Islam), maka ibu bapanya menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Guru merupakan gantian ibu bapa di sekolah yang mengajar murid tanpa jemu dan penat, dengan kekuatan semangat untuk melihat anak muridnya berjaya dan sangat menginginkan muridnya menjadi lebih tinggi dari gurunya.

Atas sebab itu, Islam sangat memberi ingatan kepada murid agar sentiasa menghormati dan memuliakan gurunya.

Saya masih ingat sewaktu kecil sehingga dewasa, ibu sering kali berpesan "jangan sesekali kamu menyakiti hati guru kamu, kamu tidak akan berkat sepanjang hidup kamu".

Berbekalkan pesanan ini, ingatlah sekalian bahawa yang penting bagi ilmu itu ialah berkat ilmu, yang mampu menyuluh cahaya dalam perjalanan hidup ini.

Kepada para guru, jadilah anda seorang pendidik yang beramanah dengan ilmu kerana guru yang amanah dan ikhlas sama seperti mata air yang mengalir - air yang bersih dan jernih untuk diminum oleh semua.

Beringat-ingatlah bahawa guru yang khianat dan tidak ikhlas dalam kerjayanya adalah sama seperti mata air yang mengalirkan air yang keruh, lalu keruhlah air itu sampai di kuala.

Khas untuk guru-guru sekalian dan semua yang bergelar guru…

Kau seperti lilin yang menerangi
Memberi sinar membakar diri
Agar insan jadi insani
Tanpamu kosong tiada erti
Tak mungkin kami berada di sini.
 
Terungkap citra seorang wira
Dari huruf menjadi kata
Dari bebal menjadi bijaksana
Dari putih menjadi warna
Pencorak kehidupan penyambung bangsa
Melangkah jauh terasa nyata
Visi mendatang mudah terlaksana.
 
Di saat buntu, dikaulah pembantu
Memberi ilmu tanpa jemu
Tak kira masa, tenaga dan waktu
Jasamu itu ku kenang selalu
Biarpun beranak berpinak cucu.
 
Sesekali melangkah pasti rebah
Nasihatmu kuingat menghilangkan gundah
Agar diri dan semangat menjadi gagah
Daku pasti tak mungkin mengalah
Ilmu dan pengalaman diberi sudah
Setelah berusaha dan berdoa, terserahlah.
 
Duhai guru-guru yang dikasihi
Terimalah kasih dan sayang kami
Lantaran berbudi tidak berperi
Untuk satu perjuangan hakiki
Kami kini mampu berdikari.

Terima kasih guru.