Halaman

Walaupn Hidup 1000 th. Klau x Smbahyang Apa Gnanya

Walaupn Hidup 1000 tahun klu x sembahyang apa gnanya
Showing posts with label Wasiat. Show all posts
Showing posts with label Wasiat. Show all posts

2.3.17

SLIPPED DISC

Image result for slipped discImage result for slipped disc

Adakah anda selalu mengalami sakit belakang? Mungkin ada kenalan anda mengatakan anda menghidap ‘slipped disc’ atau disk tergelincir. Ramai yang berpendapat, apabila sakit belakang sahaja, ia adalah berpunca daripada slipped disc. Benarkah begitu? Apakah disk yang dimaksudkan?
Mengikut statistik, masalah sakit belakang amat kerap berlaku. Hampir 70 peratus manusia dewasa akan mengalami sakit belakang pada satu-satu masa kehidupan mereka. Lebih 50 peratus daripada jumlah ini akan sembuh dalam masa seminggu selepas mendapatkan rawatan dan 90 peratus lagi sembuh antara 1 hingga 3 bulan selepas menjalani rawatan. Hanya sebahagian sahaja yang mengalami masalah slipped disc.
Slipped disc ini sebenarnya merujuk kepada bahagian disk atau kusyen pelapik tulang belakang yang beralih tempat, membonjol ke belakang lantas menekan bahagian saraf tunjang (spinal cord) atau saraf akar (nerve root) tulang belakang pesakit. Bagi pengamal perubatan, kami menyebutnya sebagai Prolapsed Intervertebral Disc (PID) atau Herniated Nuclus Pulposus (HNP).
Disk tulang belakang kita terdiri daripada 2 bahagian utama iaitu Annulus fibrosus dan Nucleus pulposus. Ia berfungsi sebagai pelapik antara ruas tulang belakang (vertebral body) dan bertindak sebagai penyerap tekanan serta membenarkan pergerakkan berlaku antara tulang belakang kita.
Masalah slipped disc ini berlaku apabila struktur Annulus fibrosus terkoyak dan ini membolehkan Nucleus pulposus menerobos keluar dan menekan struktur saraf.
Punca-punca Slipped disc
Antara punca-punca yang dikenalpasti boleh menyebabkan masalah ini berlaku adalah:
1 1. Trauma – contohnya pesakit jatuh terduduk, mengalami kemalangan jalanraya dan sebagainya.

2 2. Pesakit mengangkat bebanan yang berat – contohnya kerana pekerjaan, atau mendukung anak untuk tempoh masa yang lama

3 3. Tidak menjaga postur belakang semasa duduk atau mengangkat barang. Posisi membongkok akan menyebabkan disk menekan saraf di belakang.

4 4. Duduk terlalu lama – contohnya pemandu lori dan bas yang duduk berjam-jam lamanya kerana memandu.

5 5. Sukan mengangkat berat.

Ia juga menjelaskan kenapa masalah slipped disc ini berlaku secara majoritinya dikalangan pemuda dalam usia 20 ke 30-an terutamanya mereka yang bekerja sebagai buruh kasar dan selalu mengangkat bebanan.
Mengikut kajian, individu yang obes dan merokok juga lebih mudah bagi mendapat masalah ini.
Sakit belakang yang menjalar
 Individu yang mengalami slipped disc secara umumnya akan datang dengan rasa sakit belakang yang menjalar ke bahagian belakang punggung, peha dan kadangkala betis mereka. Dalam kes yang teruk, mereka mungkin juga kehilangan kekuatan pada otot kaki dan mengalami rasa kebas pada sebelah atau kedua-dua kaki. Terdapat juga kes yang serius dimana pesakit tidak lagi dapat mengawal kencing dan tercirit. Ini adalah disebabkan oleh tekanan saraf yang serius dan pesakit ini perlu menjalani pembedahan segera.
Prolapsed disc boleh dibahagikan kepada 3 peringkat:
1 1. Disc protrusion – Disk menonjol keluar tapi belum terkoyak

2 2. Disc extrusion – Annulus Disk terkoyak, bahagian nukleus terkeluar tapi masih tidak masuk ke ruang saraf tunjang (spinal canal) kerana dihalang oleh Posterior Longitudinal Ligament

33. Disc sequestration – Tisu nucleus pulposus pecah dan masuk ke dalam ruang saraf tunjang
Simptom dan keadaan pesakit bergantung kepada peringkat PID berlaku. Pesakit yang mengalami protrusion biasanya hanya mengalami sakit belakang yang kadangkala menjalar ke kaki, namun jika melibatkan peringkat extrusion atau sequestration, kesakitan adalah tidak tertahan lagi dan boleh menyebabkan kekebasan dan hilang kekuatan bagi menggerakkan sendi pada salah satu atau kedua belah kaki.
Perlukah MRI dilakukan?
Imbasan Xray akan dilakukan terlebih dahulu bagi melihat struktur tulang belakang pesakit. MRI atau Magnetic Resonance Imaging akan dilakukan bagi memastikan diagnosis, sekiranya perlu. MRI juga akan dilakukan sekiranya pesakit mempunyai simptom dan tanda tekanan pada saraf iaitu lemah otot, kebas atau tidak dapat mengawal kencing dan air besar.
Rawatan
Pada peringkat awal, untuk kes disc protrusion, di mana disk yg terkeluar tidak terlalu teruk, ia boleh dirawat dengan menjaga bahagian belakang kita iaitu dengan menggunakan postur badan yang betul dan mengelakkan diri daripada mengangkat benda-benda yang berat. Postur yang betul boleh mengelakkan masalah ini menjadi lebih serius kerana pesakit yang gemar duduk membongkok akan mengakibatkan disk beliau makin tertonjol ke belakang dan menekan saraf.
Pesakit akan diberi ubat penahan sakit dan ubat anti-radang bagi mengurangkan kesakitan. Fisioterapi termasuk menggunakan kaedah haba (heat therapy) dan ultrasoundboleh membantu. Senaman bagi menguatkan otot belakang juga akan diajarkan kepada pesakit. Bagi sesetengah pesakit, teknik lumbar traction (menarik pinggang pesakit dengan pemberat bagi meregangkan ruas antara tulang belakang pesakit) didapati turut membantu.
Namun sekiranya slip disc ini agak serius dan menekan saraf, ia akan menyebabkan kaki menjadi kebas dan kadangkala lemah. Pada peringkat ini, kadangkala fisioterapi tidak lagi berkesan dan pembedahan mungkin perlu dilakukan bagi membebaskan saraf yang tertekan. Kurang daripada 10 peratus pesakit memerlukan pembedahan.
Pembedahan yang dilakukan melibatkan pembuangan disk yang menekan saraf. Ia dilakukan dengan menggunakan kamera xray khas (Image Intensifier) di bilik bedah. Teknik terkini melibatkan bukaan yang kecil dengan menggunakan kamera dan alatan khusus bagi membuang disk yang bermasalah.
Kemungkinan lain
Terdapat juga beberapa masalah lain yang boleh menyebabkan sakit belakang selain daripada prolapsed disc. Antara masalah lain yang boleh menyebabkan sakit belakang ialah:
1 1. Kerosakan sendi facet pada tulang belakang (Facet arthropathy)
2 2. Kerosakan atau kekoyakkan disk (Discogenic back pain)
3 3. Ketegangan otot lumbar (Lumbar muscle spasm)
4 4. Kanser tulang
5 5. Jangkitan kuman pada tulang belakang (Pyogenic or Tuberculous infection)
6 6. Perubahan pada struktur tulang akibat penuaan atau kecederaan (Lumbar spondylosis)
7 7. Tulang rapuh (Osteoporosis)
8 8. Jangkitan pada sistem saluran kencing (Urinary Tract Infection)
9 9. Batu karang pada ginjal atau pundi hempedu (Renal stone or gall stone)

Anda perlu berjumpa doktor bagi memastikan punca sebenar anda mengalami sakit belakang ini. Doktor akan bertanya beberapa soalan serta melakukan pemeriksaan yang khusus bagi memastikan diagnosis anda. Selepas diagnosis diberi, barulah rawatan yang tepat dapat diberikan kepada anda.
Rujukan
1.       Overview of Orthopedics, Mark D. Miller, 5th edition, p478-481
2.       Postgraduate Orthopaedics, Paul A. Nanaszkiewicz, p265-268
Dr. Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team. 

26.4.16

CARA NABI SAW MEMBACA AL-QURAN



Bacalah Al-Quran dan fahamilah ia…

Di dalam tulisan bertajuk Kelebihan Membaca dan Menghayati Al-Qurantelah disenaraikan beberapa hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam mengenai anjuran, galakan dan kelebihan berkaitan Al-Quran.  Semoga dengannya kita semakin bersemangat untuk mendampingkan diri kita dengan Al-Quran, in shaa’ ALLAH.

Berikut ini pula diterangkan mengenai cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran.  Tujuannya adalah supaya kita sama-sama meniru dan mengikuti cara yang terbaik ini, in shaa’ ALLAH.  Hadith-hadith adalah dipetik dari Syama’il Muhammadiyyah susunan al-Imam at-Turmudzi dan Riyadhus Solihin susunan al-Imam an-Nawawi – rahimahumallah.

1)  Membaca dengan jelas, perkataan demi perkataan.

Ya`la bin Mamlak radhiAllahu `anhu bertanya kepada Ummu Salamah radhiAllahu `anha mengenai cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran.  Lalu Ummu Salamah menjelaskan bahawa Rasulullah membaca Al-Quran dengan jelas, perkataan demi perkataan.
(Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Turmudzi dan Nasa’i)

2)  Memanjangkan bacaan sesuai dengan hukum tajwid

Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, aku bertanya kepada Anas bin Malik radhiAllahu `anhu:
“Bagaimanakah cara Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membaca Al-Quran?”
Anas menjawab:  “Baginda memanjangkan bacaan (sesuai dengan hukum tajwid).”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, at-Turmudzi, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)

3)  Memotong bacaan pada setiap ayat.

Ummu Salamah radhiAllahu `anha berkata:
“Adalah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam memotong bacaan Baginda (pada setiap ayat). 
Baginda membaca ‘  الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ  ‘ lalu berhenti. 
Kemudian Baginda membaca ‘  الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ  ‘ lalu berhenti. 
Kemudian Baginda membaca ‘  مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ  ‘.”
(Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Turmudzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)

4)  Kadang-kala dengan suara yang perlahan, kadang-kala dengan suara yang kuat.

`Abdullah bin Abi Qais radhiAllahu `anhu berkata:
Aku bertanya kepada `A’ishah radhiAllahu `anha mengenai bacaan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam: “Adakah Baginda membaca secara perlahan atau pun kuat?”
Beliau menjawab:  “Baginda pernah membaca dengan kedua-dua cara.  Kadang-kala Baginda membaca dengan perlahan.  Dan kadang-kala Baginda membaca dengan kuat.”
Aku membalas:  “Seluruh pujian kepada ALLAH yang memberikan kemudahan dan kesenangan dalam perkara ini.”
(Diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, at-Turmudzi, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)

5)  Membaca dengan suara yang indah

`Abdullah bin Mughaffal radhiAllahu `anhu berkata:
Aku melihat Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam duduk di atas tunggangannya pada Hari Pembebasan Makkah sambil membaca:

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًالِّيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ
(Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.  Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian…)
`Abdullah bin Mugahffal berkata:  “Baginda membaca ayat ini dengan suara yang indah.”
Mu`awiyyah bin Qurrah (seorang daripada yang merekodkan hadith ini) berkata:  “Seandainya orang tidak berkumpul di sekelilingku, pasti akan kubaca seperti itu” atau “sama indah bacaannya dengan Rasulullah.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Turmudzi, Nasa’i dan Ahmad.)

Dari al-Bara’ bin `Azib radhiAllahu `anhu berkata:
“Aku mendengar Rasulullah sallAllahu `alihi wa sallam membaca pada waktu `Isya’ surah وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ.  Aku belum pernah mendengar seorang pun yang suaranya lebih merdu dari suara Baginda.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

6)  Kadang-kala mendengar orang lain membaca Al-Quran

Dari Ibnu Mas`ud radhiAllahu `anhu berkata:
Bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berkata kepadaku:  “Bacakanlah Al-Quran untukku.”
Aku berkata:  “Wahai Rasulullah, saya membacakan Al-Quran untuk tuan?  Padahal kepada tuan lah Al-Quran diturunkan.”
Baginda bersabda:  “Sesungguhnya aku ingin mendengar Al-Quran dibaca oleh orang lain.”

Maka aku pun membacakan untuk Baginda surah an-Nisa’ sehingga sampai ayat:
فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا
(Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada Hari Akhirat kelak), apabila KAMI datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan KAMI juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?).

Kemudian Baginda bersabda:  “Cukuplah sampai di sini.”
Saya menoleh kepada Baginda, tiba-tiba kedua matanya mencucurkan air mata.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
*Ayat tersebut adalah ayat ke-41, surah an-Nisa’.


Semoga bermanfaat.  Mudah-mudahan hidayah dan taufiq ALLAH tercurah ke atas kita semua, amin…

1.12.14

Kata-Kata Hikmah Ahli Tasawuf


I ) ILMU DAN HIKMAH

1. Saidina Ali Karamallahu Wajhah
Ilmu yang tidak bermanfaat umpama ubat yang tidak menyembuhkan.

2. Saidina Ali Karamallahu Wajhah
Duduklah bersama dengan orang yang berakhlak mulia nescaya akan bertambah mulialah akhlakmu dan duduklah bersama para ulama, nescaya ilmumu akan bertambah.

3. Imam Ghazali
Sesiapa yang memiliki ilmu lalu memanfaatkannya dan memberi manfaat pada orang lain samalah seperti mentari yang menerangi dirinya dan orang lain,sedangkan ia ( mentari ) itu terus bersinar.

4. Luqman al-hakim
Diam itu merupakan hikmah,namun tidak ramai yang mempraktikkannya.

II ) MASA

1. Saidina Ali Karamullahu Wajhah
Kehidupanmu adalah nafas-nafas ( detik-detik ) yang tertentu, apabila berlalu satu detik daripadanya nescaya telah berkuranglah satu juzuk ( daripada umurmu).

2. Saidina Ali Karramullahu Wajhah
Janganlah engkau menangguhkan untuk melakukan sesuatu kebaikan hingga keesokkan hari, kerana mungkin keesokkan hari yang mendatang kamu telah mati.

3. Saidina Ali Karramullahu Wajhah
Hari ini ( di dunia ) adalah masa untuk beramal dan tidak ada hisab padanya, manakalah hari esok pula ( di akhirat ) adalah waktu perhitungan dan tidak ada peluang untuk beramal.

4. Saidina Abbas
Sebaik-baik perkara kebajikan adalah disegerakan.

5. Imam Hasan al-Basri
Sesungguhnya kamu wahai manusia ibarat bilangan, apabila berlalu bagimu satu hari bererti telah berlalu sebahagian daripada kamu. 

III) IBADAT DAN AMALAN

1. Saidina Ali Karramallahu Wajhah
Apabila Ketaatan itu berkurangan,nescaya kejahatan itu akan bertambah.

2. Saidina Ali Karramullahu Wajhah
Memandang remeh sesuatu maksiat ( dosa ) adalah lebih bahaya daripada melakukannya ( maksiat tersebut )

3. Imam Syafie
Kamu inginkan kejayaan,namun kamu tidak menurut jalan-jalannya>Sesungguhnya kapal itu tidak belajar di atas daratan.

4. Imam Syafie
Sifat tawaddu’ akan mewariskan sifat kasih sayang, dan sikap merasa cukup senang pula akan mewariskan kerehatan.

5. Umar Abd Aziz
Berfikir pada nikmat Allah SWT merupakan sebesar-besar ibadah, sekiranya manusia berfikir pada keagungan Allah SWT nescaya ia tidak akan melakukan maksiat.

IV) TASAUF DAN AKHLAK

1. Saidina Ali Karramullahu Wajhah
Sesiapa yang menghiasi dirinya dengan sikap insaf, nescaya ia akan sampai kepada martabat orang yang mulia.

2. Imam al-Ghazali
Bagaimana bayang lurus sedangkan pokoknya bengkok.

3. Seorang bijaksana
Pada ketenangan ada keselamatan, dan pada kegopohan ada penyesalan.

4. Seorang bijaksana
Akhlak yang buruk itu merosakkan amalan seperti cuka yang merosakkan madu.

5. Seorang bijaksana
Syukur itu pengikut perkara yang ada dan pemburu perkara yang tiada.

V) AKHIRAT DAN KEMATIAN

1. Saidina Ali Karramullahu Wajhah
Taqwa adalah takut kepada Allah SWT, beramal dengan al-Quran, merasa cukup sedikit, bersedia untuk ke akhirat.

2. Saidina Umar
Dunia perkara yang halalnya akan dihisab, perkara haramnya akan di azab, orang yang mengejarnya umpama anjing.

3. Saidina Ibnu Abbas
Tiada kerehatan bagi orang yang beriman melainkan bertemu dengan Allah SWT.

4. Luqman al-Hakim
Wahai anakku! Juallah duniamu untuk mendapatkan akhirat nescaya kamu akan mendapat keuntungan kedua-duanya sekali.

5. Imam Hasan al-basri
Kami lihat orang yang dikurniakan habuan dunia dengan amalan akhirat dan kami tidak pernah melihat orang yang dikurniakan ganjaran akhirat dengan amalan dunia. 

VI) PERINGATAN DAN NASIHAT

1. Saidina Ali Karramullahu Wajhah
Sesiapa yang meletakkan dirinya ( berada ) di tempat-tempat tohmahan maka janganlah ia mencela orang yang buruk sangka terhadapnya.

2. Saidina Ibnu Abbas r .a
Terlaknat orang yang memuliakan kekayaan dan menghina kefakiran.

3. Saidina Ibnu Abbas r .a
Aku menjadi hina ketika meminta dan menjadi mulia ketika dipinta ( memberi ).

4. Berkata Umar Abd Aziz
Apabila kamu merasakan kamu mampu menzalimi manusia, maka ingatlah kekuasaan Allah SWT terhadapmu.

5. Seorang bijaksana
Kebaikan itu akan dibalas dengan kebaikan, dan orang yang memulakannya itulah yang lebih baik. Kejahatan itu akan dibalas dengan kejahatan dan orang yang memulakan itu adalah lebih zalim.

20.11.14

Potongan Zakat Bulanan Bercanggah Sunnah?



Soalan: Saya mendengar ada ustaz berceramah, adalah salah tindakan pihak pusat zakat memotong gaji para pekerja setiap bulan sebagai zakat, kerana ia bercanggah dengan sunnah. Bolehkah ustaz perjelaskan isu ini? Terima kasih.
Jawapan: Terima kasih atas persoalan yang dikemukakan, semoga Allah SWT memberkati dan merahmati kita semua, amin.

Memang tidak dinafikan, ada pihak tertentu yang beranggapan bahawa kaedah pembayaran zakat pendapatan menerusi potongan gaji bulanan adalah salah. Pihak berkenaan mendakwa, ada tiga sebab mengapa ia tidak boleh dilaksanakan, iaitu:

1. Potongan bulanan itu bertentangan dengan ketetapan hadis yang mensyaratkan wajib mencapai haul ke atas harta zakat,
2. Potongan zakat (diambil secara bulanan) tiada dalam amalan sunnah nabi mahu pun para sahabat terdahulu, dan
3. Potongan zakat ini telah menzalimi mereka yang dipaksakan potongan ke atasnya, kerana pihak pusat zakat tidak mengambil kira pun aspek perbelanjaan sebenar orang berkenaan.

Sebelum menjelaskan lebih lanjut, suka dimakluman bahawa di dalam perlaksanaan zakat pendapatan ini ia memang terbuka kepada kepelbagaian pandangan ulama. Malah, ia boleh jadi berbeza dari satu ke satu masa, boleh jadi berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain, malah boleh jadi berbeza dari segi hukum ke atasnya di antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Soalannya, kenapakah wujud perbezaan ke atasnya? Hal ini kerana, hukum ke atas zakat pendapatan ini sifatnya tidak ijmak (tidak ada kesepakatan atau ittifaq dalam kalangan fuqaha), sehingga dengan itu membolehkah wujudnya perbezaan pendapatan (khilaf) dalam perlaksanaannya.

Namun, dalam jawapan ini penulis tidak bermaksud memanjangkan perbahasan mengenai khilaf berkenaan. Malah di Malaysia sendiri, termasuklah di nusantara dan pelbagai belahan dunia Islam, zakat pendapatan sudah mendapat tempat yang sewajarnya. Hal ini kerana, menerima kemasukan zakat pendapatan adalah lebih utama daripada menolaknya, kerana jelas ia telah memberikan natijah yang cukup besar kepada kepentingan ummah secara umum.

Baiklah, apa kaitannya dengan perbincangan di sini, khususnya dalam bab memotong zakat secara bulanan ini? Jawapannya, ini kerana khilaf itulah yang menyebabkan lahirnya idea pemotongan zakat secara bulanan. Sesungguhnya, memang ada dalil di dalam Islam yang mengharuskan perkara tersebut untuk dilakukan. Apatah lagi, dalam perlaksanaan sesuatu ibadah, seperti zakat, maka penentuan dalil sangat penting, demi mengelakkan ibadah itu tertolak atau menyalahi hukum yang sebenar (dan menjadi bid’ah).

Pertama, dakwaan potongan bulanan itu bertentangan dengan ketetapan hadis zakat yang mensyaratkan wajib mencapai haul (genap setahun dimiliki) ke atas harta zakat. Jawapannya, dalam hal ini sebenarnya ada dalil daripada Nabi SAW sendiri yang memberikan keizinan kepada kita untuk mengeluarkan zakat tanpa perlu menunggu haul. Hal ini telah berlaku kepada Abbas bin Abdul Mutalib r.a (bapa saudara nabi) yang bertanya kepada Rasulullah SAW, tentang zakatnya yang mahu dikeluarkan sebelum sampai haulnya dan nabi mengizinkannya (hadis ini dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan at-Termizi, rujuk Hukum Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradhawy, hal. 814 dan Fiqh Islam Jilid 3, Dr. Wahbah az-Zuhaily, hal. 187 juga al-Amwal, Abu Ubaid, hal. 710).

Namun, ada pihak yang mempertikaikan status hadis yang diriwayatkan di atas, dan menganggap ia adalah hadis daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Dr. Yusuf al-Qaradhawy sebaliknya menegaskan, masih ada hadis-hadis lain termasuklah hadis sahih riwayat Imam Muslim yang mendokong berkenaan isu mendahului haul zakat ini.

Di dalam sebuah hadis Muslim, ada disebutkan perihal Umar r.a telah diutuskan untuk mengambil zakat daripada Abbas r.a dan berlaku dialog panjang dengan beberapa orang sahabat yang mencegah Umar daripada mengambil zakat ke atasnya. Akhirnya Nabi SAW memberitahu Umar bahawa zakat atas pamannya itu adalah atas tanggungannya, dan (Abu Ubaid menokok) Nabi SAW kemudiannya memberikan pinjaman kepada Abbas r.a untuk zakat bagi dua tahun mendatang (didahulukan haulnya).

Hal ini bolehlah dirujuk langsung ke dalam kitab Hukum Zakat dalam bab ‘Alasan yang membolehkan (mendahului haul zakat)’ pada halaman 814-817.

Perkara kedua, adakah amalan membayar zakat tepat sewaktu ia diperoleh ini tidak ada sandaran dalil? Di sini, ada beberapa dalil atas amalan para sahabat (disebut athar sahabi ataupun hadis Mauquf) yang boleh dijadikan panduan.

Pertama, dinyatakan Abu Ubaid meriwayatkan daripada Habirah bin Yaryam bahawa dia berkata: Sesungguhnya Abdullah bin Mas’ud memberi gaji kepada kami di dalam bekas kecil, kemudian beliau mengambil zakat daripadanya. (rujuk Kitab al-Amwal oleh Abu Ubaid, hal. 504)

Abu Ubaid juga menyatakan di dalam kitabnya: bahawa Umar bin Abdul Aziz apabila memberikan kepada seseorang upahnya ia akan mengambil zakat daripada upah tersebut. Dan apabila ia mengembalikan harta yang dirampas, ia akan mengambil daripadanya zakat. Dan ia juga mengambil zakat daripada gaji yan diberikan kepada pemiliknya. (ibid, hal. 432)

Kenapakah mereka melaksanakan hal tersebut? Hal ini kerana, mereka beranggapan bahawa status haul ke atas zakat pendapatan adalah tidak sama seperti mana harta-harta yang lain. Zakat ke atas harta pendapatan hendaklah dikeluarkan pada saat ia diperoleh, sama seperti memperoleh harta pertanian. Pandangan ini dikongsikan oleh sebahagian fuqaha muktabar, misalnya Ibnu Mas’ud, Muawiyah, Umar bin Abdul Aziz, Hassan dan az-Zuhri (Hukum Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradawy, hal. 469)

Di samping itu, jika mahu kita boleh merujuk kepada kitab yang sama mengenai perbahasan status haul ke atas zakat, di mana Dr. Yusuf al-Qaradawy telah membahaskan perihal status hadis yang mensyaratkan haul adalah tidak mencapai darjat sahih (ibid, hal. 463-467).

Ketiga, benarkah potongan ini juga telah menzalimi mereka yang berkenaan? Jawapannya, bertitik tolak daripada perbincangan di atas, maka kita dapat merumuskan bahawa menunaikan zakat lebih awal dan tanpa perlu menunggu haul, adalah satu keharusan yang diberikan dalam hukum Islam. Ia bukanlah wajib, tetapi harus sahaja. Maka, membuat potongan bulanan tidak wajib, tetapi digalakkan dan tidak patutlah timbul ia satu kezaliman.

Hal ini kerana, semasa proses pemotongan dilakukan, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya telah mengambil kira jumlah pendapatan kasar yang bakal diperoleh dalam setahun (didarab 12 bulan) dan ditolak keperluan diri, isteri dan anak-anak (sebagaimana yang ditetapkan dalam kaedah Had al-Kifayah pembayar zakat).

Sekiranya taksiran yang dilakukan oleh pihak LZS itu dirasakan tidak tepat, maka pihak yang berkenaan boleh menaksir sendiri zakat mereka dan mengemukakan amaun zakat bulanan yang baharu kepada LZS untuk dijadikan potongan bulanan. Maknanya, ia bukanlah satu amaun yang sudah ‘mutlak dan putus’ dipatuhi, tetapi masih boleh dikira kembali. Sekiranya pihak muzakki sudah mempunyai amaun yang dikenal pasti, mereka hendaklah menghantarkan maklum balas kepada LZS (dalam tempoh 30 hari) untuk tindakan lanjut (rujuk Keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMK) Ke 27/ 2003, 10 Disember 2003).

Kesimpulannya, potongan zakat pendapatan menerusi gaji bulanan ini sebenarnya hanyalah satu inovasi yang bertitik tolak daripada apa yang pernah dilakukan oleh para sahabat silam, dalam bentuk yang lebih kemas dan teratur. Banyak kelebihan yang boleh diperoleh oleh pembayar, termasuklah melaraskan jumlah potongan zakat bulanan dengan Potongan Cukai Berjadual, dan ia juga boleh meringankan beban kewangan mereka (kerana jika tidak, lebihan cukai hanya boleh dituntut pada tahun hadapan).

USTAZ HAMIZUL ABDUL HAMID

21.7.14

Mimpi Mimpi Nabi Muhammad Rasulullah SAW

Daripada Abdul Rahman Bin Samurah RA berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Israqkan……..”


1-Aku telah melihat seorang dari umatku telah di datangi oleh malaikatul maut dengan keadaan yg amat mengerunkan untuk mengambil nyawanya,maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA.

2-Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, diselamatkan oleh berkatWUDUKNYA YANG SEMPURNA.




3-Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.

4-Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikat Ahzab,tetapi SOLATNYA YANG KHUSUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.

5-Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga di halang dari meminumnya,ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT memberi minum hingga ia merasa puas.

6-Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan-kumpulan, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka dengan MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA membolehkan dia menyertai kumpulan para nabi dan duduk di sebelahku.

7-Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadan gelap gelita di sekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan binggung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang-benderang.

8-Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidak pun membalas bicaranya,maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya,lalu berbicara mereka dengannya.

9-Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukanya, maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH SWT lalu terbentenglah muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut.

Sabda Rasulullah SAW yang mulia, “sampaikanlah pesananku kepada umatku yang lain walaupun dengan sepotong ayat”

28.2.13

Cerita Air Liur....




Shaharul seorang yang suka berkata-kata mengenai orang lain, di belakang orang itu.

Perkara yang ditumpukannya selalunya negatif.
Satu hari, beliau bertemu dengan Ustaz Kassim di sebuah warong.

Sebaik sahaja duduk, Shaharul mula berkata-kata mengenai jirannya, bosnya, isterinya dan juga sahabat-sahabatnya.

Ketika merungut dan bercakap buruk mengenai bosnya, Shaharul akan mempamirkan sikap geramnya… semakin dicerita bagaimana bosnya tidak adil, semakin jelas kegeraman pada nada Shaharul.

Ustaz Kassim yang memerhatikan gelagat Shaharul bertanya:

“Apakah anta berasa gembira bila berkata buruk mengenai bos anta?” tanya Ustaz Kassim.

“Makin geram makin marah adalah – tapi boleh lepas geram,” kata Shaharul.

“Lepas geram, maksudnya lepas ini, tak berkata lagi mengenai bos anta?” tanya Ustaz Kassim.

“Tak… mengapa ustaz?” tanya Shaharul.

“Anta tengah meracun diri sendiri, tapi anta tak sedar,” kata Ustaz Kassim.

Shaharul terdiam. “Aku tengah meracun sendiri?” bisik dia di hati. “Bagaimana tu ustaz?”

“Selain bernafas tanpa sedar, tahukah anta bahawa ada lagi satu aktiviti badan yang kita lakukan tanpa sedar tetapi kita merasainya,” tanya Ustaz Kassim.

Shaharul menggelengkan kepala.

“Iaitu menelan air liur. Tapi pernahkah terfikir, apakah fungsi air liur yang dicipta Allah selain yang kita pelajari untuk menghadamkan makanan?” tanya Ustaz Kassim lagi.

Shaharul berfikir sejenak… “Payah betul soalan ustaz. Mohon pencerahan.”

“Air liur adalah salah satu makhluk Allah yang sentiasa keluar dari rongga tanpa disedari oleh manusia. Ia terdiri dari pelbagai bentuk molekul yang akan berubah sebagaimana air lain. Bilamana kebaikan yang diterima, didengar, dilihat, dibaca atau disentuh, maka molekul air akan berubah membentuk nilai yang baik, demikian sebaliknya. 

"Maka setiap orang sebenarnya membentuk perlakuan berdasarkan air liur yang ditelannya,” terang Ustaz Kassim.

“Jadi maksudnya….?” Kata Shaharul yang semakin berminat.

“Sedarkah kita bahawa apabila kita melihat benda lazat, kita menelan air liur, apabila kita bercakap kita menelan air liur, apabila kita mendengar sesuatu dengan khusyuk, kita menelan air liur, ketika kita mengumpat, kita menelan air liur dan pelbagai aktiviti lain, termasuk ketika anta (yang membaca) mendengar penjelasan ana ini? Dah berapa kali telan air liur sejak ana mula bercakap?” tanya Ustaz Kassim.

“Tak perasan pula. Rasanya banyak. Masa ustaz cakap, air liur terasa banyak terhasil… hmmm… mengapa ya?” tanya Shaharul lagi.

“Mengapakah Allah membuatkan manusia sedemikian? Apa fungsi air liur sebenarnya? 
Ungkapan bahawa 'air liur penjaga kehidupan manusia' sememangnya ada asas. Apabila kita makan, air liurlah menjadi benteng pertama badan manusia. 

"Apabila kita membaca al-Quran, bercakap benda baik, melihat benda baik, mendengar benda yang baik dan melakukan benda yang baik - air liur berubah menjadi bentuk yang baik, dan apabila ditelan tanpa disedari, nescaya perasaan dan emosi kita terus berubah menjadi riang, yakin dan seronok.

"Renungkanlah mengapa apabila kita melakukan kebaikan, badan kita berasa riang dan seronok? Bagaimana pula ketika kita melakukan dosa? Adakah kita berasa seronok selepas itu atau gusar? 

"Ramai yang tidak sedar, bahawa air liur yang ditelan secara tidak sedar tersebut juga mempunyai peranan yang penting untuk menentukan emosi dan pemikiran kita,” terang Ustaz Kassim.

Shaharul terpegun… “Jadi maksudnya kalau kita berkata tidak baik, maka emosi kita tak akan baik?” tanya beliau.

“Ya. Setiap kali kita mengumpat, kita akan melahirkan rasa yang lebih buruk sangka pada seseorang. Bukan sahaja orang yang mengumpat, tapi orang yang mendengar umpatan tersebut pun terkena. Ini kerana semasa mengumpat, molekul air liur kita berubah bentuk ke nilai yang tak baik, dan makin kita mengumpat, makin banyak air liur jenis ini ditelan. 

"Begitu juga, dengan orang yang mendengar. Makin mendengar, makin khusyuk pada umpatan, makin banyak air liur jenis yang tidak baik terhasil, dan ditelan tanpa disedari. Sekiranya orang yang mendengar menyampuk dan sertai sama perbualan tersebut, maka lebih teruklah air liur yang ditelannya. 

"Akhirnya, orang yang mengumpat telah menyebarkan racun buruk sangka pada seseorang kepada orang lain kerana air liur yang ditelan tersebut,” tambah Ustaz Kassim lagi.

“Jadi sebab itu, ustaz hentikan perbualan ana tadi? Ustaz biarkan ana bercakap tanpa menyampuk?” tanya Shaharul.

“(Gelak dan senyum)… ya tak ya… petuanya mudah kalau tak nak kena air liur beracun - jauhilah mengumpat, dan jauhilah orang yang mengumpat. Perisai untuk menjauhi mengumpat, ialah dengan senyuman dan jangan sampuk perbualan orang yang sedang mengumpat,” kata Ustaz Kassim.

“Hebat ustaz… mana ustaz dapat teori ini?” tanya Shaharul…

“Buku Senyumlah tulisan seorang sahabat karib,” jawab Ustaz Kassim.

Senyum itu sadekah.... :-)