Halaman

Walaupn Hidup 1000 th. Klau x Smbahyang Apa Gnanya

Walaupn Hidup 1000 tahun klu x sembahyang apa gnanya
Showing posts with label Sunnah. Show all posts
Showing posts with label Sunnah. Show all posts

12.1.21

ADAKAH ADA TANDA HITAM PADA DAHI NABI?



 Dalam sebahagian masyarakat terdapat stereotaip yang mengaitkan antara kesolehan seseorang dengan tanda hitam di kening atau dahi.

 Tanda hitam pada kening tersebut seringkali dikaitkan dengan seringnya seseorang melakukan sujud atau sujudnya lama.

 Persepsi semacam ini boleh-boleh saja, bahkan boleh dikata sebagai anugerah dari Allah yang patut untuk disyukuri.

 Akan tetapi jangan tertipu dulu, belum tentu semua orang yang mempunyai tanda hitam di kening, adalah orang yang banyak sujud. Boleh saja tanda hitam di kening itu terjadi kerana terbentur tembok, kerana bekas luka, atau kerana dibuat-buat agar orang lain menganggap dirinya sebagai ahli sujud.

 Namun hendaknya husnudz-dzan lebih kita dahulukan, bahawa orang yang mempunyai tanda hitam di kening itu adalah orang rajin solat, atau rajin sujud, kerana husnudz-dzan bukan hal yang buruk, bahkan merupakan sesuatu yang wajib kepada siapa pun, apatah lagi kepada sesama muslim.

 Firman Allah:

 

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ

"Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan Dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang kepada sesama mereka. kamu Lihat mereka ruku 'dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud "(Q.S. al Fath: 29).

 Berdasarkan ayat di atas, maka sepintas lalu kita akan membuat kesimpulan bahawa persepsi sebahagian masyarakat seperti di atas adalah benar.

 Ketika menafsirkan ayat ini, ada sebahagian ulama seperti Al-Imam Malik dan juga Sa'id bin Jubair, yang mengatakan bahawa bekas sujud itu adalah warna kehitaman yang nampak di dunia ini.

 Ibnu Abbas radhiyallahu 'anhu serta Al-Hasan dan juga Az-Zuhri berpandangan lain. Mereka mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan tanda bekas sujud dalam ayat di atas ialah cahaya sujud yang terbesit di wajah, iaitu tanda sujud yang terus menerangi wajah mereka hingga di alam barzakh dan di hari kiamat. Jika yang dimaksud dengan tanda hitam itu adalah tanda hitam di kening maka tanda tersebut pasti akan hilang setelah badan dikebumikan.

 Rasulullah -shallallahu alayhi wa sallam-sendiri tidak mempunyai tanda hitam itu. Dalam buku-buku sirah, baik sirah ataupun kitab-kitab hadits tidak dijumpai penjelasan adanya tanda hitam pada kening nabi.

 

عَنْ مَنْصُورٍ قَالَ قُلْتُ لِمُجَاهِدٍ (سِيمَاهُمْ فِى وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ) أَهُوَ أَثَرُ السُّجُودِ فِى وَجْهِ الإِنْسَانِ؟ فَقَالَ : لاَ إِنَّ أَحَدَهُمْ يَكُونُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ مِثْلُ رُكْبَةِ الْعَنْزِ وَهُوَ كَمَا شَاءَ اللَّهُ يَعْنِى مِنَ الشَّرِّ وَلَكِنَّهُ الْخُشُوعُ.

 

Dari Manshur, Aku bertanya kepada Mujahid tentang maksud dari firman Allah, 'tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud' apakah yang dimaksudkan adalah bekas di wajah? Beliau menjawab, "Bukan, bahkan ada orang yang 'kapal' yang ada di antara kedua matanya itu bagaikan 'kapal' yang ada pada lutut unta namun dia adalah orang bejat. Tanda yang dimaksudkan adalah kekhusyu'an "(Riwayat Baihaqi dalam Sunan Kubro no 3702).

 Syeikh Ahmad ash Showi dalam kitab tafsirnya mengatakan, "Bukanlah yang dimaksudkan oleh ayat adalah sebagaimana perbuatan orang-orang bodoh dan tukang riya 'iaitu tanda hitam yang ada di dahi kerana hal itu adalah ciri khas khawarij (baca: ahli bid'ah)" ( Hasyiah ash Shawi 4/134, Dar al Fikr). Wallahu A'lam.

 sumber islampos.com

29.6.16

WITIR

Sifat solat witir yang disebut oleh nabi Muhammad s.a.w adalah penutup kepada segala solat sunat pada sesuatu malam, persoalan:- 


(1)  sama ada boleh untuk mendirikan solat sunat yang lain selepas solat witir?



(2)  dan adakah boleh ditunaikan witir sekali lagi selepas itu?

Jawapan (1) = Majoriti ulama berpendapat hal tersebut DIBENARKAN berdasarkan hadis sohih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, At-Tirmidzi dan Ibn Majah  yang menyebut nabi mendirikan solat sunat dua rakaat selepas solat witir dan dibaca dalam solat itu surah Al-Zalzalah dan Al-Kafirun.

Isu Jawapan 1 : Ulama berbeza ijtihad dalam menanggapi hukum mereka yang telah berniat dari awal untuk solat sunat lain selepas witir seperti berikut  :-

(1)  Sesiapa yang solat witir tetapi berniat untuk solat sunat lagi selepas itu, sebahagian ulama Maliki berijtihad ia sebagai makruh. Berdalilkan kepada hadis nabi : Ertinya : Hendaklah kamu jadikan witir sebagai solat terakhir kamu di setiap malam. (Hadith sohih Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

(2)  Seseorang mendirikan solat witir tetapi tiada sebarang niat untuk solat sunat lain selepasnya. Namun atas apa jua sebab, dia mendirikan solat sunat selepas itu. 

Itu HARUS TANPA SEBARANG MAKRUH. Ulama menyatakan keharusannya namun mereka berbeza pandangan sama ada : 

(1) Hanya solat dengan rakaat genap tanpa witir sekali lagi 

(2) dimulakan dengan satu rakaat bagi menggenapkan witir yang telah dilakukan, diikuti solat sunat dua rakaat biasa dan disudahi dengan solat sunat dengan witir (rakaat ganjil) sebagai penutup.

Witir Di Awal Dan Dihujung Malam

(1) Pandangan Pertama : Tidak boleh digenapkan witir awal & tiada lagi witir selepas itu. 

Ini merupakan ijtihad majoriti Sahabat Nabi, Tabi'en dan ulama mujtahid termasuk mazhab Syafie. Berdasarkan ijtihad ini, tidak boleh witir digenapkan (orang Melayu namakan sebagai ‘buka' witir). Hanya perlu solat sunat dengan rakaat genap sehingga habis malam TANPA BOLEH MELAKUKAN WITIR SEKALI LAGI. Nabi menyebut Ertinya : Tiada dua solat witir dalam satu malam. ( Riwayat Al-Tirmidzi & Ahmad)

Berdasarkan hadis tersebut, Al-Hafidz Al-Iraqi menyatakan majoriti ulama menolak pandangan yang mengatakan boleh DIGENAPKAN witir atau dibatalkan bagi membuka ruang solat sunat lain dilaksanakan.

Menurut nukilan Ibn Abi Syaibah, antara sahabat nabi yang berpandangan demikian adalah Abu Bakar Al-Siddiq, Ammar B Yasir, Aisyah, Abu Hurairah dan ramai lagi. Manakala dari kalangan ulama besar tabien adalah Sa'id Ibn Musayyab, As-Sya'bi, Ibrahim al-Nakhi'e, Sa'id Ibn Jubair Pandangan itu juga dipegang oleh Sufyan Al-Thawry, Imam Malik, Imam Ahmad, Abu Thawr, Imam Shafi'e dan Qadhi Iyadh dan ramai lagi.

Menurut kumpulan ulama ini, pandangan yang membolehkan menggenapkan witir (buka) dan didirikan sekali lagi di akhir malam adalah lemah, selain alasan kekuatan dalil yang disandarkan, mereka juga mengutarakan pertikaian jika witir dilakukan di awal malam, kemudian tidur dan apabila bangun di hujung malam lalu dilaksanakan sambungannya, itu sudah dikira dua witir yang berasingan disebabkan wudhu yang telah batal dan pemisahan antara keduanya untuk tempoh yang panjang.

Hasilnya, untuk menganggap witir di awal malam dan yang dilaksanakan di hujung malam sebagai SATU WITIR adalah lemah, malah Imam As-Syawkani mengatakan jika dilakukan satu rakaat terlebih dahulu dengan niat untuk menggenapkan rakaat witir yang ganjil sebelum ini, maka ia sudah dikira witir kedua, dan jika ditutup pula solat sunat pada malam itu dengan witir yang lain, tatkala itu witir itu dianggap witir ketiga. Ia jelas melanggar tegahan nabi.

Selain itu dinaqal dari Abu Bakar As-Siddiq, Ammar bin Yasir dan Aisyah yang mengatakan sesiapa yang membatalkan witir ( dengan solat satu rakaat bagi menggenapkannya) adalah orang yang bermain-main dengan solatnya.

(2) Pandangan Kedua : Boleh digenapkan witir awal dan solat semula di akhirnya.

Pandangan dan ijtihad berbeza ini menyebut keharusan untuk neutralize witir awal dengan menggenapkan jumlah rakaat witir yang telah dilakukan iaitu dengan cara menunaikan satu solat dengan rakaat ganjil. Dengan cara itu, seolah witir yang sebelum ini berubah menjadi solat genap, tidak lagi witir.

Mereka berdalilkan athar dari Ibn Umar r.a yang diriwayatkan berkata :-Ertinya : Adapun aku, kiranya aku telah solat witir sebelum aku tidur, kemudian apabila (aku bangun) dan ingin menunaikan solat di malam hari, akan aku mulakan dengan satu rakaat barang yang telah selesai dari witirku sebelum ini ( menambah satu agar digenapkan) kemudian, aku akan solat sunat dua raka'at, dua raka'at, setelah selesai semuanya, akan aku  akhirinya dengan solat witir satu rak'at, itu adalah kerana Rasulullah mengarahkan kami agar menjadikan solat sunat terakhir dalam satu malam, adalah solat witir. ( Riwayat Ahmad)

Mereka juga berpegang kepada dalil athar Uthman Affan r.a :- Ertinya : sesungguhnya aku apabila aku ingin tidur di awal malam, aku dirikan solat witir, dan apabila aku bangkit ( di tengah malam) akan ku gabungkan dengannya (witir sebelum ini) dengan satu rakaat, tidaklah ia kecuali seperti seekor unta ganjil yang bergabung dengan kumpulannya. ( Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan Tirmidzi)

Diriwayatkan daripada Ali K.W berkata : Ertinya : Witir itu tiga cara, barangsiapa yang ingin witir di awal malam, maka perbuatlah, sekiranya dia bangun di malamnya , mulakan dengan satu rakaat dan diikuti dua rakaat, dua rakaat sehingga subuh diakhiri witir , maka lakukanlah. 

(Kedua) Sesiapa yang ingin solat dua rakaat sehingga subuh (tanpa diawali dengan satu rakaat dan diakhiri dengan witir lagi) , maka lakukanlah. 

(Ketiga), atau barangsiapa yang ingin terus melewatkan solat witirnya di akhir malam sahaja (tidak solat witir) di awal malam. (Riwayat Imam Syafie dalam musnadnya)

KESIMPULAN

(1)  Jelas hal ini adalah isu khilaf yang diterima, justeru semua pihak diharap tidak memperlekeh mana-mana pandangan yang berbeza. Saya pernah mendapati ada individu yang memperlekehkan tindakan ‘membuka witir' dengan menggenapkannya sebagai lucu. Kini telah disertakan beberapa dalil yang wujud dalam hal tersebut. Walau ia pandangan yang marjuh (kurang kuat), ia tidak wajar sama sekali untuk dilucukan.

(2)  Di bulan Ramadhan yang mana witir biasanya didirikan sebagai penamat kepada solat terawih. Jika kita bangkit bersahur dan punyai masa untuk terus menunaikan solat sunat lain, ia DIHARUSKAN tanpa perlu dimulai dengan satu rakaat witir. Tidak perlu pula ditutupi dengan witir lain selepas itu. 

Wajar dituruti pandangan majoriti ulama yang MELARANG ditunaikan solat witir sekali lagi di akhir malam. Cukup sekali witir yang telah didirikan di akhir terawih bersama imam berteatan dengan saranan Nabi Muhammad s.a.w. (diringkas dengan sedikit pindaan dari sumber (UZAR) Dr. Zaharuddin Abd Rahman).

Pilihan saya : Saya memilih pandangan bahawa  witir hanya dilakukan sekali dan jika dibuat di awal malam maka tidak perlu membuatnya lagi (dengan apa kaedahpun) diakhir malam (sebelum subuh), sekalipun, sejak dari awal saya juga telah merancang untuk membuat solat sunat- solat sunat yang lain diakhir malam.  

Selain bersandar hujah bagi pendapat pertama (yang lebih kuat) di atas, Pilihan saya ini adalah turut mengambilkira saranan Dr Abdul Basit, (berdasarkan terdapatnya satu hadith sahih) bahawa pada malam ramadan, mereka yang bersama dengan imam sehingga selesai (iaitu solat isyak, tarawih dan solat witir) akan mendapat kelebihan seumpama beribadah sepanjang malam hingga ke subuh. (Saya tidak sempat lagi mengesan hadithnya itu dan mengesahkan ketepatan matannya, bantuan diperlukan....).

Memandangkan kebanyakan masjid dan surau termasuk di qariah saya, solat witir 3 rakaat didirikan terus sebaik selesai solat tarawih, maka perlulah saya setia bersama imam hingga selesai solat witir walaupun saya bercadang untuk menunaikan beberapa solat sunat disekitar akhir malam sebelum bersahur.    

Walaupun Dr Abdul Basit mencadangkan agar jemaah berbincang supaya Iman dan makmum menangguhkan solat witir dan kembali ke masjid atau surau pada lewat malam untuk menunaikan solat witir seperti yang telah berjaya dilakukan di masjid/surau tertentu, tapi ia masih belum dapat lagi direalisasikan di qariah saya.

Walaubagaimana sekiranya ada pandangan balas dengan hujah-hujah lain, sila kemukakan kerana kita bersikap terbuka demi mencari pilihan dan cara terbaik dalam mengamalkan sunnah dan menyesuaikannya dengan realiti hari ini yang dibelenggu kekelamkabutan yang menyesakkan nafas.

Wallahu taala alam.

29.6.15

FAKTA RAMADHAN

Ramadan, Masih ada lagi tentangnya kita tidak tahu!

Ramadan adalah bulan bonus dengan gandaan pahala yang ‘unknown, unlimited, infinite’ tetapi pastinya jauh lebih besar daripada 700 kali ganda.  Hadith Qudsi: "Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim) .

Peluang kepada special bonus ini akan terjejas jika kita tidak berwaspada
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).

Takkan masih tewas, tanpa kacau ganggu syaitan!

Nabi SAW telah menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Riwayat Al-Bukhari, 1/18 ; Muslim, 1/41) Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia membawa maksud ketidakmampuan Syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar bulan ramadhan. ( Al-Muntaqa Min At-Targhib Wa at-Tarhib, Al-Munziri dan Al-Qaradawi, 1/313 )

Justeru, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana)

"Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" (Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim). Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan). Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa. 

Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

5) Memperbanyakkan doa ketika hampir berbuka

hadith Nabi s.a.w Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib

Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air. 

Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)

Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu
ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"

Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah urat leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani).

8) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :

Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).

Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )

9)  Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah 

buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.

10) Bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). 

Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

11) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :

Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).
Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

20.11.14

Potongan Zakat Bulanan Bercanggah Sunnah?



Soalan: Saya mendengar ada ustaz berceramah, adalah salah tindakan pihak pusat zakat memotong gaji para pekerja setiap bulan sebagai zakat, kerana ia bercanggah dengan sunnah. Bolehkah ustaz perjelaskan isu ini? Terima kasih.
Jawapan: Terima kasih atas persoalan yang dikemukakan, semoga Allah SWT memberkati dan merahmati kita semua, amin.

Memang tidak dinafikan, ada pihak tertentu yang beranggapan bahawa kaedah pembayaran zakat pendapatan menerusi potongan gaji bulanan adalah salah. Pihak berkenaan mendakwa, ada tiga sebab mengapa ia tidak boleh dilaksanakan, iaitu:

1. Potongan bulanan itu bertentangan dengan ketetapan hadis yang mensyaratkan wajib mencapai haul ke atas harta zakat,
2. Potongan zakat (diambil secara bulanan) tiada dalam amalan sunnah nabi mahu pun para sahabat terdahulu, dan
3. Potongan zakat ini telah menzalimi mereka yang dipaksakan potongan ke atasnya, kerana pihak pusat zakat tidak mengambil kira pun aspek perbelanjaan sebenar orang berkenaan.

Sebelum menjelaskan lebih lanjut, suka dimakluman bahawa di dalam perlaksanaan zakat pendapatan ini ia memang terbuka kepada kepelbagaian pandangan ulama. Malah, ia boleh jadi berbeza dari satu ke satu masa, boleh jadi berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain, malah boleh jadi berbeza dari segi hukum ke atasnya di antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Soalannya, kenapakah wujud perbezaan ke atasnya? Hal ini kerana, hukum ke atas zakat pendapatan ini sifatnya tidak ijmak (tidak ada kesepakatan atau ittifaq dalam kalangan fuqaha), sehingga dengan itu membolehkah wujudnya perbezaan pendapatan (khilaf) dalam perlaksanaannya.

Namun, dalam jawapan ini penulis tidak bermaksud memanjangkan perbahasan mengenai khilaf berkenaan. Malah di Malaysia sendiri, termasuklah di nusantara dan pelbagai belahan dunia Islam, zakat pendapatan sudah mendapat tempat yang sewajarnya. Hal ini kerana, menerima kemasukan zakat pendapatan adalah lebih utama daripada menolaknya, kerana jelas ia telah memberikan natijah yang cukup besar kepada kepentingan ummah secara umum.

Baiklah, apa kaitannya dengan perbincangan di sini, khususnya dalam bab memotong zakat secara bulanan ini? Jawapannya, ini kerana khilaf itulah yang menyebabkan lahirnya idea pemotongan zakat secara bulanan. Sesungguhnya, memang ada dalil di dalam Islam yang mengharuskan perkara tersebut untuk dilakukan. Apatah lagi, dalam perlaksanaan sesuatu ibadah, seperti zakat, maka penentuan dalil sangat penting, demi mengelakkan ibadah itu tertolak atau menyalahi hukum yang sebenar (dan menjadi bid’ah).

Pertama, dakwaan potongan bulanan itu bertentangan dengan ketetapan hadis zakat yang mensyaratkan wajib mencapai haul (genap setahun dimiliki) ke atas harta zakat. Jawapannya, dalam hal ini sebenarnya ada dalil daripada Nabi SAW sendiri yang memberikan keizinan kepada kita untuk mengeluarkan zakat tanpa perlu menunggu haul. Hal ini telah berlaku kepada Abbas bin Abdul Mutalib r.a (bapa saudara nabi) yang bertanya kepada Rasulullah SAW, tentang zakatnya yang mahu dikeluarkan sebelum sampai haulnya dan nabi mengizinkannya (hadis ini dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan at-Termizi, rujuk Hukum Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradhawy, hal. 814 dan Fiqh Islam Jilid 3, Dr. Wahbah az-Zuhaily, hal. 187 juga al-Amwal, Abu Ubaid, hal. 710).

Namun, ada pihak yang mempertikaikan status hadis yang diriwayatkan di atas, dan menganggap ia adalah hadis daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Dr. Yusuf al-Qaradhawy sebaliknya menegaskan, masih ada hadis-hadis lain termasuklah hadis sahih riwayat Imam Muslim yang mendokong berkenaan isu mendahului haul zakat ini.

Di dalam sebuah hadis Muslim, ada disebutkan perihal Umar r.a telah diutuskan untuk mengambil zakat daripada Abbas r.a dan berlaku dialog panjang dengan beberapa orang sahabat yang mencegah Umar daripada mengambil zakat ke atasnya. Akhirnya Nabi SAW memberitahu Umar bahawa zakat atas pamannya itu adalah atas tanggungannya, dan (Abu Ubaid menokok) Nabi SAW kemudiannya memberikan pinjaman kepada Abbas r.a untuk zakat bagi dua tahun mendatang (didahulukan haulnya).

Hal ini bolehlah dirujuk langsung ke dalam kitab Hukum Zakat dalam bab ‘Alasan yang membolehkan (mendahului haul zakat)’ pada halaman 814-817.

Perkara kedua, adakah amalan membayar zakat tepat sewaktu ia diperoleh ini tidak ada sandaran dalil? Di sini, ada beberapa dalil atas amalan para sahabat (disebut athar sahabi ataupun hadis Mauquf) yang boleh dijadikan panduan.

Pertama, dinyatakan Abu Ubaid meriwayatkan daripada Habirah bin Yaryam bahawa dia berkata: Sesungguhnya Abdullah bin Mas’ud memberi gaji kepada kami di dalam bekas kecil, kemudian beliau mengambil zakat daripadanya. (rujuk Kitab al-Amwal oleh Abu Ubaid, hal. 504)

Abu Ubaid juga menyatakan di dalam kitabnya: bahawa Umar bin Abdul Aziz apabila memberikan kepada seseorang upahnya ia akan mengambil zakat daripada upah tersebut. Dan apabila ia mengembalikan harta yang dirampas, ia akan mengambil daripadanya zakat. Dan ia juga mengambil zakat daripada gaji yan diberikan kepada pemiliknya. (ibid, hal. 432)

Kenapakah mereka melaksanakan hal tersebut? Hal ini kerana, mereka beranggapan bahawa status haul ke atas zakat pendapatan adalah tidak sama seperti mana harta-harta yang lain. Zakat ke atas harta pendapatan hendaklah dikeluarkan pada saat ia diperoleh, sama seperti memperoleh harta pertanian. Pandangan ini dikongsikan oleh sebahagian fuqaha muktabar, misalnya Ibnu Mas’ud, Muawiyah, Umar bin Abdul Aziz, Hassan dan az-Zuhri (Hukum Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradawy, hal. 469)

Di samping itu, jika mahu kita boleh merujuk kepada kitab yang sama mengenai perbahasan status haul ke atas zakat, di mana Dr. Yusuf al-Qaradawy telah membahaskan perihal status hadis yang mensyaratkan haul adalah tidak mencapai darjat sahih (ibid, hal. 463-467).

Ketiga, benarkah potongan ini juga telah menzalimi mereka yang berkenaan? Jawapannya, bertitik tolak daripada perbincangan di atas, maka kita dapat merumuskan bahawa menunaikan zakat lebih awal dan tanpa perlu menunggu haul, adalah satu keharusan yang diberikan dalam hukum Islam. Ia bukanlah wajib, tetapi harus sahaja. Maka, membuat potongan bulanan tidak wajib, tetapi digalakkan dan tidak patutlah timbul ia satu kezaliman.

Hal ini kerana, semasa proses pemotongan dilakukan, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya telah mengambil kira jumlah pendapatan kasar yang bakal diperoleh dalam setahun (didarab 12 bulan) dan ditolak keperluan diri, isteri dan anak-anak (sebagaimana yang ditetapkan dalam kaedah Had al-Kifayah pembayar zakat).

Sekiranya taksiran yang dilakukan oleh pihak LZS itu dirasakan tidak tepat, maka pihak yang berkenaan boleh menaksir sendiri zakat mereka dan mengemukakan amaun zakat bulanan yang baharu kepada LZS untuk dijadikan potongan bulanan. Maknanya, ia bukanlah satu amaun yang sudah ‘mutlak dan putus’ dipatuhi, tetapi masih boleh dikira kembali. Sekiranya pihak muzakki sudah mempunyai amaun yang dikenal pasti, mereka hendaklah menghantarkan maklum balas kepada LZS (dalam tempoh 30 hari) untuk tindakan lanjut (rujuk Keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMK) Ke 27/ 2003, 10 Disember 2003).

Kesimpulannya, potongan zakat pendapatan menerusi gaji bulanan ini sebenarnya hanyalah satu inovasi yang bertitik tolak daripada apa yang pernah dilakukan oleh para sahabat silam, dalam bentuk yang lebih kemas dan teratur. Banyak kelebihan yang boleh diperoleh oleh pembayar, termasuklah melaraskan jumlah potongan zakat bulanan dengan Potongan Cukai Berjadual, dan ia juga boleh meringankan beban kewangan mereka (kerana jika tidak, lebihan cukai hanya boleh dituntut pada tahun hadapan).

USTAZ HAMIZUL ABDUL HAMID

Dakwaan Kisah Nabi S.A.W Menyebut ‘Ummati, Ummati..”

ISU:
Benarkan dakwaan yang mengatakan bahawa kisah Nabi S.A.W menyebut ‘Ummati, ummati..” ketika hampir wafat adalah kisah yang tidak benar?

PENJELASAN:

Kisah kewafatan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah satu peristiwa yang sangat besar dan perincian peristiwa tersebut telah direkodkan secara bersanad oleh para ulama hadis. Justeru, sebarang perkataan atau perbuatan yang disandarkan kepada baginda termasuklah peristiwa kewafatan baginda, hendaklah dinilai kesahihan atau kedaifannya melalui kaedah ilmu hadis.

Berkenaan dengan perkataan “Ummati, ummati...” (Umatku, umatku...) yang dikatakan disebut oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ketika hampir wafat, kisah ini tidak didapati dalam sumber-sumber hadis yang muktabar di sisi Ahli Sunnah.
Namun, perkataan “Ummati, ummati..” disebut oleh baginda dalam beberapa hadis lain yang tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan baginda.

Antaranya hadis tentang syafaat di akhirat yang menyebut bahawa baginda menyebut “Wahai Tuhanku, Ummati, ummati”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Begitu juga hadis bahawa Nabi membaca beberapa potong ayat Quran lalu menyebut “Ummati, ummati..” sambil menangis. (Riwayat Muslim).
Kedua-dua hadis sahih tersebut tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Manakala kisah kewafatan baginda, tidak ada riwayat sahih yang merekodkan bahawa baginda menyebut, “Ummati, ummati” sebelum kewafatannya.
Adapun yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani dalam Mukjam Awsat, dan juga Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Awliya (4/73) bahawa baginda berkata sebelum wafat:

من لأمتي المصطفاة من بعدي
Hadis tersebut dinilai dhaif oleh ulama hadis. Antaranya Al-Hafiz al-Iraqi di dalam kitab al-Mughni ‘An Haml al-Asfar Fi al-Asfar (m/s 1849) mengatakan, “Sanadnya dhaif”.
Wallahu A’lam.

21.7.14

Bolehkah Berimamkan Imam Solat Jamak

SOALAN


Saya ingin bertanya mengenai solat jamak dan qasar. Bolehkah kalau orang solat biasa menjadi makmum kepada orang yang tengah solat jamak dan qasar? dan bolehkah sebaliknya pula?

JAWAPAN

1. Menurut mazhab Syafie: Orang yang solat biasa boleh menjadi makmum kepada orang yang solat jamak dan qasar. Selepas imam memberi salam, dia hendaklah mencukupkan rakaat solatnya seperti biasa.


2. Adapun sebaliknya: Tidak harus orang yang solat qasar berimamkan orang solat biasa. Jika dia mengetahuinya di tengah solat, wajib dia mengubah solatnya daripada qasar kepada solat biasa.


3. Bagi jamak pula, tidak menjadi larangan selepas mengikut imam bagi solat pertama, setelah selesai solat makmum bangun mengerjakan pula solat kedua. Yakni harus makmum yang menjamak solat menjadi makmum kepada imam yang tidak menjamakkan solat.

Wallahu a'lam

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

7.7.13

Larangan Puasa Pada Hujung Sya'ban


1. Sabda Nabi SAW; 
"Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'ban janganlah kamu berpuasa (hinggalah tiba ramadhan)." 
(Jami' at-Tirmizi; 738, hasan soheh).

2. Sabda Nabi SAW; 
"Janganlah sesiapa mendahului Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seorang yang sudah biasa berpuasa, maka bolehlah ia berpuasa." 
(Soheh al-Bukhari; 1914).

3. 'Ammar bin Yasir RA berkata; 
"Sesiapa berpuasa pada hari syak (30 sya'ban) dia mengingkari Abal Qasim (Nabi Muhammad SAW)." 
(HR al-Bukhari secara mu'allaq dan at-Tirmizi. Jami' at-Tirmizi; 686, hasan soheh).

Menurut Imam ar-Ruyani; hukum puasa selepas nisfu Sya'ban adalah makruh. Adapun puasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan hukumnya haram (Tuhfah al-Ahwazi; 2/275). Namun, menurut ulama dikecuali larangan tersebut daripada tiga orang;

1. Orang yang meneruskan puasa yang dimulainya sebelum bulan Sya'ban masuk separuh kedua (yakni sebelum 16 Sya'ban), sekurang-kurangnya ia berpuasa dari 15 Sya'ban.

2. Orang yang meneruskan kebiasaan puasanya; seperti ia biasa berpuasa isnin dan khamis atau puasa nabi Daud AS.

3. Puasa qadha, nazar dan kaffarah.

-Ust. Ahmad Adnan Fadzil-

28.2.13

Cerita Air Liur....




Shaharul seorang yang suka berkata-kata mengenai orang lain, di belakang orang itu.

Perkara yang ditumpukannya selalunya negatif.
Satu hari, beliau bertemu dengan Ustaz Kassim di sebuah warong.

Sebaik sahaja duduk, Shaharul mula berkata-kata mengenai jirannya, bosnya, isterinya dan juga sahabat-sahabatnya.

Ketika merungut dan bercakap buruk mengenai bosnya, Shaharul akan mempamirkan sikap geramnya… semakin dicerita bagaimana bosnya tidak adil, semakin jelas kegeraman pada nada Shaharul.

Ustaz Kassim yang memerhatikan gelagat Shaharul bertanya:

“Apakah anta berasa gembira bila berkata buruk mengenai bos anta?” tanya Ustaz Kassim.

“Makin geram makin marah adalah – tapi boleh lepas geram,” kata Shaharul.

“Lepas geram, maksudnya lepas ini, tak berkata lagi mengenai bos anta?” tanya Ustaz Kassim.

“Tak… mengapa ustaz?” tanya Shaharul.

“Anta tengah meracun diri sendiri, tapi anta tak sedar,” kata Ustaz Kassim.

Shaharul terdiam. “Aku tengah meracun sendiri?” bisik dia di hati. “Bagaimana tu ustaz?”

“Selain bernafas tanpa sedar, tahukah anta bahawa ada lagi satu aktiviti badan yang kita lakukan tanpa sedar tetapi kita merasainya,” tanya Ustaz Kassim.

Shaharul menggelengkan kepala.

“Iaitu menelan air liur. Tapi pernahkah terfikir, apakah fungsi air liur yang dicipta Allah selain yang kita pelajari untuk menghadamkan makanan?” tanya Ustaz Kassim lagi.

Shaharul berfikir sejenak… “Payah betul soalan ustaz. Mohon pencerahan.”

“Air liur adalah salah satu makhluk Allah yang sentiasa keluar dari rongga tanpa disedari oleh manusia. Ia terdiri dari pelbagai bentuk molekul yang akan berubah sebagaimana air lain. Bilamana kebaikan yang diterima, didengar, dilihat, dibaca atau disentuh, maka molekul air akan berubah membentuk nilai yang baik, demikian sebaliknya. 

"Maka setiap orang sebenarnya membentuk perlakuan berdasarkan air liur yang ditelannya,” terang Ustaz Kassim.

“Jadi maksudnya….?” Kata Shaharul yang semakin berminat.

“Sedarkah kita bahawa apabila kita melihat benda lazat, kita menelan air liur, apabila kita bercakap kita menelan air liur, apabila kita mendengar sesuatu dengan khusyuk, kita menelan air liur, ketika kita mengumpat, kita menelan air liur dan pelbagai aktiviti lain, termasuk ketika anta (yang membaca) mendengar penjelasan ana ini? Dah berapa kali telan air liur sejak ana mula bercakap?” tanya Ustaz Kassim.

“Tak perasan pula. Rasanya banyak. Masa ustaz cakap, air liur terasa banyak terhasil… hmmm… mengapa ya?” tanya Shaharul lagi.

“Mengapakah Allah membuatkan manusia sedemikian? Apa fungsi air liur sebenarnya? 
Ungkapan bahawa 'air liur penjaga kehidupan manusia' sememangnya ada asas. Apabila kita makan, air liurlah menjadi benteng pertama badan manusia. 

"Apabila kita membaca al-Quran, bercakap benda baik, melihat benda baik, mendengar benda yang baik dan melakukan benda yang baik - air liur berubah menjadi bentuk yang baik, dan apabila ditelan tanpa disedari, nescaya perasaan dan emosi kita terus berubah menjadi riang, yakin dan seronok.

"Renungkanlah mengapa apabila kita melakukan kebaikan, badan kita berasa riang dan seronok? Bagaimana pula ketika kita melakukan dosa? Adakah kita berasa seronok selepas itu atau gusar? 

"Ramai yang tidak sedar, bahawa air liur yang ditelan secara tidak sedar tersebut juga mempunyai peranan yang penting untuk menentukan emosi dan pemikiran kita,” terang Ustaz Kassim.

Shaharul terpegun… “Jadi maksudnya kalau kita berkata tidak baik, maka emosi kita tak akan baik?” tanya beliau.

“Ya. Setiap kali kita mengumpat, kita akan melahirkan rasa yang lebih buruk sangka pada seseorang. Bukan sahaja orang yang mengumpat, tapi orang yang mendengar umpatan tersebut pun terkena. Ini kerana semasa mengumpat, molekul air liur kita berubah bentuk ke nilai yang tak baik, dan makin kita mengumpat, makin banyak air liur jenis ini ditelan. 

"Begitu juga, dengan orang yang mendengar. Makin mendengar, makin khusyuk pada umpatan, makin banyak air liur jenis yang tidak baik terhasil, dan ditelan tanpa disedari. Sekiranya orang yang mendengar menyampuk dan sertai sama perbualan tersebut, maka lebih teruklah air liur yang ditelannya. 

"Akhirnya, orang yang mengumpat telah menyebarkan racun buruk sangka pada seseorang kepada orang lain kerana air liur yang ditelan tersebut,” tambah Ustaz Kassim lagi.

“Jadi sebab itu, ustaz hentikan perbualan ana tadi? Ustaz biarkan ana bercakap tanpa menyampuk?” tanya Shaharul.

“(Gelak dan senyum)… ya tak ya… petuanya mudah kalau tak nak kena air liur beracun - jauhilah mengumpat, dan jauhilah orang yang mengumpat. Perisai untuk menjauhi mengumpat, ialah dengan senyuman dan jangan sampuk perbualan orang yang sedang mengumpat,” kata Ustaz Kassim.

“Hebat ustaz… mana ustaz dapat teori ini?” tanya Shaharul…

“Buku Senyumlah tulisan seorang sahabat karib,” jawab Ustaz Kassim.

Senyum itu sadekah.... :-)