Halaman

Walaupn Hidup 1000 th. Klau x Smbahyang Apa Gnanya

Walaupn Hidup 1000 tahun klu x sembahyang apa gnanya
Showing posts with label Taubat. Show all posts
Showing posts with label Taubat. Show all posts

21.6.17

GOLONGAN YANG BEBAS DARI AZAB KUBUR


Rasulullah SAW berpesan sesungguhnya kubur adalah rumah pertama dari rumah diakhirat, siapa yang selamat didalamnya maka apa yang selepasnya lebih mudah baginya, apabila dia tidak selamat didalamnya apa yang selepasnya lebih buruk darinya. Ada golongan manusia yang dikurniakan satu kerahmatan oleh Allah SWT kepada mereka, apabila suasana di alam kubur itu di dalam keadaan yang menakutkan, tiba-tiba mereka terlepas daripada pertanyaan oleh malaikat Mungkar & Nakir. 

Berdasarkan hadis Rasulullah memang terdapat beberapa golongan yang tidak disoal di dalam kubur, antaranya adalah :
Murabit 
Murabit adalah mereka yang menjaga keselamatan sempadan negara Islam, ,kubu pertahanan dan mempertahankan negara sama ada di darat,laut dan udara. Mereka adalah polis, pegawai keselamatan, tentera dan lain-lain yang menjaga keselamatan orang lain daripada ancaman bahaya pihak musuh dengan niat kerana Allah. Mereka adalah golongan yang amat beruntung kerana berpeluang untuk beroleh nikmat keistimewaan ini. 
Riwayat daripada Salman al-Farisi, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang hidupnya berjaga-jaga kerana menghalang terhadap serangan musuh di perbatasan iaitu mereka yang berjuang di jalan Allah sehari semalam itu lebih baik daripada berpuasa sebulan dengan melakukan qiam pada setiap malam. Sekiranya dia mati maka dia akan diberikan ganjaran atas tugasan yang dilakukannya itu. Diberikan ganjaran rezeki dan selamat daripada fitnah dalam kubur". (Riwayat Muslim)
Mati Syahid
Golongan ini terdiri daripada seseorang yang mati syahid ketika berperang antara orang Islam dan kafir. Rasulullah bersabda, sesorang yang mati syahid disisi Allah mendapat 6 perkara. 6 keistimewaan syahid adalah diampunkan baginya pada awal darahnya terpancut, dapat melihat tempat di dalam syurga, dihindarkan dari azab kubur serta mendapat keamanan daripada ketakutan besar (hari kiamat),diberi mahkota kehormatan daripada batu yang paling baik di dunia serta isinya dan dikahwinkan dengan 72 bidadari dan dapat memberi syafaat kepada 70 orang daripada saudara maranya. (Riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Majah)
Mengamal surah al-Mulk
Surah Al-Mulk wajar diamalkan terutamanya sebelum tidur, selepas ataupun sebelum menunaikan solat sunat Witir. Rasulullah saw menganjurkan surah Al-Mulk sebagai bacaan rutin setiap umat Islam kerana kelebihan utamanya sebagai penghalang dari azab kubur dan beroleh pengampunan dosa dari Allah.
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang surah al-Mulk : “Ia adalah penghalang daripada azab kubur.” (Riwayat al-Tirmidzi) 
Rasulullah saw bersabda :  “Sesungguhnya di dalam Al Quran terdapat 30 ayat yang kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia akan mendapat keampunan dosanya iaitu Tabarakallazi biyadihil mulk.” (Riwayat Ahmad)
Mati pada malam atau hari Jumaat
Golongan ini terdiri daripada seseorang yang meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah bersabda:
"Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali dia pasti akan dipelihara Allah daripada fitnah kubur." (Riwayat Ahmad dan al-Tirmidzi)
Mati disebabkan sakit perut
Seseorang yang mati disebabkan sakit perut juga tergolong daripada golongan yang bebas daripada azab kubur. Rasulullah bersabda: "Sesiapa dibunuh oleh perutnya sendiri (mati kerana sakit perut), dia tidak di azab didalam kuburnya." Riwayat al-Nasai'i dan Ibn Hibban) 
Para Siddiqin
para siddiqin iaitu para sahabat Rasulullah dan mereka yang benar-benar beriman kepada ajaran Islam walaupun tidak pernah bertemu dengan Rasulullah. Al-Hakim menegaskan bahawa para siddiqin tidak akan disoal di dalam kubur kerana di dalam doa yang dijadikan amalan membuktikan orang yang telah diberi nikmat oleh Allah dikalangan nabi, para siddiqin, para syuhada dan mereka yang salih.
Mudah-mudahan kita tergolong di antara golongan yang terselamat di alam kubur kelak. Amin.

30.6.16

KENAPA SAMBUT NUZUL AL-QURAN 17 RAMADHAN ?


Kenapa Disambut Nuzul al-Quran 17 Ramadhan Sedangkan al-Quran Turun Pada Malam al-Qadar?

1. Hari ini 17 Ramadhan umat Islam di Malaysia memperingati peristiwa Nuzul al-Quran atau Penurunan al-Quran ke atas baginda saw.

2. Ada yang tertanya-tanya; kenapa peristiwa itu disambut pada 17 Ramadhan sedangkan al-Quran menceritakan dalam surah al-Qadar bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar sedang malam al-Qadar berlaku pada 10 malam terakhir Ramadhan?

3. Jawapannya ialah peristiwa Nuzul al-Quran itu sebenarnya merujuk kepada penurunan al-Quran untuk pertama kali ke atas baginda saw iaitu peristiwa baginda saw didatangi Jibril di gua Hira' lalu diwahyukan 5 ayat pertama daripada surah al-'Alaq.

4. Para Ulamak berbeza pandangan tentang tarikh peristiwa itu berlaku antara 17, 21 dan 24 Ramadhan.

5. Menurut Imam Ibnu Kathir dalam Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah nukilan daripada al-Waqidi daripada Abi Ja'far al-Baqir bahawa "permulaan wahyu berlaku pada hari isnin 17 Ramadhan. Ada pendapat menyatakan ia berlaku pada 24 Ramadhan."

6. Syeikh al-Mubaarakfuri antara ulamak kontemporari membuat kajian semula dan berpandangan ia jatuh pada 21 Ramadhan.

7. Menurut Ibnu Abbas radiyallahu anhuma dalam hadis riwayat Imam Ahmad ia berlaku pada usia Baginda saw 40 tahun.

8. Setelah itu, ayat-ayat al-Quran turun sedikit demi sedikit sehingga lengkap kesemuanya dalam tempoh 23 tahun baginda menjadi Nabi.

9. Ayat paling akhir turun 9 malam sebelum kewafatan baginda saw sebagaimana riwayat Nasaei dan Ibnu Abi Haatim ialah ayat 281 surah al-Baqarah

وَاتَّقُوا يَوْماً تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لا يُظْلَمُونَ

10. Adapun peristiwa Nuzul al-Quran yang dirujuk oleh surah al-Qadar ayat pertama:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

yang bermaksud "sesungguhnya Kami turunkan ia pada malam al-Qadar", ia merujuk kepada peristiwa al-Quran turun sepenuhnya sekaligus dari *Lauh Mahfuz ke Baitil Izzah di langit dunia* pada malam al-Qadar pada bulan Ramadhan sebelum baginda saw mendapat wahyu yang pertama daripada Jibril.

11. Perkara ini diriwayatkan daripada sahabat Nabi saw, Ibnu Abbas radiyallahu anhuma sebagaimana hadis riwayat Nasaei, Abu 'Ubaid, al-Hakim dan Ibnu Abi Syaibah dengan isnad yang Sahih. Imam Sayuti menyebut bahawa Imam Ibnu Kathir telah meriwayatkan ijmak sepakat ulamak dalam perkara itu.

29.6.15

FAKTA RAMADHAN

Ramadan, Masih ada lagi tentangnya kita tidak tahu!

Ramadan adalah bulan bonus dengan gandaan pahala yang ‘unknown, unlimited, infinite’ tetapi pastinya jauh lebih besar daripada 700 kali ganda.  Hadith Qudsi: "Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim) .

Peluang kepada special bonus ini akan terjejas jika kita tidak berwaspada
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).

Takkan masih tewas, tanpa kacau ganggu syaitan!

Nabi SAW telah menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Riwayat Al-Bukhari, 1/18 ; Muslim, 1/41) Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia membawa maksud ketidakmampuan Syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar bulan ramadhan. ( Al-Muntaqa Min At-Targhib Wa at-Tarhib, Al-Munziri dan Al-Qaradawi, 1/313 )

Justeru, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana)

"Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" (Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim). Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan). Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa. 

Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

5) Memperbanyakkan doa ketika hampir berbuka

hadith Nabi s.a.w Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib

Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air. 

Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)

Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu
ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"

Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah urat leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani).

8) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :

Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).

Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )

9)  Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah 

buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.

10) Bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). 

Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

11) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :

Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).
Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

20.11.14

Dakwaan Kisah Nabi S.A.W Menyebut ‘Ummati, Ummati..”

ISU:
Benarkan dakwaan yang mengatakan bahawa kisah Nabi S.A.W menyebut ‘Ummati, ummati..” ketika hampir wafat adalah kisah yang tidak benar?

PENJELASAN:

Kisah kewafatan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah satu peristiwa yang sangat besar dan perincian peristiwa tersebut telah direkodkan secara bersanad oleh para ulama hadis. Justeru, sebarang perkataan atau perbuatan yang disandarkan kepada baginda termasuklah peristiwa kewafatan baginda, hendaklah dinilai kesahihan atau kedaifannya melalui kaedah ilmu hadis.

Berkenaan dengan perkataan “Ummati, ummati...” (Umatku, umatku...) yang dikatakan disebut oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ketika hampir wafat, kisah ini tidak didapati dalam sumber-sumber hadis yang muktabar di sisi Ahli Sunnah.
Namun, perkataan “Ummati, ummati..” disebut oleh baginda dalam beberapa hadis lain yang tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan baginda.

Antaranya hadis tentang syafaat di akhirat yang menyebut bahawa baginda menyebut “Wahai Tuhanku, Ummati, ummati”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Begitu juga hadis bahawa Nabi membaca beberapa potong ayat Quran lalu menyebut “Ummati, ummati..” sambil menangis. (Riwayat Muslim).
Kedua-dua hadis sahih tersebut tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Manakala kisah kewafatan baginda, tidak ada riwayat sahih yang merekodkan bahawa baginda menyebut, “Ummati, ummati” sebelum kewafatannya.
Adapun yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani dalam Mukjam Awsat, dan juga Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Awliya (4/73) bahawa baginda berkata sebelum wafat:

من لأمتي المصطفاة من بعدي
Hadis tersebut dinilai dhaif oleh ulama hadis. Antaranya Al-Hafiz al-Iraqi di dalam kitab al-Mughni ‘An Haml al-Asfar Fi al-Asfar (m/s 1849) mengatakan, “Sanadnya dhaif”.
Wallahu A’lam.

31.1.13

Info... Info... Info



Kerak bumi & bahagianya:

Kerak bumi merupakan lapisan keras paling luar bumi. Ianya terdiri dapipada gunung-ganang, batu-batan, tanah-tanih, udara, air, mineral, logam dan makhluk hidup.

Secara umumnya, kita mengetahui bahawa di atas lapisan kerak bumi, manusia dan hidupan yang lain seperti haiwan tingal dan melakukan aktiviti kehidupan.

Walaubagaimanapun, hakikat yang kita selalu lupa adalah terdapat pelbagai aktiviti kehidupan dan fenomena yang berlaku di dalam lapisan kerak bumi atau di bawah tanah.

Tanah  kandunganya:

Tanah adalah lapisan kerak bumi paling luar yang terhasil daripada pemecahan batu batan dan pereputan bahan organik seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Juga mengandungi unsur-unsur lain seperti garam mineral, logam, air, udara dan mikro organisma. Tanah boleh di bahagikan kepada beberapa jenis seperti tanah pasir, tanah gambut, tanah liat, tanah merah (laterit) tanah humus dan tanah campuran.

Oleh itu terimalah seadanya diri kita, wajah, bakat, rezeki, keluarga, rumah dengan ikhlas. Nescaya akan di anugerahkan ketenteraman dan kebahagiaan.

Amin Ya Robbal-alamin.

11.1.13

Saintis Perancis Peluk Islam Selepas Kaji Rangka Firaun!!!



Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal. Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya. Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris.

Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut? Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis. KISAH FIRAUN DI DALAM AL QURAN.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. “Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!” Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya. Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. “Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun. Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15) Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri: “Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).” Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.” Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya. “Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya. Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

5.10.12

Untukmu Ya Rasulullah


Untukmu Ya Rasulullah

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari kalangan kamu, terlalu berat kepadanya apa yang ditanggung oleh kamu dan terlalu kasih sayangnya terhadap orang-orang yang beriman.” (at taubah: 128)

Ya Rasulullah… Engkau telah melalui segalanya demi kasihmu kepada kami ummatmu. Difitnah, dicaci, dimaki, dituduh sebagai orang gila, ahli nujum, dipulaukan kaum keluargamu sehingga engkau terpaksa mengikat batu di perut, dipulau sehingga terpaksa makan daun-daun kayu dan belulang kering, diseksa, disakiti dirimu dan para sahabatmu, dihalau dari Bumi Mekah tanah tumpah darahmu, diperangi, dibunuh syahid para sahabatmu… semuanya telah engkau lalui, demi untuk menyelamatkan ummatmu.

Ketika dihujani lontaran batu dan maki hamun penduduk Taif yang musyrik, Nabi hanya mengadu kepada Allah…Ya Allah, Ya Tuhanku… aku mengadu kepadamu lemahnya kekuatanku, sedikitnya helahku, betapa hinanya aku di kalangan manusia, Ya Allah, Tuhan yang paling penyayang di kalangan semua yang penyayang. Engkaulah tuhan kepada orang-orang yang lemah tertindas…

Ketika datang Malaikat yang menjaga bukit berkata kepada Nabi, Ya Muhammad! Aku menunggu perintahmu sahaja, kalau kamu mahu, aku dapat timpakan ke atas penduduk Taif itu, bukit-bukit besar yang mengelilingi Mekah.”

Rasulullah menjawab…“Jangan! Aku berharap Allah akan melahirkan dari dalam sulbi mereka orang-orang yang menyembah Allah azzawajalla dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu yang lain.”
Allah… kasihnya Nabi kepada kita ummatnya sehingga Nabi selalu mengulangi doa…

Betapa besarnya jiwa Rasulullah. Harapan untuk menyelamatkan manusia dari kesesatan tidak boleh dipadamkan dengan lontaran batu dan darah yang membasahi sepatunya. Pandangan Rasulullah sangat jauh, walaupun telah tiba bantuan tentera Allah dari 7 petala langit, tetapi kesabaran Rasulullah mengatasi kemarahannya.

Nabi pernah bersabda, “Aku pernah ditakutkan dengan pelbagai ancaman oleh kaum musyrikin kerana menyampaikan agama Allah, tidak ada seorang pun yang pernah ditakutkan sepertiku, aku juga pernah disakiti kerana Allah dan tidak ada seorang pun yang pernah disakiti seperti aku. Aku dan Bilal pernah tidak memiliki makanan yang layak dimakan oleh manusia, selama 30 hari 30 malam berturut-turut. Apa yang ada hanyalah sedikit makanan yang disimpan oleh Bilal di bawah lengannya.

Seorang sahabat, Naufal bin Iyas menceritakan, Abdul Rahman bin Auf merupakan sahabat kami dan beliau adalah sebaik-baik sahabat. Pada suatu hari, kami singgah di rumahnya. Beliau menghidangkan roti dan daging dalam dulang besar kepada kami. Ketika menghidangkan makanan, Abdul Rahman menangis. Aku bertanya, Wahai Abdul Rahman! Apa yang menyebabkan kamu menangis? Beliau menjawab, “aku teringatkan Rasulullah, sehingga baginda wafat, baginda dan keluarga tidak pernah kenyang memakan roti dan daging selama 2 hari berturut-turut.”

Ini hanyalah sekelumit gambaran seorang Rasul Allah, yang sehingga akhir nafasnya masih menyebut, ummati…ummati…

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda mafhumnya, Allah akan menghimpunkan sekalian manusia pada hari qiamat di Padang Mahsyar, dengan sebab dahsyatnya keadaan, mereka diilhamkan jalan untuk melepaskan diri. “Bukankah elok kalau kita mencari orang yang dapat mengemukakan syafaat kepada Tuhan kita supaya Tuhan melepaskan kita dari penderitaan tempat ini?”

Mereka pun pergi menemui Nabi Adam a.s., Engkau ialah bapa sekalian manusia, Allah telah menciptakanmu dengan kekuasaanNya dan meniupkan padamu dan roh-Nya, serta ia memerintahkan Malaikat sujud kepadamu; tolonglah kemukakan syafaat kepada Tuhamu untuk kami supaya ia melepaskan kami dari penderitaan tempat ini”. Nabi Adam berkata, “Aku bukanlah orang yang layak untuk itu, serta Adam a.s menyebut salah silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu aku merasa malu kepada Allah, “Pergilah kamu menemui Nabi Noh, Rasul yang pertama yang telah diutus oleh Allah Taala’.”

Manusia pun pergilah menemui Nabi Noh a.s., Nabi Noh menjawab dengan katanya: “Aku bukanlah orang yang layak untuk itu”, sambil menyebut salah-silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu aku merasa malu kepada Allah: Tetapi, kata Nabi Noh, “Pergilah kamu menemui Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa a.s memberikan jawapan yang sama.

Sehinggalah Nabi  bersabda: Setelah itu mereka datang menemuiku, aku pun berkata: “Akulah orang yang layak untuk itu, akulah orang yang layak untuk itu” aku memohon izin mengadap Tuhanku, Lalu diizinkan daku mengadapnya, maka aku pun berdiri mengadapnya serta memujinya dengan puji-pujian kemudian aku menumuskan muka sujud kepada Allah hingga aku diseru: 
 
“Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu dan berkatalah apa sahaja nescaya diperkenankan, mintalah supaya diberikan dan kemukakanlah syafaat supaya dikabulkan syafaatmu. Maka aku pun merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Kasihanilah umatku! Kasihanilah umatku!
 
 Untukmu Ya Rasulullah

9.8.12

Petua Imam Ghazali Menemui Malam Lailatul Qadar




Maksud Lailatul Qadar

Lailatul Qadar atau Lailat Al-Qadar (malam ketetapan) adalah satu malam penting yang terjadi pada bulan Ramadhan, yang dalam al-Quran digambarkan sebagai malam yang baik dari seribu bulan. Dan juga diperingati sebagai malam diturunkan al-Quran.

Tanda-tanda malam Lailatul Qadar
 
Pesan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W adalah malam berlaku pada satu malam daripada 10 malan terakhir (hari ganjil) bulan Ramadhan.

Petua oleh Imam Ghazali dan lain-lain ulama' untuk mencari malam Lailatul Qadar.

Jika awal Ramadhan jatuh pada hari:
  1. Ahad atau Rabu malam Lailatul Qadar dijangka berlaku pada malam 29 Ramadhan
  2. Isnin - 21 Ramadhan
  3. Selasa atau Jumaat - 27 Ramadhan
  4. Khamis - 25 Ramadhan
  5. Sabtu - 23 Ramadhan
Kata Sheikh Abu Hassan bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan Lailatul Qadar pada malam yang tepat mengikut petua diatas. Walaubagaimanapun, janganlah ibadat pada malam ini sahaja, carilah malam Qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga.

Tanda-tanda Lailatul Qadar
  1. Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas
  2. Siangnya cahaya matahari warnanya pucat
  3. Pada malam itu malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat dan tandanya ialah tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.
Itu sahaja gigi dapat kongsi sempena bulan yang baik ini. Insyaallah kita akan bertemu dengan malam tersebut jika diizinkan oleh Allah S.A.W. wallahu'alam.

Selamat mencari malam Lailatur Qadar bermula pada malam ini, 10 malam terakhir.

share kepada rakan-rakan... :)

haq : gigikecik.blogspot

11.6.12

Apa Itu Istidraj ?

Apakah istidraj itu?
Satu istilah yang telah banyak disalahfaham oleh kebanyakkan orang dah artikel ini mengupas satu persatu contoh-contoh yang dipanggil istidraj.

Apakah istidraj itu?
Patutkah atau tidak kita jauhi istidraj?

Inilah yang akan saya ulas dalam risalah ini. Tajuk ini adalah amat penting, terutama kepada anak-anak dan generasi muda kita agar tidak terkeliru dengan risalah ini. Pemikiran kebanyakan umat Islam di zaman moden ini nampaknya jelas kelihatan kian jauh menyimpang dari pemikiran seseorang Islam di zaman silam. Pemikiran manusia di zaman serba maju ini telah dihanyutkan oleh arus keadaan dan diselaputi oleh kebendaan.
 
Itulah sebabnya kita lihat masyarakat pada hari ini berbeza dengan masyarakat dahulu. Bagaimana masyarakat pada hari ini?

Mereka telah terpengaruh dengan apa yang ada dengan suasana sekelilingnya. Mereka tidak memandang jauh sepertimana orang-orang dahulu. Padahal orang dahulu tidak belajar tinggi sehingga ke universiti. Kita sekarang cerdik, ada ijazah, ada PhD dan macam-macam, tapi bodoh.

Manusia tersebut telah tertipu dengan kekuasaan, pangkat, kebesaran dan kekayaan yang diperolehi. Lantas mereka tidak faham lagi dengan nikmat Allah. Jika dia berkuasa, dia gunakan kekuasaannya untuk menindas orang-orang bawahannya kerana dia tidak tahu menggunakan nikmat kekuasaan yang ada padanya. Dia tidak faham tentang nikmat dan rahmat Allah S.W.T.

Kuasa Dan Kekayaan Untuk Maksiat

Kalau dia ada kebesaran, dia menzalimi orang dibawahnya. Kekayaan yang ada padanya digunakan bukan untuk kebaikan dirinya dan orang lain, tetapi untuk berbuat maksiat kepada Allah S.W.T. Manusia golongan ini telah terkeliru dengan fahaman mereka sendiri. Mereka tidak faham dan tidak dapat membezakan nikmat pemberian Allah kepada hambaNya yang setia dengan hambaNya yang derhaka.

Saya pernah ditanya oleh seorang mahasiswa,
“Ustaz, betulkah atau tidak, saya dengar ustaz bersyarah, ulama’-ulama’ kalau bersyarah menyatakan bahawa barangsiapa yang mahu mendapatkan kebahagian di dunia dan di akhirat hendaklah mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W dan berpegang teguh kepada agama Islam.

Betulkah ustaz?” Saya jawab, “Betul.” “Minta maaf ustaz, saya tidak percaya, sebab apa yang saya lihat realitinya tidak begitu. Orang-orang yang mengikut jejak langkah Rasulullah inilah yang teruk.”

Dia kemudian menyebutkan beberapa contoh,
“Mak dan ayah saya, bukan sahaja sembahyang sehari semalam lima waktu, tapi tengah malam pun bangun sembahyang tahajjud. Rumah kami roboh juga. Puasa bukan sahaja puasa Ramadhan, Isnin mereka puasa, Khamis pun mereka berpuasa. Tapi kami makan sebulan sekali daging pun susah. Ayah saya, orang belum azan sudah pergi ke masjid. Begitu azab mak dan ayah saya yang berpegang teguh kepada agama.”

“Tapi, bapa saudara saya (adik mak saya), tak pernah sembahyang seumur hidupnya. Rumahnya rumah batu. Puasa pun tidak pernah. Kalau kita tanya, pakcik tak ingat mati? Bukan saya seorang sahaja yang mati, katanya. Kalau masuk neraka pun ramai juga orang lain yang masuk. Dia hidup kaya, hidup mewah, kita yang sembahyang ni, hidup susah.”

Sebenarnya, hendaklah kamu tahu tentang nikmat-nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada makhluk-makhlukNya. Pemberian nikmat Allah kepada hambaNya yang setia (yang dikasihiNya) ialah pemberian yang diredhaiNya, tetapi pemberian nikmat Allah kepada manusia yang melakukan maksiat dan kejahatan adalah pemberian yang tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan ISTIDRAJ.

Pemberian yang redha ini seperti pemberian ayah kepada anaknya. Ketika si ayah hendak sembahyang, tiba-tiba lalu si penjual aiskrim. Si anak merengek minta dibelikan. Si ayah pun membelikannya kerana tidak mahu anaknya mengacau dia sembahyang. Dengan senyum mesra diberikannya aiskrim itu dengan layanan yang baik. “Makan baik baik nak, jangan bising-bising, ayah nak sembahyang.”

Kemudian, baru saja nak sembahyang, si anak menjerit-jerit minta tambah aiskrim lagi. Si ayah naik darah. Dengan perasaan marah, dibelikan juga aiskrim tersebut kerana takut sembahyangnya tidak khusyuk. Tetapi pemberiannya pada kali ini tidak disertai dengan kemesraan. Pemberian inilah yang dikatakan sebagai pemberian yang tidak redha.

Begitu juga Allah S.W.T. dengan kita. Kadang-kadang manusia mendapat nikmat yang diredhai Allah dan kadang-kadang tidak. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberi nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diIstidrajkan oleh Allah S.W.T.” (Riwayat At-Tibrani, Ahmad dan Baihaqi)

Akan tetapi manusia derhaka yang terkeliru dengan pemikirannya berpendapat bahawa dengan nikmat yang datang mencurah daripada Allah S.W.T kepadanya itu walaupun dia sentiasa melakukan maksiat, dia menyangka itu adalah bukti yang menunjukkan bahawa Allah kasih dan berserta dengan perbuatan maksiat mereka.

Manusia Istidraj ?
Manusia Yang Lupa Daratan

Walaupun dia membuat maksiat, tapi dia merasakan Allah menyayanginya. Manusia seperti ini kadang-kadang memandang hina kepada orang-orang yang suka beramal dan ke masjid. Apatah lagi orang yang selalu ke masjid itu hanya berselipar jepun atau berterompah kayu, sedangkan dia naik kereta jenis mewah.

“Alah, siang malam ke masjid, ke surau, tapi basikal buruk pun tak ada. Tengok aku. Aku nak ke kelab malam dengan kereta mewah. Walaupun aku tidak pernah sembahyang, tapi Allah sayangkan aku. Kalau kau sikit ibadat, tentu kau juga akan kaya macam aku.” Katanya sombong. Inilah jenis manusia yang tidak sedar akan dirinya sendiri. Dia melakukan maksiat pagi petang, siang malam, dia sangka Allah sayangkannya.

Maka mereka yang berpendapat sedemikian, baik mereka yang mengaku muslim, lebih-lebih lagi orang yang sudah nyata kafirnya, berterusanlah mereka menggunakan nikmat pemberian Allah yang berupa harta kekayaan, kebesaran, pangkat dan kuasa mereka untuk melakukan penindasan dan kezaliman serta maksiat (derhaka) kepada Allah yang berpanjangan.

Sesungguhnya mereka tidak faham dan tidak sedar sama sekali bahawa pemberian nikmat itu adalah istidraj daripada Allah. Dengan pemberian nikmat yang tidak diredhaiNya itu mereka akan lalai dari mengingati Allah. Akhirnya mereka akan menemui kehancuran dan kemusnahan.

Kadang-kadang Allah S.W.T memberikan manusia nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semut itu dengan dua sayapnya.” (Daripada kitab Nasa’ibul ‘Ibad)

Anai-anai misalnya, kalau tidak ada sayap selamatlah dirinya. Dia akan duduk diam di bawah daun atau merayap di celah-celah batu. Jika Allah hendak membinasakannya, Allah beri ia sayap. Anai-anai kalau sudah bersayap namanya akan berubah menjadi kelkatu. Otaknya menjadi otak kelkatu. Kelkatu, bila dapat nikmat dia cuba nak lawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, dia cuba hendak melawan Allah.

Pemimpin-pemimpin Yang Dilaknati Allah

Buktinya telah banyak kita lihat dan kita dengar. Berapa banyak pemimpin-peminpin yang dahulunya gagah dan sombong telah dilaknati Allah. Tidak kurang juga jumlahnya kerajaan yang besar lagi utuh telah pun hancur dan musnah.

Firaun yang gagah mengaku Tuhan, Namrud yang sombong membakar Nabi Allah Ibrahim, Qarun yang kaya, dan banyak lagi, semuanya telah musnah akibat kesombongan dan keangkuhan mereka!

Nikmat Allah yang diberikan kepada Firaun tidak terkira banyaknya. Bersin pun tidak pernah. Jangan kita ingat kita sihat Allah sayang kita. Firaun lagi sihat, tetapi dengan nikmat kesihatan itulah Allah binasakannya. Orang lain selalu sakit, tetapi Firaun tidak. Orang lain mati, sedangkan dia belum juga mati-mati hingga dia merasa besar diri, sombong dan takbur. Akhirnya dia mengaku dirinya Tuhan.

Namrud begitu sombong dengan Allah hingga membakar Nabi Ibrahim. Berapa besar pangkat Namrud? Bagaimana dia menemui ajalnya? Kematiannya hanya disebabkan oleh seekor nyamuk yang masuk ke lubang telinganya!

Tidak ada seorang pun manusia pada hari ini yang sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya saja 40 ekor unta membawanya. Akhirnya Allah tenggelamkan hartanya dengan dirinya sekaligus. Hingga kini harta itu tidak timbul-timbul. Harta Qarun itulah yang kita cari-cari sehingga lupa sembahyang! Kalau kita kaya, kita sangka Allah sayang. Qarun lagi kaya, akhirnya Allah jahanamkan harta kekayaannya dengan dirinya sekali.

Di mana dan bagaimanakah keadaan mereka itu sekarang? Tanyalah pada tanah! Tanah yang mereka pijak semasa mereka diistidrajkan oleh Allah yang akan memberikan jawapan.

Kita baru naik kereta sudah sombong. Rasulullah S.A.W naik ke langit pun tidak sombong. Kita kalau berjumpa dengan orang besar sikit sudah sombong dan merasa bangga. Kalau menteri senyum kepadanya dia merasa bangga. Rasulullah S.A.W berjumpa dengan Allah S.W.T di langit, tetapi baginda tidak pun sombong. Kejadian seperti ini akan terus berlaku sepanjang zaman. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Sunnah Allah tidak pernah berubah atau bertukar.”

Apabila kita tinjau semua ini, akan hilanglah segala persoalan yang tidak terjawab dan yang menjadi keraguan selama ini yang sentiasa mengganggu fikiran kita. Mengapa orang-orang kafir kaya raya? Mengapa orang-orang yang sentiasa membuat maksiat hidup mewah? Tidakkah kita hairan mengapa orang-orang yang selalu ke masjid hanya berbasikal buruk? Yang ke kelab malam naik kereta mewah?

Cara Untuk Menentukan Nikmat Yang Diredhai Allah

Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu. Adakah pemberian itu diredhai Allah atau tidak? Caranya ialah hendaklah dia sentiasa mengkaji dengan teliti nikmat yang diterimanya itu dan bagaimana serta ke mana digunakannya?

Seseorang yang menerima segala nikmat itu akan terus mengsyukuri Allah. Dia akan menggunakan pemberian itu ke jalan kebaikan dan selain dari itu, dia sentiasa redha mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka dengan limpah kurnia yang diperolehinya itu adalah pemberian yang diredhai Allah.

Pemberian yang diredhai Allah akan membuatkan seseorang itu ikhlas apabila bersedekah. Apabila dia melihat orang membawa list derma, dia lantas memanggil orang tersebut walaupun dia hanya ada wang 50 sen ketika itu. “Ini sedekah saya. Maaflah, hanya 50 sen”, katanya.

Akan tetapi pemberian yang tidak diredhai Allah akan membuatkan orang yang menerimanya enggan bersedekah atau berbuat kebajikan dengan ikhlas. Dia ada wang RM500 dalam sakunya. Ketika orang minta derma dia menyatakan dia tiada wang. Maknanya wang yang ada dalam sakunya adalah wang istidraj.

Pada ketika setelah itu, lalu seorang gadis cantik yang menjual tiket “pertunjukan amal”. Belum pun sempat gadis itu menawarkannya, dia pula yang memanggilnya terlebih dahulu. Dia pun membeli tiket untuk pertunjukan amal itu.

Pertunjukan amal? Ini juga satu kekeliruan bagi kita. Kita sering tertipu dengan label “amal” ini. Kadang-kadang pada waktu Maghrib, lalu sebuah van yang riuh rendah dengan muzik dan memberi pengumuman. “Tuan-tuan, silalah datang ke taman hiburan, kita akan mengadakan pertunjukan amal.” Ada ibu bapa yang terpengaruh lalu pergi dengan membawa keluarga. Pasal pertunjukan amal, dia ingat dapat pahala.

Inilah cakap-cakap yang mesti kita jaga. Begitu juga dengan orang yang bersyarah. Kita mesti tengok betul gerak-geri orang yang bersyarah tersebut. Ke mana pensyarah tersebut hendak membawa kita. Sebab kadang-kadang banyak kekeliruan dalam syarahan-syarahan.

Ada pensyarah yang berkata, “Kita sekarang hendaklah sesuaikan Islam dengan zaman.” Nampak jelas di sini otak kita hendak dikelirukannya. Hendaklah kita sedar, Islam itu tidak boleh disesuaikan dengan zaman, tetapi zaman itulah yang mesti disesuaikan dengan Islam.

Kalaulah Islam hendak disesuaikan dengan zaman, maka zaman orang bertelanjang, Islam sesuai dengan orang yang bertelanjang, zaman orang merompak, Islam mesti sesuai dengan perompak. Tidak boleh Islam disesuaikan dengan zaman. Islam tidak boleh tunduk kepada zaman, tetapi zaman itulah yang mesti tunduk dengan Islam.

Tidak beberapa lama dahulu, saya berjumpa dengan seorang ulama’. Ditanya tentang loteri, dia kata haram. Habis, bagaimana kalau kita hendak membantu orang, macam loteri kebajikan? “Halal.” Katanya.

Loteri haram, dibalut dengan label kebajikan jadi halal. Inilah kata-kata yang mengelirukan kita. Kiranya di samping seseorang yang menerima segala nikmat Allah, maka bertambah pula maksiat dan derhakanya kepada Allah, maka jelaslah segala kemudahan dan kemewahan yang diperolehinya itu adalah istidraj, iaitu pemberian nikmat yang tidak diredhai Allah S.W.T.

Namun, jangan pula apabila ada orang kaya datang ke masjid dengan kereta besar kita katakan istidraj. Orang naik pangkat istidraj atau orang-orang besar istidraj. Jangan! Orang-orang yang menggunakan nikmatnya untuk kebajikan, untuk mengabdikan dirinya kepada Allah, itu bukan istidraj namanya.

Bukan bermakna kita tidak boleh kaya. Kaya tidak salah di sisi Islam, tetapi masuk ke syurga agak lambat sedikit. Ibarat orang dari Singapura hendak masuk ke Johor. Orang yang membawa barang yang banyak akan diperiksa oleh kastam. Makin banyak barangnya, makin lama pemeriksaan, makin lambat dia masuk ke Johor. Orang yang tidak membawa barang akan lepas dengan mudah memasuki Johor.

Inilah yang sangat-sangat kita takuti dalam hidup ini dan kehidupan kita di dunia ini. Sebab itulah umat Islam di zaman Rasulullah S.A.W sentiasa merintih di hati sanubari sambil berkata, “RedhaMu yang selalu kami rindukan dan marahMu yang sangat kami takuti Tuhan. Lebih baik kami hidup miskin asal dalam redhaMu, kami tak ingin kepada kekayaan di dalam marahMu.”

Inilah sajak yang penuh makna. Apakah maknanya?
Hidup kita di dunia mesti ada target, mesti ada pedoman. Jangan hidup kita seperti kumbang di tengah kolam, ditiup angin ke tepi ia ke tepi, ditiup ke tengah ia ke tengah. Tidak ada pegangan langsung. Kita kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada target atau matlamat atau tujuan. Tujuan hidup kita di dunia ialah mencari keredhaan Allah S.W.T, baru kita selamat. Bukan kaya yang kita cari dan bukan juga miskin yang kita cari!

Kalau target kita hanya untuk kaya, akan jahanamlah diri kita. Jika ada kesempatan untuk kaya, kita lihat dulu. Kalau ada keredhaan Allah, barulah kita ambil. Kalau tidak, lebih baik kita miskin. Bukan tujuan kita untuk menjadi miskin, tetapi hendak mencari keredhaan Allah. Kalau hidup miskin ada keredhaan Allah, maka kita pilih miskin. Kalau mahu menjadi kaya dengan keredhaan Allah, katakan aku tidak mahu kekayaan tanpa keredhaanMu.

Bila hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan di akhirat. Wallahua’lam.

By Huzaifah Al-Selangori