Halaman

Walaupn Hidup 1000 th. Klau x Smbahyang Apa Gnanya

Walaupn Hidup 1000 tahun klu x sembahyang apa gnanya
Showing posts with label Syawal. Show all posts
Showing posts with label Syawal. Show all posts

7.7.13

Larangan Puasa Pada Hujung Sya'ban


1. Sabda Nabi SAW; 
"Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'ban janganlah kamu berpuasa (hinggalah tiba ramadhan)." 
(Jami' at-Tirmizi; 738, hasan soheh).

2. Sabda Nabi SAW; 
"Janganlah sesiapa mendahului Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seorang yang sudah biasa berpuasa, maka bolehlah ia berpuasa." 
(Soheh al-Bukhari; 1914).

3. 'Ammar bin Yasir RA berkata; 
"Sesiapa berpuasa pada hari syak (30 sya'ban) dia mengingkari Abal Qasim (Nabi Muhammad SAW)." 
(HR al-Bukhari secara mu'allaq dan at-Tirmizi. Jami' at-Tirmizi; 686, hasan soheh).

Menurut Imam ar-Ruyani; hukum puasa selepas nisfu Sya'ban adalah makruh. Adapun puasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan hukumnya haram (Tuhfah al-Ahwazi; 2/275). Namun, menurut ulama dikecuali larangan tersebut daripada tiga orang;

1. Orang yang meneruskan puasa yang dimulainya sebelum bulan Sya'ban masuk separuh kedua (yakni sebelum 16 Sya'ban), sekurang-kurangnya ia berpuasa dari 15 Sya'ban.

2. Orang yang meneruskan kebiasaan puasanya; seperti ia biasa berpuasa isnin dan khamis atau puasa nabi Daud AS.

3. Puasa qadha, nazar dan kaffarah.

-Ust. Ahmad Adnan Fadzil-

5.10.12

Untukmu Ya Rasulullah


Untukmu Ya Rasulullah

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari kalangan kamu, terlalu berat kepadanya apa yang ditanggung oleh kamu dan terlalu kasih sayangnya terhadap orang-orang yang beriman.” (at taubah: 128)

Ya Rasulullah… Engkau telah melalui segalanya demi kasihmu kepada kami ummatmu. Difitnah, dicaci, dimaki, dituduh sebagai orang gila, ahli nujum, dipulaukan kaum keluargamu sehingga engkau terpaksa mengikat batu di perut, dipulau sehingga terpaksa makan daun-daun kayu dan belulang kering, diseksa, disakiti dirimu dan para sahabatmu, dihalau dari Bumi Mekah tanah tumpah darahmu, diperangi, dibunuh syahid para sahabatmu… semuanya telah engkau lalui, demi untuk menyelamatkan ummatmu.

Ketika dihujani lontaran batu dan maki hamun penduduk Taif yang musyrik, Nabi hanya mengadu kepada Allah…Ya Allah, Ya Tuhanku… aku mengadu kepadamu lemahnya kekuatanku, sedikitnya helahku, betapa hinanya aku di kalangan manusia, Ya Allah, Tuhan yang paling penyayang di kalangan semua yang penyayang. Engkaulah tuhan kepada orang-orang yang lemah tertindas…

Ketika datang Malaikat yang menjaga bukit berkata kepada Nabi, Ya Muhammad! Aku menunggu perintahmu sahaja, kalau kamu mahu, aku dapat timpakan ke atas penduduk Taif itu, bukit-bukit besar yang mengelilingi Mekah.”

Rasulullah menjawab…“Jangan! Aku berharap Allah akan melahirkan dari dalam sulbi mereka orang-orang yang menyembah Allah azzawajalla dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu yang lain.”
Allah… kasihnya Nabi kepada kita ummatnya sehingga Nabi selalu mengulangi doa…

Betapa besarnya jiwa Rasulullah. Harapan untuk menyelamatkan manusia dari kesesatan tidak boleh dipadamkan dengan lontaran batu dan darah yang membasahi sepatunya. Pandangan Rasulullah sangat jauh, walaupun telah tiba bantuan tentera Allah dari 7 petala langit, tetapi kesabaran Rasulullah mengatasi kemarahannya.

Nabi pernah bersabda, “Aku pernah ditakutkan dengan pelbagai ancaman oleh kaum musyrikin kerana menyampaikan agama Allah, tidak ada seorang pun yang pernah ditakutkan sepertiku, aku juga pernah disakiti kerana Allah dan tidak ada seorang pun yang pernah disakiti seperti aku. Aku dan Bilal pernah tidak memiliki makanan yang layak dimakan oleh manusia, selama 30 hari 30 malam berturut-turut. Apa yang ada hanyalah sedikit makanan yang disimpan oleh Bilal di bawah lengannya.

Seorang sahabat, Naufal bin Iyas menceritakan, Abdul Rahman bin Auf merupakan sahabat kami dan beliau adalah sebaik-baik sahabat. Pada suatu hari, kami singgah di rumahnya. Beliau menghidangkan roti dan daging dalam dulang besar kepada kami. Ketika menghidangkan makanan, Abdul Rahman menangis. Aku bertanya, Wahai Abdul Rahman! Apa yang menyebabkan kamu menangis? Beliau menjawab, “aku teringatkan Rasulullah, sehingga baginda wafat, baginda dan keluarga tidak pernah kenyang memakan roti dan daging selama 2 hari berturut-turut.”

Ini hanyalah sekelumit gambaran seorang Rasul Allah, yang sehingga akhir nafasnya masih menyebut, ummati…ummati…

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda mafhumnya, Allah akan menghimpunkan sekalian manusia pada hari qiamat di Padang Mahsyar, dengan sebab dahsyatnya keadaan, mereka diilhamkan jalan untuk melepaskan diri. “Bukankah elok kalau kita mencari orang yang dapat mengemukakan syafaat kepada Tuhan kita supaya Tuhan melepaskan kita dari penderitaan tempat ini?”

Mereka pun pergi menemui Nabi Adam a.s., Engkau ialah bapa sekalian manusia, Allah telah menciptakanmu dengan kekuasaanNya dan meniupkan padamu dan roh-Nya, serta ia memerintahkan Malaikat sujud kepadamu; tolonglah kemukakan syafaat kepada Tuhamu untuk kami supaya ia melepaskan kami dari penderitaan tempat ini”. Nabi Adam berkata, “Aku bukanlah orang yang layak untuk itu, serta Adam a.s menyebut salah silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu aku merasa malu kepada Allah, “Pergilah kamu menemui Nabi Noh, Rasul yang pertama yang telah diutus oleh Allah Taala’.”

Manusia pun pergilah menemui Nabi Noh a.s., Nabi Noh menjawab dengan katanya: “Aku bukanlah orang yang layak untuk itu”, sambil menyebut salah-silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu aku merasa malu kepada Allah: Tetapi, kata Nabi Noh, “Pergilah kamu menemui Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa a.s memberikan jawapan yang sama.

Sehinggalah Nabi  bersabda: Setelah itu mereka datang menemuiku, aku pun berkata: “Akulah orang yang layak untuk itu, akulah orang yang layak untuk itu” aku memohon izin mengadap Tuhanku, Lalu diizinkan daku mengadapnya, maka aku pun berdiri mengadapnya serta memujinya dengan puji-pujian kemudian aku menumuskan muka sujud kepada Allah hingga aku diseru: 
 
“Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu dan berkatalah apa sahaja nescaya diperkenankan, mintalah supaya diberikan dan kemukakanlah syafaat supaya dikabulkan syafaatmu. Maka aku pun merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Kasihanilah umatku! Kasihanilah umatku!
 
 Untukmu Ya Rasulullah

18.5.12

Hukum Agih Zakat Kepada Waris

ADAKAH seorang datuk atau nenek boleh membayar zakat kepada cucunya sendiri bagi asnaf fisabilillah?

Maksudnya untuk tujuan melanjutkan pelajaran ke universiti?

Ini kerana, didapati cucunya amat memerlukan biaya dan kebetulan, cucunya juga dalam kesempitan wang. Sekiranya zakat berkenaan berjumlah RM15,000, berapakah jumlah yang layak diberikan kepada asnaf fisabilillah, yakni si cucu tadi?

Atau, adakah zakat yang berjumlah RM15,000 itu perlu diagihkan kepada lapan asnaf atau memadai kepada mana-mana tiga asnaf sahaja.
 
Jawapan
 
Sememangnya, seorang datuk atau nenek memang perlu memerhatikan keadaan para waris mereka. Seandainya dalam keadaan tertentu, mereka perlu membantu, maka memang patutlah mereka menghulurkan apa-apa jenis bantuan.
 
Walau bagaimanapun, dalam bab menyerahkan harta zakat, hukum syarak menegah daripada seseorang itu menyerahkannya kepada waris yang terdekat.
 
Maksud waris yang terdekat ialah, anak, cucu, cicit, ibu bapa, datuk, nenek dan moyang. Secara mudahnya, semua waris yang bersifat menegak, adalah ditegah daripada menerima zakat.
 
Namun, zakat boleh diberikan kepada waris yang bersifat melintang. Misalnya kepada adik, abang, kakak, ibu dan bapa saudara dan sebagainya.
 
Oleh itu, seorang datuk atau nenek tidak dibenarkan memberikan zakat mereka kepada si cucu berkenaan.

Bagaimanapun, sebenarnya apa yang perlu dibuat ialah, si nenek berkenaan boleh sahaja memberikan hartanya yang belum dizakatkan kepada cucunya.
 
Katakanlah dalam kes di atas, si nenek mempunyai simpanan wang berjumlah RM20,000 dan beliau mengambil RM5,000 daripada simpanannya dan diberikan kepada cucunya untuk tujuan pendidikan, maka bakinya RM15,000 itulah yang wajib dizakatkan.

Hal ini tidak menjadi suatu kesalahan, kerana yang diberikan itu bukanlah wang zakat.
 
Manakala, mengenai pengagihan kepada individu yang menuntut ilmu, ia memang dibolehkan dan agihannya tertakluk kepada keperluannya. Amalan di institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS), mereka yang belajar akan diberikan dua jenis bantuan, sama ada dermasiswa mahupun bantuan one off. Sudah pasti ada syarat-syaratnya demi memastikan hanya mereka yang benar-benar perlu sahaja dibantu.
 
Sungguhpun syarat mendapatkan bantuan pendidikan di bawah asnaf fisabilillah ini tidak semestinya seorang fakir atau miskin, namun LZS wajar mengutamakan mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapatkannya berbanding golongan kaya yang sudahpun mampu membiayai pendidikan anak-anak mereka tanpa bantuan mana-mana pihak.
 
Oleh itu, adalah disarankan agar pihak yang berkaitan, agar memberikan wang zakat itu kepada pihak institusi zakat. Ini kerana, menurut pandangan fuqaha seperti mana yang telah saya jelaskan sebelum ini, amalan mengagihkan zakat terus kepada asnaf itu sebenarnya tidak menepati roh zakat yang sebenar.
 
Ini kerana, dalam wang atau harta zakat itu terkandung hak lapan asnaf zakat. Atas dasar itulah, Imam as-Syafie dalam kitab Fiqh al-Manhaji menyatakan, hendaklah orang yang mahu mengagihkan sendiri zakatnya itu mencari tiga orang daripada setiap asnaf zakat untuk diberikan haknya. Ia bermaksud, menjamin dan melebarkan manfaat zakat dan tidaklah harta zakat itu hanya berlegar dalam kalangan tertentu sahaja.
 
Bahkan Imam as-Syafie sendiri ada mengingatkan para pembayar zakat agar berhati-hati, kerana kesilapan dalam memberikan harta zakat sehingga jatuh kepada orang yang bukan asnaf zakat boleh mengakibatkan pemberian itu tidak menjadi zakat. (rujuk Fiqhul Manhaji al-Shafie, Jilid 1, hal. 458).
 
Hal ini jelas, kerana zakat adalah ibadah fardu yang sudah ditetapkan syarat-syaratnya, iaitu mestilah diambil daripada harta tertentu, dikeluarkan dengan syarat-syarat tertentu dan diagihkan kepada asnaf-asnaf yang tertentu.
 
Maka, kelalaian dan kesilapan dalam mengeluarkan zakat, boleh menyebabkan segala ketetapan ini tidak dipenuhi dan ia mampu merosakkan ibadah berkenaan.
 
Manakala, pandangan agar dibahagikan zakat itu kepada tiga bahagian, ia tidaklah mempunyai sandaran dalil daripada al-Quran mahu pun al-hadis (setakat penela'ahan dan pembacaan penulis).
 
Ia adalah pandangan fuqaha dalam meraikan sesuatu keperluan zakat, memandangkan tiada juga dalil yang menegah agar zakat hanya diberikan kepada satu atau dua golongan zakat, yakni tidak semestinya memenuhi lapan asnaf zakat.
 
Walau bagaimanapun, ambillah kaedah yang lebih selamat dan cermat dalam pengagihan zakat ini. Seandainya memang adik-beradik di sekitar kita amat daif (dengan syarat mereka bukan waris menegak), maka Islam juga memang menggalakkan kita memberikan mereka sedekah, termasuklah zakat.
 
Namun, janganlah diberikan kesemuanya. Adalah lebih baik dibahagikan tiga dan satu bahagian diserahkan kepada mereka, demi meraikan talian kekerabatan dan selebihnya disalurkan kepada pihak pengelola zakat sebagai jalan meraikan juga keperluan asnaf zakat yang lain.
 
Bahkan, adalah lebih molek jika pihak pembayar zakat sendiri membantu saudaranya itu dengan membawa mereka ke pejabat zakat, agar keperluan mereka dapat diselidiki dan seterusnya dapat pula disantuni dengan sebaik-baiknya.

Wallahua'lam.

16.4.12

Hukum Melakukan Hubungan Seks Ketika Haid


Pengharaman Seks Semasa Haid

Islam mengharamkan melakukan hubungan seks antara suami dan isteri ketika waktu haid. Hukum ini telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala didalam firman Nya yang bermaksud:

“Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu adalah kotoran dan mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.

Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah Al-Baqarah 2:222)

Didalam Hadis Nabi Muhammad s.a.w banyak memperkatakan hal ini, diantaranya sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesiapa yang menyetubuhi wanita yang sedang haid ataupun menyetubuhi wanita di saluran duburnya ataupun mendatangi tukang tenung nasib dan mempercayainya, sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad.” (Riwayat Ahmad dan Tarmuzi)

Imam Al Ghazali merumuskan hukum ini di dalam Ihya Ulumuddin dengan berkata, “Janganlah suami menyetubuhi isteri yang sedang haid dan juga jangan sesudah haid sebelum si isteri menyempurnakan mandi wajib terlebih dahulu, kerana yang demikian itu diharamkan dengan dalil Al-Quran.“

Kajian Mengenai Bahaya Seks Ketika Haid

Melakukan hubungan seks ketika haid mempunyai banyak risiko, menurut kajian yang dijalankan oleh Dr. Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan (The Research And Education Group) yang beribu pejabat di Oregon, dalam artikel yang bertajuk Women With HIV Infection, risiko jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid ataupun dengan lelaki yang tidak berkhatan.

Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (Centers for Disease Control And Prevention) di Amerika, pada Perhimpunan kesebelas Pertubuhan Antarabangsa Berhubung Penyakit-Penyakit Jangkitan Seksual di New Orleans yang diadakan pada 27 hingga 30 Ogos pada tahun 1995 melaporkan, menjauhi hubungan seks ketika haid ataupun ketika mengalami pendarahan di bahagian faraj adalah penting untuk mengurangkan risiko dijangkiti kuman HIV bagi lelaki dan wanita.

Laporan itu juga menjelaskan, wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid meningkatkan risiko dijangkiti AIDS sebanyak enam kali ganda. Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan yang teruk ke atas wanita.

Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield Cutler dan rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa.

Kebiasaannya kes-kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada tahun 1996. Bagi golongan wanita, tiub fallopian dan ovari mereka boleh diserang kuman bakteria sehingga menyebabkan keputihan, sakit dan demam yang kuat.

Risiko untuk menghidap penyakit ini adalah tinggi di kalangan mereka yang melakukan hubungan seks ketika haid. Hal ini disebabkan, kebiasaannya tiub fallopian dan ovari dilindungi daripada serangan bakteria oleh bahan asid yang terdapat di kawasan faraj atau vagina.

Ketika wanita itu didalam keadaan haid, kawasan faraj menjadi alkali justeru memudahkan kuman untuk membiak dan mendatangkan penyakit terutamanya apabila berlaku persetubuhan pada waktu itu.

Oleh yang demikian, hukum pengharaman persetubuhan ketika haid oleh agama Islam adalah amat baik kerana ia mendatangkan banyak manfaat dari sudut kesihatan. Walaubagaimanapun Islam tidak melarang diantara suami isteri bergurau senda dan bergaul mesra semasa haid, asalkan perbuatan itu tidak membawa kepada persetubuhan.

Menurut Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, Aisyah pernah ditanya oleh Masruq bin Ajdak, “Apakah yang boleh dilakukan oleh suami semasa isterinya sedang dalam keadaan haid?” Lalu Aisyah menjawab, “Apa-apa sahaja kecuali bersetubuh.” (Hadith Sahih Bukhari)

Wallahu’alam….


























18.2.12

4 Jenis Lelaki Di Tarik Perempuan Ke Neraka

Di akhirat, wanita akan menarik empat jenis lelaki bersamanya ke dalam neraka. Artikel ini bukan untuk memperkecilkan wanita tetapi sebaliknya supaya kaum lelaki memainkan peranannya dengan hak & saksama berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta berwaspada akan tanggungjawab yang dipikul..
 
1. Ayahnya
 
Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji & sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat…..tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.
 
2. Suaminya
 
Apabila si suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya ke neraka.
 
3. Abang-abangnya
 
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya…..jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM …tunggulah tarikan adiknya ke neraka kelak.
 
4. Anak Lelakinya
 
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat, mengata & sebagainya, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.
 
Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat, maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan masing-masing.
 
Firman Allah SWT:-
 
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At Tahrim : 6)
 
Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. ALLAH SWT nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA, semua kaum muslimin yakni yang mengucap kalimah tauhid dijamin masuk syurga dengan itu janganlah kita membuang atau tidak mengendah janji dan peluang yg ALLAH SWT berikan pada kita…

wallahua’lam

18.12.11

Statistik Kebenaran


Statistik berkenaan umat Islam di Malaysia untuk renungan kita bersama:
 
1. 50% sahaja umat Islam di Malaysia memiliki Al-quran di rumah dan hanya 5% membacanya dan 1% lagi membaca tafsirannya
 
2. 80% umat Islam memliki ASTRO decoder dan hanya 5% menonton ASTRO OASIS
 
3. 70% umat Islam tertarik dengan perkara yg membawa kepada "Karnival" atau unsur yg membawa kepada hiburan
 
4. 50% menyokong program seperti Akedemi Fantasia, Tomtombak, Mentor dan rancangan yg seumpamanya
 
5. Hanya 10% umat Islam dari satu taman perumahan yg membantu masjid atau surau di sebuah kawasan
 
6. Hanya 20% yg menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama
 
7. 80% remaja hari ini tidak reti atau tidak pandai mengaji
 
8. 90% remaja atau kaum wanita suka berseluar panjang dan memakai T-Shirt
 
9. 80% pasangan baru yang belum berkahwin akan menonton wayang setiap bulan di panggung wayang
 
10. 95% umat Islam tidak pernah mencari atau pergi ke kelas mengaji untuk mendalami ilmu agama Islam itu sendiri
 
11. 95% wali kepada pengantin perempuan tidak tahu syarat-syarat sah mewalikan anak mereka dan 99% bapa menyerahkan pernikahan anak mereka kepada berwalikan imam
 
12. 100% anak-anak Islam bawah 12 tahun cenderung kepada kartun seperti Ultraman, Mask Rider, Digimon, Pokemon dan banyak lagi kartun seperti ini yang unsurnya merosakkan minda
 
13. 50% umat Islam adalah kaki botol dan minum arak
 
14. 50% pasangan yg telah berkahwin dan dan mempunyai anak mengaku mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain dan mempunyai tabiat melanggan pelacur
 
15. 90% cenderung kepada keduniaan dengan ingin memliki rumah mewah, kereta mewah dan duit yg banyak
 
16. Hanya 30% umat Islam lelaki menunaikan solat Jumaat pada setiap minggu
 
17. 3% umat Islam menunaikan solat suboh secara berjemaah di masjid atau surau setiap hari
 
18. 90% umat Islam tidak ambil tahu tentang soal kejiranan atas konsep tidak suka jaga tepi kain orang
 
19. Hanya 10% umat Islam yang akan membantu saudaranya yg lain terutamanya dalam soal duit
 
20. Dan hanya 1% sahaja umat Islam yang mengetahui Sifat 20 dalam ilmu ketuhanan
 
21. 90% umat Islam percaya, faham, berkehendak, terikut-ikut kepada benda yang Tahyul, pelindung diri, pelaris business, tarik duit, seri muka, kebahagiaan rumah tangga, santau, pukau dan semua elemen yg menjuruskan kepada Syirik kepada ALLAH S.W.T.
 
Saya paparkan semua statistik di atas usaha untuk menyedarkan diri saya sendiri dan saudara saudari tentang betapa kroniknya kefahaman Islam di negara kita sendiri hari ini.

Dari peratusan yang tinggal berapakah yang boleh digolongkan kepada "Orang Muqmin" dan berapakah yang boleh digolongkan sebagai "Makhluk"
 
Sama-samalah kita buat kiraan untuk diri kita sendiri,
 
Yang paling penting, selepas kiraan dibuat, adakah kiraan itu dapat menyedarkan dan mendekatkan kita dengan ALLAH S.W.T?

7.9.11

Puasa Sunat Enam Syawal

Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Qadha campur Sunat

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan.

Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):

(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ… وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.

Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151]

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.

Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal

Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:

( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.

Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:

1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:

] وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan

Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.

Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:

( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري

Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]

Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”

Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.

Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].

قال النووي في شرح مسلم: “وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان.”

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].

3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]

Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.

Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:

(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.

Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين.

Oleh: Ustaz Azhar.net